Saturday, February 28, 2009

SKALA KUASA POLITIK

1. Siapa sebenarnya yang berkuasa mengikut skala kuasa politik?

2. Banyak yang mengatakan rakyat. Alasannya, oleh kerana rakyat yang menentukan siapa yang akan menjadi wakil mereka pada setiap kali pilihanraya diadakan, maka rakyat yang berkuasa.

3. Ada juga yang beranggapan bahawa ahli-ahli parti politik-lah yang lebih berkuasa kerana mereka memilih perwakilan pada setiap kali Konvensyen parti diadakan. Lebih-lebih lagi jika ia melibatkan parti politik yang dominan dalam pemerintahan negara. Inilah yang akan disaksikan pada Perhimpunan Agung UMNO akan datang.

4. Dalam pengajian Sains Politik, hal seumpama ini dikatakan sebagai pengagihan skala kuasa politik. Ia melibatkan pengkajian mengenai kepercayaan individu samada kuasa politik diagihkan berdasarkan beberapa aliran orientasi yang tertentu.

5. Aliran-aliran yang besar itu termasuklah yang dianggap sebagai pluralisme politik (penglibatan banyak pihak dalam mengagihkan kuasa politik), elit politik (kuasa diagihkan oleh kumpulan kecil namun amat ’istimewa’); atau Marxis (kuasa politik dikawal oleh perniagaan gergasi).

6. Pluralistik

Tidak ada satu kumpulan pun yang benar-benar dianggap mentadbir kerajaan di negara ini. Sebaliknya, keputusan-keputusan penting mengenai polisi negara dibuat oleh pelbagai kumpulan yang berbeza-beza yang terdiri daripada kalangan misalnya Pak-Pak Menteri tertentu, NGO, perwakilan parti, golongan ulama, profesional muda yang menjadi kumpulan pemikir, pendidik dan sebagainya. Kumpulan-kumpulan tersebut mempengaruhi parti-parti politik, tetapi tidak ada satu kumpulan pun yang benar-benar menonjol yang berupaya boleh mengarah orang lain. Dalam keadaan sebenar, setiap kumpulan dianggap cukup berupaya untuk melindungi kepentingan masing-masing.

7. Dalam temubual antara Perdana Menteri, Dato’ Seri Abdullah Hj Ahmad Badawi dengan dengan Mingguan Malaysia (Ahad 17 Julai 2005), Perdana Menteri diajukan dengan pertanyaan berikut:

”ORANG ada persepsi kononnya menantu Datuk Seri, Khairy Jamaluddin, ada peranan dan pengaruh tersendiri dalam pentadbiran dan keputusan yang dibuat oleh Datuk Seri?”

Lalu Perdana Menteri membalas,

”Boleh jadi kerana dia pernah bekerja dengan saya (sebagai bekas Timbalan Ketua Setiausaha Sulit 2). Apabila bekerja dengan Perdana Menteri ini maklumlah banyak perkara yang dia bantu, beri pandangan dan analisis. Mereka ini semua pun pembantu saya (menunjuk kepada pegawai-pegawainya)”

8. Perwakilan UMNO dikira menyumbang kepada kaedah pengagihan kuasa seperti ini pada setiap kali Perhimpuan Agung diadakan. Mereka mengusulkan – dan memilih untuk tidak mengusulkan! – isu-isu yang patut dijadikan bahan perbincangan pada setiap kali perhimpunan berlangsung. Isu-isu seperti politik Perak dan Karpal Singh akan diungkapkan pada platform seperti Perhimpunan Agung.

9. Pada masa yang sama, isu-isu lain yang dianggap mempunyai scoop juga akan dipertimbangkan seperti soal meloncat parti ataupun soal etika dan disiplin ahli parti turut akan dipersoalkan.

9. Elitis

Terdapat satu kumpulan yang kecil – yang berada betul-betul di bawah dagu Perdana Menteri – yang turut ’mengendali’ dan ’mentadbir’ kerajaan. Kumpulan ini terdiri daripada ketua-ketua syarikat-syarikat perniagaan yang besar, termasuk perbadanan negara, individu-individu tertentu pegawai-pegawai tertinggi kerajaan dan sektor pertahanan, serta beberapa ahli politik kanan dan bekas ahli politik yang masih berpengaruh.

