Titah rasmi Majlis Raja-Raja yang diwartakan semalam tentunya sudah lebih daripada memadai untuk mengingatkan semula pihak-pihak yang sebelum ini secara nakal mencuit-cuit isu hak dan keistimewaan Melayu yang selama ini dipelihara dengan amat baik dan berwaspada oleh semua ketua pelbagai kaum pada era kemerdekaan tanahair. Apa yang disimpulkan oleh Majlis amatlah mudah untuk difahami: bahawa isu tersebut adalah 'mainan nakal' orang-orang politik yang berniat tertentu.
Alam ini - yang dipetakan sebagai negara Malaysia - adalah alam Melayu dalam lingkungan Nusantara yang bertunjangkan akar Melayu baik negara-negara yang berada dalam lingkungan itu dinamakan sebagai Indonesia, Filipina, Brunei atau lain-lainnya. Di negara ini, asas pentadbiran alam Melayu ini bukanlah baru sehari dua ini diwujudkan. Sewaktu kebangkitan Selangor dan Kuala Lumpur sebagai pusat pembangunan ekonomi di alam Melayu ini, seluruh alam Melayu serta antarabangsa, sejauh Belanda, British, Timur Tengah dan China, memahami sifat negara ini yang sedemikian unik. Apa yang dihidupkan pada hari ini – yang ditunjukkan oleh kepesatan pembangunan Selangor dan Kuala Lumpur – adalah jelmaan pemikiran dan usaha Raja Jumaat dan Raja Abdullah khususnya yang membuka ruang dan memberi peluang kepada orang-orang China untuk bersama-sama dengan orang-orang Melayu yang sememangnya sudah sedia bekerja di kawasan yang pada hari ini dikenali sebagai Kuala Lumpur.
Cubalah baca. Sumber-sumber teks tradisi seperti sejarah Melayu, Undang-Undang Melaka dan Undang-Undang Laut memberikan banyak maklumat yang sentiasa boleh disahkan ketulenan fakta-faktanya. Nilai-nilai ritual, simbolisme dan estetika yang terpancar pada kepercayaan, nilai dan amalan dunia Melayu dapat dipamerkan dengan jelas. Kedua, para pemikir dan pencinta ilmu boleh secara langsung membaca jurnal-jurnal dan buku-buku yang ditulis oleh ahli-ahli sejarah dan antropologis-sosiologis. Ada banyak jurnal dan bacaan seumpama itu terdapat secara atas talian (on-line) dan dibukukan. Antara yang boleh diperakukan adalah jurnal-jurnal yang diterbitkan oleh agensi-agensi yang diiktiraf kewibawaan mereka seperti Council of Malaysian Branch of the Royal Asiatic Society (MBRAS) dan Malaysian Historical Association (MHA). Malah, tidak banyak artikel dan buku yang disusun dan dikarang oleh mereka yang diakui ketokohan masing-masing yang mengeraskan kesahihahn fakta-fakta yang berkaitan isu ini. Artikel-artikel serta buku-buku seperti yang dikarang umpamanya oleh Aminudin Baki (1996); Buyong Adil (1991), Mohamed Amin Hassan (1966; 1967), Mohamed Ibrahim bin Abdullah Munshi (1075), Sheppard, (1985), Swettenham, (1890; 1900), Khoo Kay Kim (1972; 1974; 1991) Gullick (1958; 1987; 1992; 1998) memadai sekurang-kurangnya untuk memberi gambaran sistem politi alam Melayu.
