Retorik 1
Secara umum, retorik adalah cara kata-kata, suara dan tubuh digunakan untuk menyampaikan pemikiran dan perasaan. Rasional cara ini digunakan adalah dengan mempertimbang fakta bahawa manusia berkomunikasi mengikut keperluan dan kesesuaian konteks. Dalam tradisi keilmuan, hal ini dikaitkan dengan keupayaan hati manusia mentaakul (Inggeris: reasoning)sesuatu isu. Oleh itu, secara dasarnya ungkapan retorik menekankan pertalian antara amalan dan teori: siapa yang mengucapkan apa (isu) kepada sesiapa (subjek), bila (masa), di mana (tempat), bagaimana (cara) dan sejauh mana kesannya (akibat), dirangkum dengan kemas oleh ungkapan dan makna retorik.
Saya harap jawaban ringkas saya ini kepada soalan yang ditanyakan oleh Lyana memadai, buat sementara ini. Bagaimana pun, apabila Karpal Singh menyebut 'retorik' Anwar semalam, dia tidak maksudkan kepada makna retorik secara positif; dia lebih merujuk retorik Anwar secara negatif iaitu kata-kata manis yang tidak disusul dengan amalan yang baik dan betul. Makna retorik itu tidak berasal daripada penggunaan sebenar 'retorik'. Untuk maksud yang lebih holistik, bolehlah dirujuk banyak ensiklopedia mengenai hal itu.
Retorik 2
Membenarkan sesuatu tesis (kepercayaan sementara yang boleh dibuktikan betul atau salahnya pada bila-bila masa) adalah hak sesiapa yang sanggup dan berupaya menyelidik dan mengemukakan bukti. Sebagai contoh, jika ada pihak yang percaya bahawa keputusan Baginda Sultan Perak untuk tidak memperkenan DUN dibubarkan kerana mereka percaya ia tidak mengikut perlembagaan (negeri/persekutuan), maka itu adalah tafsiran mereka terhadap peruntukan undang-undang. Yang pasti, sistem politi dan politik negara ini terbina sedemikian rupa sejak lebih 600 tahun lampau (dengan memikirkan institusi Raja/Sultan) sedangkan Perlembagaan negara ini hanya berusia lebih sedikit daripada 51 tahun (dengan memikirkan 'kontrak sosial' di fikiran).
Jadi, sesiapa pun - bloggers dan pembaca blog - boleh terus beretorik atau boleh juga memilih untuk berterus terang sahaja, mengikut keupayaan analisis kritikal masing-masing; tidak ada sesiapa yang boleh mengatakan mereka betul atau orang lain salah. Hanya diri sendiri yang mungkin tahu keupayaan dan kualiti sendiri. Selebihnya tertakluk kepada tafsiran.