10. Kumpulan ini biasanya menguasai atau pun setidak-tidaknya mempunyai kepentingan dalam parti-parti kerajaan. Mereka adalah kumpulan istimewa. Mereka mempunyai laluan langsung kepada pemimpin tertinggi kerajaan. Urusan rasmi mereka tidak berakhir sekadar di pejabat, tetapi dilangsungkan hingga ke kediaman pemimpin-pemuimpin tertinggi semata-mata untuk menyudahkan kerja-kerja rasmi yang masih tertangguh.

11. Pendominasi Ekonomi

Kumpulan yang ketiga, kumpulan yang terdiri daripada ahli-ahli perniagaan dan syarikat-syarikat korporat yang yang berkuasa, yang benar-benar menguasai negara. Ketua-ketua pentadbir syarikat berkenaan menguasai parti-parti dominan dalam kerajaan. Ini bermakna banyak urusan dalam pemerintahan negara dikendalikan dan ditangani dalam cara yang agak sehala dengan cara dan strategi perniagaan dilaksanakan.

Mereka ini dianggap sebagai kumpulan terkuat yang menentukan hala-tuju corak pemerintahan negara pada peringkat eksekutif, atau pembuat keputusan.

12. Bagaimanapun, pengaruh kumpulan ini bergantung kepada hayat politik Perdana Menteri atau Timbalan Perdana Menteri. Kebiasaannya, hanya individu-individu yang tertentu dan bijaksana sahaja yang mempu melepasi tindakan cantasan politik semasa apabila kepemimpinan tertinggi negara bertukar orang.

13. Apa yang jelas, siapa pun yang akhirnya ’berkuasa’ secara politik biasanya tidak dipersoalkan. Sistem politik mempunyai budaya, peraturan dan undang-undang tersendiri yang sehingga kini diyakini rakyat. Malah, ahli-ahli parti politik sendiri pun menerima secara dasarnya bahawa siapa yang patut berkuasa dan siapa yang patut sekadar mengikut. Begitulah seterusnya, mereka juga yang menentukan misalnya, samada Agenda Melayu itu releven atau tidak pada sesuatu masa dalam konteks siapa sebenarnya yang berkuasa.

14. Dengan kata lain, ini adalah soal kematangan politik. Ia mungkin melibatkan beberapa unsur asas, antaranya: pertama, ciri-ciri profesional yang ditunjukkan antara ahli-ahli politik dan pentadbir kerajaan yang sama-sama menyokong sistem semasa, meskipun ada kemungkinan mereka sendiri tidak memahami mengenai sistem itu secara menyeluruh. Apa yang penting adalah sokongan penuh mereka terhadap parti dan kerajaan.

15. Kedua, keupayaan untuk menjiwai prinsip demokrasi asas di kalangan semua pengamal dan peserta dalam sistem politik.

16. Ketiga, menerima faktor kepelbagaian dalam sistem politik (pandangan, pendekatan dan kepercayaan).

17. Dan keempat, keupayaan untuk menyesuaikan diri dengan kepemimpinan dan sistem semasa secara sepenuhnya. Ini yang sentiasa perlu dipastikan.

Sunday, February 15, 2009

ADA APA PADA REALISME MAHUPUN IDEALISMA

1. Dalam suasana politik tanahair yang serba menduga akhir-akhir ini, diasak pula oleh igauan prestasi ekonomi yang tidak molek kebelakangan ini selalu benar diungkapkan mengenai idealisma dan realisma dalam politik. Bersepah-sepah blog menyebut mengenainya. Sehingga di kaca-kaca TV hal itu disebut-sebut seolah-oleh ia merupakan penawar bisa racun politik yang tidak berketentuan sekarang ini, semudah itu!

2. Kata Plato, realisma adalah apa yang sewajarnya terjadi. Machiavelli pula menegaskan realisme adalah doktrin atau kepercayaan mengenai kesegeraan.

