Saturday, October 11, 2008

bertanding










Foto: sumber: http://voiceofmalaysian.com/2008/09/24/kabinet-bincang-turun-harga-minyak/
1
Tan Sri Muhyiddin Yassin - yang dipercayakan oleh 2 pencalonan sehingga petang 10 Oktober - akhirnya mengumumkan pendirian untuk ikut menyaingi tiga calon Timbalan Presiden yang lain. Analisis awal yang dibuat oleh beberapa sumber - khususnya media perdana - mengenai semua pencalonan itu menunjukkan kemungkinan pertandingan yang tidak berimbang antara ke empat-empat calon berkenaan. Ini ditambahkan lagi oleh wacana rasmi - kenyataan akhbar dan media lain - dan cakap-cakap kedai kopi ekoran ulasan pedas Tun Mahathir mengenai calon-calon yang akan bertanding. Nur Jazlan kemudiannya membuat ulasan akhbar yang tidak kurang 'keras'nya apabila membandingkan situasi beliau sendiri dengan situasi serta tindakan Tun Mahathir menulis surat meminta almarhum Tunku Abdul Rahman meletakkan jawatan.
Ada banyak perkara yang diperhatikan orang pada setiap kali mereka memerhati dan menilai calon dalam sesuatu pertandingan atau proses pemilihan, antaranya adalah personaliti dan sifat-sifat tertentu yang ada pada calon. Lama dahulu, sewaktu masyarakat masih berada pada tahap awal berkerajaan sendiri dan negara sedang berkira-kira hendak membangunkan sebuah negara bangsa (kira-kira sebelum merdeka dan awal kemerdekaan), faktor-faktor seperti rupa bentuk fizikal - tinggi atau rendahnya tubuh badan; cantik dan eloknya paras rupa; keturunan & kebangsawanan; kemahiran tertentu seperti kepetahan dan kehebatan oratori - menjadi antara perkiraan penting yang dipertimbang sebelum seseorang individu diangkat menjadi pemimpin. Hari ini, meskipun perkiraan itu tidak begitu dihebahkan secara terbuka, namun sukar untuk saya menafikan bahawa ianya tidak diamalkan sama sekali. Sukar untuk saya sendiri mempercayai sepenuhnya sekiranya dikatakan Najib, Hishamuddin, Mukhriz, Syed Hamid, Nur Jazlan, Si Pin, Guan Eng, Hsien Loong - sekadar beberapa personaliti sebagai contoh - diletakkan di dalam pusaran utama kuasa politik secara kebetulan semata-mata. Penerimaan masyarakat terhadap ketokohan keturunan mereka adalah persepsi dan keputusan politik yang dibayangi oleh dominasi ideologi politik bapa atau datuk dan nenek moyang mereka. Tidak ada yang salah mengenai hal itu. Penghormatan dan perakuan yang diserahkan oleh masyarakat kepada mereka adalah kesinambungan kepercayaan mereka kepada personaliti yang mereka sendiri pilih untuk melontarkan sokongan politik secara tidak berbelah bagi. Pengkaji dan sarjana seperti Milne memperaku kenyataan bahawa dalam sistem politi alam Melayu, antara unsur-unsur utama yang mendominasi sikap dan kepercayaan politik orang-orang Melayu adalah unsur-unsur keturunan/kebangsawanan serta kualiti diri yang 'tidak sombong'. Hal ini menjadi perhatian utama di kalangan orang-orang Melayu sama ada calon-calon pemimpin menyukainya atau pun tidak, mempersetujui atau pun menyanggah. Budaya politik orang-orang Melayu sangat berlainan berbanding budaya politik kebanyakan masyarakat lain, di Malaysia mahu pun di negara-negara Barat. Unsur-unsur ritualisme, simbolisme dan estetika sangat mendominasi dan saling mempengaruhi. Hal ini sangat perlu diperguna dan dimanfaat sepenuhnya oleh setiap calon.
Sehingga malam tadi, Muhyiddin sudah pun memperoleh 2 pencalonan; untuk jawatan Naib Presiden pula Hishamuddin mendahului dengan 2 pencalonan diikuti dengan Rais Yatim, Syed Hamid, Annuar Musa dan Mohamed Khalid Nordin yang masing-masing mendapat 1 pencalonan. Di atas kertas, nampak agak jelas bagaimana Muhyiddin sukar untuk digugat - beliau ada banyak kelebihan terutamanya atas faktor beliau yang mempamerkan kualiti personaliti yang selalu menjadi rujukan dan keutamaan orang-orang Melayu (tidak semestinya golongan partisan) seperti sabar, tenang, berani, berpendirian jelas dan konsisten, serta kelihatannya sangat menghormati dan mengutamakan pengikut. Ini