Friday, October 10, 2008

pemilihan atau pencarian?

Aris membisikkan pada saya semalam bahawa entri saya semakin pendek-pendek sejak kebelakangan ini. "Tidak puas membacanya", katanya.
"Baiklah, nanti saya usahakan untuk menjadikannya longer", balas saya.
Ini topik hari ini. Selamat membaca.
Montaj
Sehingga awal pagi ini, media melaporkan perlumbaan untuk pencalonan jawatan-jawatan tertinggi UMNO semakin rancak. Datuk Seri Najib Razak sudah pun menawarkan dirinya sebagai calon untuk jawatan Presiden, selain daripada Tengku Razaleigh (Ku Li) yang sudah berbuat demikian lebih awal.Tan Sri Muhammad Muhammad Taib, Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan Datuk Nur Jazlan Mohamed sudah mengesahkan pendirian masing-masing untuk kategori Timbalan Presiden; Datuk Seri Zahid Hamidi menarik diri manakala Tan Sri Muhyiddin Yassin masih meninggalkan tanda tanya untuk ditafsir oleh pihak media dan golongan partisan lain. Jawatan Ketua Pemuda turut semakin berbahang. Empat calon jawatan Ketua Pemuda – Mukhriz Mahathir, Khairy Jamaluddin, Mohd Khir Toyo & Zahidi Zainul Abidin – sudah menghangat kempen terlebih awal.


Politik
Secara tradisi, politik diungkapkan sebagai proses menentukan secara autoritatif mengenai siapa yang mendapat apa, bila & bagaimana (ini kata-kata Lasswell 1958, yang tidak begitu kerap disanggah orang). Katanya lagi, mereka yang berkuasa politik sentiasa mempunyai keupayaan untuk mengawal dan/atau mempengaruhi peruntukan sumber melalui proses-proses politik.

Ramai menyoal bagaimana politi (dan politik) berupaya mengubah kehidupan manusia: namun itu kerja dan tanggungjawab kerajaan. Untuk sementara ini, topik mengenai kerajaan tidak begitu penting. Sesiapa sahaja personaliti-personaliti yang dipilih oleh PM untuk menyertai barisan kabinet bila tiba masanya nanti adalah soal kedua. Isu utama sekarang ini adalah persoalan mengenai personaliti-personaliti yang manakah yang orang-orang partisan Melayu akan pilih untuk menjadi ketua mereka kelak. Hal ini penting kerana sama ada orang-orang lain – yang bukan ahli UMNO, yang bukan ahli politik, yang bukan siapa-siapa melainkan rakyat biasa – suka atau tidak, sedar atau mimpi, mereka semua hidup dalam lingkungan persekitaran alam yang sama, alam Melayu. Mungkin ada di kalangan orang Melayu sendiri yang tidak selesa dengan ungkapan itu: bahawa kita hidup dalam alam Melayu. Tidak perlu salahkan sesiapa: ilmu bukan ciptaan dan milik manusia; ilmu darjatnya tinggi kerana hanya yang terpilih akan dihidayahkan untuk menghargai dan memanfaatkan ilmu. Bagaimana pun, apa yang pasti, semuanya berkaitan dengan sejarah kerana sejarah adalah pelajaran terbaik yang boleh menjadikan manusia – partisan atau tidak – sedar dan insaf mengenai kesejahteraan negara.

Sarjana-sarjana lampau sudah meneliti sehalus mungkin semua fenomena yang berkaitan dengan manusia dan politi. Ibnu Khaldun, Maslow, Parsons misalnya sudah bercerita panjang mengenai manusia dan perubahan. Menariknya, hampir-hampir kebanyakan mereka bersetuju bahawa manusia amat senang mengubah diri mereka bila-bila waktu mereka senangi. Soal sebegini – soal personaliti idaman yang unggul – adalah sesuatu yang universal. Maslow menyebut hal itu sebagai ‘orang yang membenarkan diri sendiri’ (self-actualized person): yang jelas dan nyata persepsi dirinya; yang terbuka kepada pengalaman-pengalaman baru; yang dirinya menyatu dalam banyak hal; yang nyata kesyumulan dirinya; yang sentiasa ada unsur-unsur spontan; yang menyatakan secara terbuka keinginan dan cita-citanya; yang sentiasa segar dan ‘hidup’; yang jelas identitinya; yang bebas; yang unik; yang objektif (tidak ada dolak-dalik dan beralasan); yang bisa menyingkir sesuatu secara segera dan semahunya; yang kreatif (meski tidak selalunya mengikut norma orang ramai); yang berupaya menukar mimpi kepada kenyataan; yang mempamerkan sedikit sebanyak unsur-usnur demokratis dalam perwatakannya (fleksibel, kurang lebihnya); dan yang berkeupayaan untuk menyintai.

Bagaimana hal ini mahu dikaitkan langsung dengan soal-soal politi, politik, kepemimpinan dan kepartian? Sebenarnya hal ini sangat membimbangkan teoris-teoris perubahan, terutamanya perubahan sosial. Kenapa? Cita-cita untuk mempunyai personaliti unggul yang menjadi idaman seperti itu selalunya dibatasi halangan yang datang dari dalam diri manusia-manusia sendiri. Teoris seperti Yablonsky (1972) mengaitkan ungkapan ‘robopathology’ yang kerap menyusahkan sistem politi untuk mempunyai manusia unggul dalam masyarakat. Hal itu berlaku apabila manusia ‘menjual dan menyerahkan dorongan-dorongan kemanusiaan mereka dalam bentuk-bentuk keseronokan, kegembiraan dan keberanian kepada desakan mesin-mesin sosial disebabkan ketakutan dan ketidakcukupan dalam kehidupan’.

Jadi, dalam situasi sekarang, sebenarnya apa yang lebih utama, memilih pemimpin, atau mencari pemimpin?
Nota saya: Saya inginkan pemimpin, bukannya pengurus...
Selamat meneroka.