3. Mereka yang menyokong dan menerima fahaman realis melihat politik sebagai dihidupkan oleh punca-punca keselamatan dan kuasa. Oleh itu politik dianggap sebagai komponen penting yang meneruskan kehidupan masyarakat.

4. Kepada orang-orang yang menganut fahaman realis, kedua-dua faktor itu – keselamatan & kuasa – merupakan kunci kepada keamanan dan penerusan hidup sesebuah negara.

5. Dengan memikirkan itu, rasa takut dan bimbang merupakan dilema yang sering menghantui. Ketakutan itu diterjemah kepada andaian yang hampir-hampir menjadi kepercayaan bahawa ada pihak-pihak tertentu sentiasa mencari-cari jalan untuk saling memusnahkan. Ketakutan tersebut kemudiannya menjadi sebab untuk mereka sentiasa mempersiap diri untuk ‘membunuh’ pihak yang dilihat mengancam sebelum mereka sendiri ‘dibunuh’ atau terbunuh.

6. Dari sudut ini, doktrin realisma percaya bahawa yang patut diutamakan oleh negara adalah untuk menjamin kuasa yang dipunyai untuk melindungi negara daripada sebarang ancaman. Untuk melakukan demikian, ada kalanya banyak yang perlu dikorbankan tanpa rasa sesal.

7. Bagaimana pula idealisma politik?

8. Idealisma politik tidak menganggap isu keselamatan dan dilema kuasa sebagai punca masalah. Malah, secara sinis, kerajaan atau pihak yang mempercayai fahaman ini mungkin tidak akan memiliki senjata di dalam negara mereka sama sekali.

9. Alasannya? Mungkin jika mereka menyimpan senjata dan memperkuat ketenteraan, tindakan tersebut akan disusul oleh pihak-pihak atau negara-negara lain. Bermakna, kemungkinan konflik yang lebih besar akan timbul dan mencetuskan kemusnahan total.

10. Kebanyakan pemikir dan sarjana kemudiannya tidak bersepakat untuk mengutamakan salah satu daripada kedua-dua fahaman tersebut. Seringkali perbezaan antara kedua-duanya terlalu sukar untuk ditunjukkan secara amali. Gambarannya adalah seumpama suatu garisan yang sangat halus sifatnya hingga menyukarkan penglihatan untuk menentukan sama ada lurus atau berbengkang-bengkok.

11. Untuk sekadar memuaskan hati, lalu kebanyakan pemikir dan sarjana kemudiannya menyimpulkan bahawa kedua-dua fahaman itu perlu dimanfaatkan bersama-sama. Realisma tanpa idealisma tidak mewujudkan keseimbangan, sebagaimana analogi yang mereka gunakan bahawa: seseorang tidak sewajarnya bersifat terlalu idealistik kerana keselamatan sesebuah negara akan terjejas; sebaliknya seseorang itu tidak sepatutnya juga terlalu realistik kerana perang atomik berkemungkinan tercetus.

12. Kesimpulannya, secara sinis, mereka memetik kata-kata Pasqal bahawa “Keadilan tanpa paksaan adalah kemandulan. Paksaan tanpa keadilan adalah huru-hara. Oleh itu, sangatlah perlu untuk menyatukan keadilan dan paksaan dan menjadikannya mantap semantap-mantapnya sekaligus menjadikannya adil seadil-adilnya.”

Saturday, February 14, 2009

BUKIT GANTANG, BUKIT SELAMBAU

BUKIT GANTANG

1. Sejak kecil, selain Changkat Jering, Bukit Gantang menjadi salah satu daripada kawasan-kawasan yang kami akan kunjungi untuk menikmati durian.

2. Dari segi lokasi, Bukit Gantang agak terpinggir kedudukannya dari bandar Taiping. Tidak seperti Changkat Jering, Bukit Gantang bukanlah tempat persinggahan atau destinasi popular untuk berehat sebentar sebelum meneruskan perjalanan. Selalunya, simpang masuk ke Bukit Gantang hanya sekadar dilewati kalau destinasi kami adalah ke daerah Beruas/Pantai Remis/Manjung.