Alam Melayu ini tidak menunjukkan episod sejarah yang melampau – apatah lagi sebarang kemungkinan anarki - dari segi tindakan komunti Melayu kepada bangsa lain, selain daripada tindakan untuk menjaga dan mempertahan kesejahteraan dunia yang dirujuk sebagai “alam Melayu” itu sendiri. Masyarakat alam Melayu – biar dari kalangan Bugis, Minangkabau, Sumatera, Mandailing, Kerinchi, Jawa, Asli dan seumpamanya – tidak pernah direkodkan dalam sejarah pernah, secara sesuka hati, menganiaya dan menyusahkan orang-orang lain yang datang dari luar alam Melayu. Sebaliknya, mereka, terutamanya orang-orang Cina di alam Melayu ini dilindungi secara eksklusif oleh ketua-ketua puak Melayu. Buruh-buruh Cina telahpun mula bekerja di lombong bijih timah dan emas di Titian Akar, dekat Bandar Melaka sejak tahun 1793. Sungai Ujong dan Lukut merupakan antara dua kawasan perlombongan utama yang dicatatkan dalam sejarah yang menyaksikan gabungan usaha orang-orang Melayu dengan orang-orang China. Sejak itu sehinggalah ke tahun 1880an, para pemerintah dan pentadbir alam Melayu sudahpun memberikan sambutan, penerimaan dan memberi ruang (accomodation) yang luar biasa terhadap kehadiran orang-orang asing, terutamanya pelombong-pelombong China di alam ini. Para pentadbir tersebut, antaranya yang dicatat dalam dokumen-dokumen sejarah yang masih boleh dibaca oleh seluruh rakyat Malaysia pada hari ini, antaranya termasuklah Raja Busu (meninggal dunia pada 1834), Raja Jumaat (meninggal dunia pada 1864), Raja Abdullah (pengasas Kuala Lumpur), Sultan Ahmad Tajuddin (1855-1879), Sultan Abu Bakar (1862-1895) dan Tunku Kudin (1868-1878).
Di sebalik segala fakta berkaitan kesukaran hidup dan keadaan tertekan yang dialami oleh komuniti Melayu, khususnya sebagaimana diperlihatkan pada tahun-tahun 1950an, mereka – yakni orang-orang Melayu - masih lagi boleh menerima dan memberi laluan kepada komuniti bukan Melayu. Di sudut inilah, Chandra mengemukakan persoalan, “What were the reasons behind what appears to be the Malay’s tremendous political magnanimity?” (hal. 29).
Bagaimanapun, tidak dapat dinafikan, secara memencil titik-titik hitam dunia Melayu tetap ada. Cuma, meskipun berlaku kekecohan dan kekalutan, namun kekecohan itu adalah berpunca daripada konflik dan krisis dalaman bangsa Melayu sendiri. Dan jika ada pun konflik yang melibatkan perhubungan antara orang Melayu dengan bangsa lain, ia terjadi akibat daripada pertentangan konflik nilai dan amalan antara orang Melayu dengan bangsa lain yang terlibat. Konflik tersebut pula tidaklah diundang secara dirancang oleh orang Melayu sendiri.
Itulah yang berlaku pada tahun-tahun 1828 dan 1834 misalnya, apabila alam Melayu menyaksikan pertelingkahan berdarah antara orang Melayu dan China akibat daripada isu ekonomi dan kependudukan. Pada tahun 1828, hampir-hampir 1,000 orang China dibunuh di Rasah, yang dikaitkan oleh sejarahwan dengan isu lebihan dan kebanjiran penduduk akibat daripada bilangan lombong yang semakin bertambah. Pada September 1834 pula, dilaporkan antara 300-400 orang China menyerang dan membakar kediaman pentadbir Lukut, Raja Busu serta beberapa ‘majikan’ Melayu yang lain. Raja Busu merupakan pembesar Melayu yang memberi peluang kepada orang-orang China untuk datang ke Lukut dari Melaka untuk bekerja di lombong Lukut. Dalam tragedi itu Raja Busu meninggal dunia. Tragedi itu kemudiannya disusul dengan tindakbalas orang-orang Melayu yang membunuh orang-orang China sewaktu orang-orang China berusaha melarikan diri ke sempadan wilayah Melaka (dilaporkan misalnya oleh Gullick, (1998) dalam A History of Selangor 1766-1939, halaman 35.