ditambahkan lagi oleh sokongan Tun Mahathir terhadap Muhyiddin yang dibuat secara terbuka. Ada yang beranggapan 'Tidakkah sokongan Mahathir berkemungkinan menjadi beban (liability) kepada Muhyiddin yang akhirnya akan membunuh karier politik Muhyiddin sendiri?" Saya fikir tidak. Alasannya? Pertama, Muhyiddin berakarumbi yang sangat kuat jika dilihat pada rekod pencapaian beliau sebelum ini. Jadi, sokongan Mahathir sebenarnya merupakan bonus kepada beliau untuk walaupun hal ini kelihatannya akan menyerbasalahkan Najib. Kedua, Tun Mahathir masih mempunyai sokongan kuat daripada sebahagian kelompok besar orang-orang Melayu. Dalam situasi kepemimpinan sekarang, pada waktu orang Melayu melihat kekalutan yang menjejaskan kehormatan status dan harga diri Melayu semakin membarah, personaliti sekeras Mahathir dan Muhyiddin (2M) amat diperlukan untuk mengabui dan kemudian mengimbangi kelembutan dan kehemahan Najib, sekiranya orang-orang Melayu terpaksa juga menerima Najib sebagai Presiden dan kelak, Perdana Menteri.
Jawatan Ketua Pemuda memang sangat penting dan utama - "Jika hendak melihat kekuatan sesuatu bangsa, lihat pada kualiti pemuda-pemudinya!
Mukhriz dan Khairy adalah personaliti-personaliti baru yang sedang dinilai secara kritis oleh orang-orang Melayu. Dua personaliti yang sangat berbeza-beza namun sangat menarik untuk dianalisis dalam iklim politik semasa. Mukhriz ialah anak Tun Mahathir. Beliau adalah daripada 'ansara circle' - lepasan MRSM yang membolehkan sebahagian kecil inteligensia Melayu membantu beliau secara senyap dari belakang. Orang Melayu sangat memberatkan soal mengenang budi dan jasa. Orang Melayu juga amat mengutamakan kerendahan diri yang dipertontonkan secara berterusan. Selain itu, orang Melayu mengagumi keberanian, sama seperti bagaimana Hang Jebat turut diangkat sebagai wira oleh sebahagian besar orang Melayu walaupun dia mendurhaka kepada Sultan dan dibayangi watak murni Hang Tuah. Sudahnya, kedua-dua Hang Jebat dan Hang Tuah tidak dibenci, sebaliknya dinilai secara kritis - pro dan kontranya - oleh orang-orang Melayu.
Khairy adalah lambang anak muda generasi baru yang datang dengan pakaian dan perwatakan baru dalam kelir (layar) sistem politi orang-orang Melayu. Khairy digambarkan wataknya dengan pelbagai cara melalui wacana-wacana kedai kopi dan lobi-lobi hotel. Gaya kepemimpinan Khairy yang kelihatannya sangat tebal transactional-nya - yang bertunjangkan konsep reciprocity atau timbal-balas - sangat bersesuaian dengan daya kepemimpinan ala Amerika dan Inggeris. Konsep dan ungkapan setiakawan yang dijadikan modal kempen oleh Khairy meletakkan dirinya dalam keadaan yang 'kembali kepada kampung' atau 'mampir kepada rakyat' sebagaimana Sukarno menjaja slogan 'marhaenisme' yang menjadikan dirinya berkarisme pada zaman beliau. Personaliti Khairy juga sangat akrab dengan gaya dan aliran mahasiswa semasa yang berorientasikan sifat-sifat lasak, terbuka, sangat berterus terang, dan adventurous.
Tinggalkan soal personaliti barang sebentar. Dalam banyak kajian (misalnya Baradat 1999, Funderburk & Thobaben 1994), para pengkaji percaya bahawa selain kualiti personaliti, ideologi politik - terutamanya pemimpin - mempunyai kesan yang sangat besar ke atas masyarakat. Dalam banyak hal, ideologi politik dikenalpasti sebagai sumber bagi sebarang tindakan yang boleh mencetuskan perubahan dalam masyarakat. Ideologi politik merupakan satu antara beberapa punca utama yang membentuk persepsi masyarakat, sekaligus mencorakkan perilaku mereka dalam kehidupan seharian, termasuk keputusan dan tindakan politik. Pada sesuatu masa, mungkin ada yang berideologi sama ada komunisme, sosialisme demokratik, ataupun mungkin juga liberalisme (sama ada dalam bentuk klasik mahu pun moden).

2
Sedikit selingan. Shah Rukh Khan dianugerahi gelaran Datuk - ini tentunya mengundang pelbagai tafsiran; ada yang stereotaip dan ada yang sinikal, bergantung kepada persepsi masing-masing.