Kertas kerja atas tajuk "Alam & sistem politi Malaysia: Satu pandangan holistik mengenai kepemimpinan Melayu dalam konteks hubungan etnik di Malaysia". Dilihat secara khusus dari sudut kepemimpinan politik dan hubungan etnik di negara ini. Liputan ini dipilih atas beberapa alasan, antaranya yang utama termasuklah berkenaan realiti sosial dan politik hari ini yang menuntutperlunya perspektif kepemimpinan dan pentadbiran politik diziarah kembal pentakrifan dan pengamalannya demi mengekalkan keharmonian antara komponen-komponen utama sistem politi negara ini. Antara lain, kertas ini membincangkan isu-isu yang berkaitan dengan kepemimpinan politik – dengan tumpuan khusus kepada peranan Perdana-Perdana Menteri Malaysia – dalam konteks sistem politi berteraskan alam Melayu; dasar-dasar pentadbiran negara yang dikupas menurut perspektif pembangunan secara holistik; tradisi dan realiti hubungan etnik dalam sistem politi negara; cabaran politik semasa; wibawa kepemimpinan negara; dan pandangan futuristik mengenai masa depan sistem politi Malaysia secara holistik. Skop kertas ini dihadkan kepada sistem politi Malaysia dengan anjuran masa bermula daripada era Kesultanan Melayu Melaka sehingga sistem pentadbiran negara di bawah kepemimpinan Perdana Menteri sekarang. Perbincangan dibuat dengan bertunjangkan landasan teori-teori kepemimpinan terutamanya dari perspektif kepemimpinan transformasi. Kertas pemikiran ini akan disampaikan pada Seminar Kepemimpinan Melayu Institut Kualiti & Pengembangan Ilmu (InQKA) Universiti Teknologi MARA 18-19 November 2008