3. Oleh itu, Bukit Gantang adalah kawasan yang agak tertutup lokalitinya. Orang-orang luar yang memiliki tanah dusun di situ menjadikannya sebagai lokasi yang dilawati pada hujung minggu. Mereka yang sememangnya menetap di situ pula tidak ramai yang berhijrah keluar kerana tidak banyak alasan bagi mereka untuk berbuat demikian.

4. Setahu saya, berdasarkan pengalaman sewaktu persekolahan, rakan-rakan dari Bukit Gantang memiliki ciri-ciri personaliti yang agak serupa: agak merendah diri, sedikit pemalu, mesra, baik hati, berbudi tinggi dan sangat pintar.

5. Personaliti seperti itu sangat sesuai dengan pemikiran mengenai model kepemimpinan jenis Teori Sifat (Traits Theories).

6. Mana-mana calon yang akan diturunkan di situ oleh parti masing-masing mungkin boleh menggunakan aspek ini sebagai kriteria utama pemilihan.

7. Calon yang memiliki kelebihan adalah: (a) dikenali di situ; (b) tidak sombong;(c) tidak menonjol sifat-sifat sekularnya; (d) dihormati masyarakat tempatan; (e) tidak dilihat terlalu muda.

8. Peluang calon-calon untuk menang kurang-lebihnya sama banyak.


BUKIT SELAMBAU

1. Bukit Selambau bukanlah terlalu sukar untuk digambarkan. Kedudukannya tidak jauh dari Sungai Petani. Ia hanyalah sebuah kawasan biasa, banyak tanah lapang, sedikit sebanyak kawasan rancangan pertanian dan sebahagian kecil kebun-kebun yang tidak besar skalanya.

2. Komposisi penduduknya tidak menampakkan mana-mana etnik yang dominon dari segi bilangannya. Bagaimanapun, bagi penduduk-penduduk di kawasan itu dan berdekatan, Bukit Selambau selalunya dirujuk sebagai kawasan etnik India.

3. Siapa yang berpotensi menang? Calonnya tidak semestinya India walaupun PKR berkepercayaan calon India sahaja yang berpeluang menang di situ. Ada juga suara-suara yang berpandangan BN patut meletakkan calon Melayu (dengan syarat di kalangan orang-orang Melayu di situ tidak wujud kepuakan melampau atas dasar perbezaan fahaman politik dan penzahiran agama).

4. Melihat kepada aliran, ada kemungkinan calon India yang vokal akan dipilih oleh kebanyakan pengundi India (atas alasan itulah Hindraf kelihatannya sangat yakin untuk mencalonkan orang mereka). Pengundi Melayu yang berorientasikan parti pula tidak banyak soal (bagaimanapun, bilangan mereka tidak diyakini mencukupi untuk memenangkan seseorang calon).

5. Tidak banyak yang boleh diharapkan oleh BN di Bukit Selambau selagi peratusan Melayu yang sebanyak itu tidak dapat menyatukan pendirian dan suara mereka dalam pilihanraya kecil itu kelak.

Wednesday, February 11, 2009

PERLEMBAGAAN? YA, BETUL

1. Memang. Betul, Perlembagaan (baik Persekutuan mahupun Undang-Undang Tubuh Negeri) ditadbir untuk melancarkan sistem pemerintahan dan kemasyarakatan.

2. Namun perlu juga diingat kenyataan bahawa Perlembagaan berusia tidak sampai pun 100 tahun sedangkan sistem politi & politik - dalam bentuk institusi Raja - sudah mengakar umbi dan digunakan untuk mentadbir lingkungan kemasyarakatan alam dan negara ini sejak lebih 600 tahun lampau.

3. Tidakkah itu harus diambil kira dalam membuat pengamatan dan tafsiran secara rasional?

Tuesday, February 10, 2009

SELAMANYA MACHIAVELLIAN

1. Sesiapa yang mendalami falsafah politik dan ekonomi selalunya agak biasa dengan nama-nama Machiavelli dan Locke. Umumnya kedua-dua mereka melihat struktur sesebuah kerajaan dalam perkaitannya dengan kepentingan kerajaan dan individu.

