Situasi dan senario politik Perak memberi bayangan bahawa percaturan strategi secara terbuka dalam sistem dan budaya politik tanah air bukanlah lagi sesuatu yang perlu disorok-sorok. Peralihan aliran seperti ini - yang menggambarkan unsur-unsur desakan, tekanan, manipulasi dan kepandaian memantul semula serangan ke arah penyerang - menjadikan politik semasa sebagai medan yang mempamerkan analogi 'si bodoh makanan si cerdik' serta disulam dengan kebenaran 'tak sungguh tak melata' dalam bentuk propaganda moden yang perlu ditafsir dengan cermat.
Permainan boomerang bukan sahaja mampu menghiburkan malah sebaliknya berkemungkinan menyusahkan si pengendali. Apa yang dibimbangi, ada kalanya dogma 'niat menghalalkan cara' mungkin membenarkan etos tradisi yang menyebut bahawa 'kuasa adalah korup; dan kuasa mutlak korup dengan sendirinya'. Sudahnya, 'kalah jadi abu, menang jadi arang'; 'lain dikendung, lain berciciran'.