Teliti misalnya sejarah Kuala Lumpur. Kuala Lumpur bukan sahaja jadi pusat perniagaan dan perdagangan paling sibuk di alam Melayu ini, malah menjadi benteng kebal bukan Melayu. Selama ini, secara tradisi, tumpuan kuasa politik orang Melayu dilihat dari segi pemusatan kuasa Kesultanan Melayu. Atas sifat itulah maka Kuala Selangor menjadi pusat pentadbiran kerajaan pada zaman lampau. Namun keadaan itu tidak lagi menjadi trend di alam Melayu dalam konteks pembangunan Kuala Lumpur. Sehingga tahun 1875 misalnya, Swettenham melaporkan keadaan Kuala Lumpur yang jelas menunjukkan pemisahan dari segi corak petempatan dan pentadbiran yang berasaskan pengasingan antara Melayu, China dan Eropah. Peta Kuala Lumpur lakaran Swettenham serta perbandingan dengan kajian-kajian lain selepas itu dengan jelas menggambarkan persempadan antara Melayu, China dan Eropah. Persempadan itu sengaja diwujudkan, dan diterima di alam Melayu ini, semata-mata atas kesediaan orang-orang Melayu untuk mengelakkan sebarang pertelingkahan khususnya dengan komuniti Cina. Ini merupakan antara bentuk pendekatan yang dijadikan asas untuk kehidupan bersama antara komuniti berlainan etnik di Tanah Melayu sejak zaman Yap Ah Loy, Kapitan bagi orang-orang China pada zaman awal Tanah Melayu. Lihat misalnya, penjelasan Gullick (1998). Antara lain, beliau melaporkan bagaimana lingkungan peraturan persekitaran komuniti pada masa tersebut begitu unik. Orang-orang Melayu dan Cina telah mengasingkan diri di kawasan masing-masing untuk mengelakkan pertelingkahan dengan orang-orang Cina mengenai isu penternakan babi dan isu-isu lain.
Dengan kata lain, telah berkurun-kurun rakyat alam Melayu bertoleransi dengan masyarakat Cina. Itu merupakan antara pengorbanan terbesar yang diterima tanpa ungkitan atau sungutan yang berlebih-lebihan.
Toleransi dan saling memahami merupakan penawar yang telah menghidupi alam Melayu. Persefahaman itulah juga yang ditunjukkan dalam soal-soal pentadbiran petempatan yang melibatkan sensitiviti dan hak eksklusif masyarakat alam Melayu yang sentiasa diberikan perhatian oleh Yap Ah Loy selaku Ketua Pentadbir, atau Kapitan orang China di Kuala Lumpur. Dan ini membawalah sehingga ke saat-saat genting tatkala negara ini di ambang mencapai kemerdekaan. Ketika ketidakpastian masih terus menggelisahkan semua komuniti Melayu khususnya berkenaan soal kewarganegaraan, komuniti Melayu masih terus mempamerkan polisi penerimaan dan memberi ruang. ini diliputi misalnya oleh akhbar Straits Echo, 11 Julai 1957 yang melaporkan bagaimana Tunku Abdul Rahman menyatakan, sewaktu dalam sidang Majlis Perundangan Persekutuan dalam tahun 1957, bahawa “Ia (kewarganegaraan) adalah hak yang menyebabkan orang-orang Melayu bimbang dan gusar. Bagaimanapun disebabkan hasrat untuk menjadikan orang-orang Melayu mendorong sebagai negara merdeka, mereka bersedia untuk memberikan hak tersebut kepada orang-orang baru”. Tunku juga telah, sebelum itu, menenangkan orang-orang Melayu dengan mengatakan bahawa orang-orang Melayu “tidak akan kehilangan apa-apa, sebaliknya beruntung bila mendapat kemerdekaan.”