2. Pemikiran Machiavelli mengenai kekayaan dan idea Locke mengenai keadaan semulajadi memberi makna yang pelbagai kepada dunia politik.

3. Machiavelli percaya bahawa politik adalah gelanggang yang penuh dengan unsur ketidakpastian yang mempamerkan cita-cita, penipuan dan keganasan sekaligus menjadikan ‘kebaikan bersama’ sebagai sesuatu yang tidak wujud sama sekali.

4. Locke pula mendakwa masyarakat madani atau masyarakat politik wujud hanya untuk melindungi hak-hak individu. Dengan kata lain, kedua-dua mereka menganggap kegiatan-kegiatan politik sebagai matlamat yang menghalalkan cara semata-mata.

5. Dengan itu, sebagaimana Machiavelli tunjukkan melalui pemikirannya, rasuah, cita-cita dan pemerintahan kuku besi adalah pemandangan yang biasa yang tidak seharusnya dihairankan atau dibimbangi.

6. Oleh itu, relevenkah untuk mencari siapa yang betul?

Monday, February 09, 2009

RETORIK

Retorik 1
Secara umum, retorik adalah cara kata-kata, suara dan tubuh digunakan untuk menyampaikan pemikiran dan perasaan. Rasional cara ini digunakan adalah dengan mempertimbang fakta bahawa manusia berkomunikasi mengikut keperluan dan kesesuaian konteks. Dalam tradisi keilmuan, hal ini dikaitkan dengan keupayaan hati manusia mentaakul (Inggeris: reasoning)sesuatu isu. Oleh itu, secara dasarnya ungkapan retorik menekankan pertalian antara amalan dan teori: siapa yang mengucapkan apa (isu) kepada sesiapa (subjek), bila (masa), di mana (tempat), bagaimana (cara) dan sejauh mana kesannya (akibat), dirangkum dengan kemas oleh ungkapan dan makna retorik.

Saya harap jawaban ringkas saya ini kepada soalan yang ditanyakan oleh Lyana memadai, buat sementara ini. Bagaimana pun, apabila Karpal Singh menyebut 'retorik' Anwar semalam, dia tidak maksudkan kepada makna retorik secara positif; dia lebih merujuk retorik Anwar secara negatif iaitu kata-kata manis yang tidak disusul dengan amalan yang baik dan betul. Makna retorik itu tidak berasal daripada penggunaan sebenar 'retorik'. Untuk maksud yang lebih holistik, bolehlah dirujuk banyak ensiklopedia mengenai hal itu.


Retorik 2
Membenarkan sesuatu tesis (kepercayaan sementara yang boleh dibuktikan betul atau salahnya pada bila-bila masa) adalah hak sesiapa yang sanggup dan berupaya menyelidik dan mengemukakan bukti. Sebagai contoh, jika ada pihak yang percaya bahawa keputusan Baginda Sultan Perak untuk tidak memperkenan DUN dibubarkan kerana mereka percaya ia tidak mengikut perlembagaan (negeri/persekutuan), maka itu adalah tafsiran mereka terhadap peruntukan undang-undang. Yang pasti, sistem politi dan politik negara ini terbina sedemikian rupa sejak lebih 600 tahun lampau (dengan memikirkan institusi Raja/Sultan) sedangkan Perlembagaan negara ini hanya berusia lebih sedikit daripada 51 tahun (dengan memikirkan 'kontrak sosial' di fikiran).

Jadi, sesiapa pun - bloggers dan pembaca blog - boleh terus beretorik atau boleh juga memilih untuk berterus terang sahaja, mengikut keupayaan analisis kritikal masing-masing; tidak ada sesiapa yang boleh mengatakan mereka betul atau orang lain salah. Hanya diri sendiri yang mungkin tahu keupayaan dan kualiti sendiri. Selebihnya tertakluk kepada tafsiran.

Saturday, February 07, 2009

TADBIR & URUS

Dari perspektif politik, Tanah Melayu ini unik kerana adanya institusi raja sebagai komponen utama. Itu asas sistem politi di sini. Oleh itu, aspek pentadbiran negara ini kelihatannya agak lain dengan amalan di tempat-tempat lain.

Negara perlu ditadbir, bukannya diurus. Istilah 'mentadbir' tidak sama dengan 'mengurus'. Mentadbir negara bukan semudah memulakan dan mengurus sebuah kilang - asal ada modal maka bolehlah memohon memulakan perniagaan secara rasmi. Mentadbir bukan hanya melibatkan kuasa politik meskipun kuasa politik itu diperlukan untuk dipercayakan bagi urusan-urusan pentadbiran.

Ambil contoh amalan pentadbiran Inggeris di Tanah Melayu. Implikasi langsung pentadbiran Inggeris di Tanah Melayu pada masa lampau boleh dilihat dengan mudah. Kawasan kampung dan luar bandar dibiarkan terpinggir. Penglibatan dalam kegiatan ekonomi dan politik disekat pada tahap minimum kerana Inggeris bimbang - berdasarkan pengalaman mereka menjajah India misalnya - menyebabkan rakyat bangkit setelah mendapat pendidikan dan pengalaman dari luar. Ini yang diakui misalnya oleh para pegawai Inggeris di Tanah Melayu yang mengatakan bahawa warga peribumi sewajarnya dikekalkan dengan kegiatan tani dan ketukangan tangan. Sedangkan untuk membangun sektor ekonomi, boleh dilaksanakan melalui penglibatan buruh-buruh asing dari China dan India.

Tilman (1964) memetik lapo­ran Pemangku Residen-General Negeri-Negeri Melayu Bersekutu :

"The general policy of the British advisers has been to interfere as little as possible with the manners, customs, methods and prejudices of the different nationalities composing the population of the States; to interfere not at all in matters touching the Mohammadan religion - the religion of the Malays; to attract capital - European, Chinese and other; to encourage the immigration of Chinese, Indian and other labourers; to assist the development of the mineral and agricultural resources of the States..."

Pentadbir Tanah Melayu pada waktu itu sedar dengan sepenuhnya potensi kacau-bilau yang akan berlaku sekiranya hal ehwal adat-istiadat dan resam Melayu disentuh walau dengan apa cara sekali pun. Semua golongan - khususnya partisan - faham mengenai hal ini melainkan mereka tidak mendalami susur-galur sejarah negara ini atau mungkin sengaja menutup mata mengenai fakta tersebut.

Bila institusi raja disanggah, malah - jika menurut media - disaman, yang disanggah dan disaman itu adalah sistem politi negara ini sendiri.

Friday, February 06, 2009

sembah derhaka

1. Melihat semula kontrak sosial yang dipersetujui antara Demang Lebar Daun dan Sang Sapurba, semua pihak yang bersetia pada waktu itu memahami tanggungjawab masing-masing: Raja atau pemerintah melindungi rakyat manakala rakyat pula bersetia untuk tidak mengingkari arahan dan perintah Raja. Semudah itu. Tidak ada sebarang klausa yang tersembunyi atau disorok di sana sini.

2. Bagaimana pun, hanya MB Perak sahaja yang sepatutnya memahami hal tersebut kerana yang lainnya - Speaker dan exco lain - tidak tahu apa-apa dan tidak terlibat apa-apa kerana dengan memikirkan persetiaan klasik itu di fikiran, soal pemerintahan dan pentadbiran alam ini - negara ini - hanya melibatkan keturunan Melayu sahaja (itulah sebabnya timbul soal 'ketuanan'). Yang lain itu hanya sekadar pengikut layaknya.

2. Jika media hari ini dipercayai dan disahkan kebenaran sumber berita mereka - seperti dalam isu MB Perak yang dikatakan menyampai sembah derhaka kerana enggan meletakkan jawatan - maka kesannya kepada hubungan antara MB serta exco dengan pemerintah (Raja) mudah sahaja dan sangat langsung (straight forward): semua yang menderhaka akan dihukum bunuh.