Atas konsep dan semangat penerimaan serta memberi lalu itulah, maka sistem politi Melayu melihat sebarang ketidakpedulian pentadbir politik bukan Melayu dalam soal ini tentunya mengundang potensi kesangsian alam Melayu mengenai niat sebenar mereka, dan barangkali, niat sebenar orang-orang bukan Melayu tatkala mereka kembali mengungkit-ngungkit soal rakyat Malaysia dan kewarganegaraan yang dikatakan “hak” mereka. Dan kata-kata seperti “tidak perlu berterima kasih kepada pentadbir-pentadbir politik Melayu atas isu kerakyatan” umpamanya, dianggap merupakan provokatif yang berisiko terhadap sistem politik negara. Ini pernah berlaku. Cuba lihat semula laporan akhbar mengenai kenyataan bekas Presiden Parti Gerakan, Dr. Lim Keng Yaik yang meminta parti politik melupakan formula kontrak sosial yang telah dipersetujui semua kaum ketika negara ini kemerdekaan pada tahun 1957 dahulu. Pada 15 Ogos 2005, Dr. Lim Keng Yaik dipetik oleh akhbar menyampaikan mesej, antara lain, bermaksud “Malaysia will never see the creation of a Bangsa Malaysia as long as there are people using the 1957 social contract to silence the non-Malaysa.” (New Straits Times, August 15, 2005, pg. 22). Pada 17 Ogos 2005 pula, akhbar – misalnya Utusan Malaysia – melaporkan bagaimana Dr. Lim Keng Yaik menemui Perdana Menteri untuk menjelaskan isu kontrak sosial; manakala pada 18 Ogos 2005, Utusan Malaysia melaporkan keputusan Kabinet untuk menerima penjelasan Dr. Lim Keng Yaik berkenaan kontrak sosial dan ungkapan bangsa Malaysia sebagai merujuk kepada rakyat negara ini. Sebelum itu, pada 14 Ogos 2005, Presiden MCA, Datuk Seri Ong Ka Ting mengungkapkan semula konsep “Rakyat Malaysia” yang disifatkan sebagai penting dan tepat pada masanya dalam keadaan sekarang (Utusan Malaysia, 15 Ogos 2005, halaman 13). Sekali lagi, pendirian ‘accomodation & acceptance’ ditunjukkan secara teori dan amali oleh sistem politi Melayu negara ini.
Ini merupakan isu yang sangat penting kerana pada kenyataannya, soal penerimaan (accomodating) bukan sahaja melibatkan komuniti bukan Melayu atau bukan Islam semata-mata, malah turut melibatkan di kalangan orang-orang Melayu sahaja. Gullick (1998:147) dan Milner (1982:2) umpamanya memerhatikan bahawa di kalangan komuniti Melayu sendiri pun, para penduduk asal sesuatu tempat memandang pihak imigran “Melayu” yang lain (yang dikenal sebagai ‘orang dagang’) sebagai orang asing yang tidak dialu-alukan; ini memanglah agak ironis kerana sebagaimana menurut Milne, memang betul orang-orang Melayu yang meninggalkan kampung halaman dan “merantau” di dalam ‘alam Melayu’ yang bahasa mereka adalah sama, manakala ciri budaya mereka – seperti monarki dan Islam - adalah pemandangan yang sama, namun dari segi identiti dan ketaatan politik, tidak terdapat unsur kesatuan sama sekali.
Dan dari perspektif Islam, keadaan sebegini adalah berlawanan dengan anjuran dan ajaran Rasualallah, sebagaimana sabda Baginda, ”Orang yang tidak berterima kasih kepada orang lain (yang melakukan kebaikan kepadanya) adalah tidak berterima kasih kepada Allah SWT”
(RasullaLlah S.A.W, riwayat Abu Daud).
Dan dari perspektif Islam, keadaan sebegini adalah berlawanan dengan anjuran dan ajaran Rasualallah, sebagaimana sabda Baginda, ”Orang yang tidak berterima kasih kepada orang lain (yang melakukan kebaikan kepadanya) adalah tidak berterima kasih kepada Allah SWT”
(RasullaLlah S.A.W, riwayat Abu Daud).
Retorika-kah hal atau isu yang dipandang sungguh-sungguh oleh Majlis Raja-Raja Melayu itu?