3. Soalnya, persetiaan Sang Sapurba dengan Demang Lebar Daun itu hanya disebut dalam teks klasik Melayu dan tidak dilembagakan sebagai undang-undang yang mentadbir sistem politi dan politik negara ini.

4. Hari ini - selepas 51 tahun merdeka & negara ini dilembagakan menurut Perlembagaan Persekutuan - senarionya tentu sahaja dianggap berubah.

5. Benarkah begitu? Apakah kesannya ke atas sistem politi negara ini yang sehingga hari ini pun masih diresap kuat dengan keramat amalan ke'Raja'an dan keSultan'an tradisional?

6. Mungkin semua orang terpaksa menunggu pemberitaan media selanjutnya.

Daulat Tuanku!

Thursday, February 05, 2009

dawn raid

Situasi dan senario politik Perak memberi bayangan bahawa percaturan strategi secara terbuka dalam sistem dan budaya politik tanah air bukanlah lagi sesuatu yang perlu disorok-sorok. Peralihan aliran seperti ini - yang menggambarkan unsur-unsur desakan, tekanan, manipulasi dan kepandaian memantul semula serangan ke arah penyerang - menjadikan politik semasa sebagai medan yang mempamerkan analogi 'si bodoh makanan si cerdik' serta disulam dengan kebenaran 'tak sungguh tak melata' dalam bentuk propaganda moden yang perlu ditafsir dengan cermat.
Permainan boomerang bukan sahaja mampu menghiburkan malah sebaliknya berkemungkinan menyusahkan si pengendali. Apa yang dibimbangi, ada kalanya dogma 'niat menghalalkan cara' mungkin membenarkan etos tradisi yang menyebut bahawa 'kuasa adalah korup; dan kuasa mutlak korup dengan sendirinya'. Sudahnya, 'kalah jadi abu, menang jadi arang'; 'lain dikendung, lain berciciran'.

Wednesday, February 04, 2009

Menteri Besar

3 YB PKR/Bebas serta seorang YB daripada DAP menyertai Barisan Nasional. Antara mereka termasuklah Datuk Nasaruddin Hashim (Bota) - yang sebelum ini mengisytiharkan keluar daripada UMNO - juga menyuarakan hasrat untuk kembali kepada UMNO. Ini menjadikan Barisan Nasional yang kini menguasai 31 kerusi berpeluang besar menubuhkan kerajaan di Negeri Perak.
Menteri Besar dijangka melepaskan jawatan untuk memberi laluan kepada bakal Menteri Besar baru yang akan diperkenan perlantikannya oleh Sultan Perak sedikit masa lagi.

Lagi Lagi Perak

Berita terbaru mengenai suasana politik di Perak semakin menarik. Kita tunggu perkembangan sehingga tengah malam ini.

Tuesday, February 03, 2009

Palestine oh Palestine

Sepetang bersama Duta Palestin serta K.K.Tan mendorong saya berfikir panjang mengenai isu sebenar yang membelenggu persoalan sejagat ini. Tatkala saya menyoal mengenai sentimen umum Negara-Negara Arab berhubung isu pencerobohan dan pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan oleh regim Zionis Israel itu, ternyata soalan itu tidak disenangi. Itu belum lagi menyentuh soal Hamas, yang pada sepanjang sesi wacana itu berlangsung nama Hamas tidak disebut walau sekali pun oleh His Excellency Mr Ambassador, Abdelazis Aboughosh.
K.K.Tan lebih senang mendekati persoalan itu dengan bercakap mengenai aspek kerajaan dan regim yang memerintah. Beliau percaya isu Palestine boleh diselesaikan dengan menumpukan perhatian kepada pertukaran regim yang memerintah Israel.
Begitulah yang saya perhatikan pada "Public Discourse: Palestinian Issue: The World is on Trial" yang dianjurkan oleh Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi petang tadi.

Monday, February 02, 2009

malam kecemerlangan

Majlis malam kecemerlangan pelajar akan diadakan pada malam hari ini. Saya jangka semua Presiden dan seorang wakil lagi akan menghadirkan diri. Harap maklum.