Sehingga malam tadi (Ahad 12 Oktober 2008), carta pencalonan pemilihan UMNO tidak memperlihat sebarang kejutan. Kalau pun ada - jika boleh dikatakan kejutan kerana secara tradisinya orang-orang Melayu menghormati ketua yang mereka terima kepemimpinannya dan Tan Sri Muhammad adalah juga seorang 'ketua' di dalam UMNO Selangor - hanyalah pada keputusan Bahagian Shah Alam yang tidak mencalonkan Tan Sri Muhammad. Tekaan awal yang mengagak-agak bahawa Tan Sri Muhammad hanyalah berperanan sebagai 'calon pengacau undi' menerpa dengan jelas di fikiran.
2
Mukhriz & Khairy menjadi tumpuan utama proses pemilihan kali ini. Seperti yang sudah diulas oleh media dan orang-ramai, persaingan mendapatkan pencalonan kelayakan antara kedua-duanya memihak lebih awal kepada Mukhriz yang sudah dipercayakan untuk memperoleh 40 pencalonan manakala Khairy masih memerlukan tidak kurang 19 pencalonan lagi untuk dijadikan lesen yang melayakkan beliau bertanding.
Lebih atau kurangnya Mukhriz
Dari sudut kepemimpinan, Mukhriz adalah pemimpin muda yang tenang yang menyandarkan hala perjuangan politiknya ke arah aktiviti-aktiviti intelektualisme dan berpaksikan kemanusiaan. Peranan beliau yang aktif melalui NGO, khususnya Aman Malaysia serta kegiatan-kegiatan keilmuan yang berterusan - terutamanya yang mendekatkan beliau dengan pusat-pusat pengajian tinggi melalui platform keilmuan - meletakkan Mukhriz sebagai pemimpin rujukan (melalui reference power; dalam pengajian kepemimpinan ia bermaksud situasi yang memperlihat keupayaan Mukhriz untuk diterima dan dihormati oleh pengikut lantaran kemahiran kepemimpinan beliau yang khusus). Kepada elit pertengahan serta anak-anak muda yang berlatarbelakangkan pendidikan tinggi yang tidak robust dan bukan bersifat memberontak , Mukhriz adalah lambang pemimpin muda yang wajar diberikan peluang untuk mempimpin secara lebih bermakna. Bagaimana pun, Mukhriz juga mempunyai sedikit ruang yang boleh dilihat sebagai kekurangan: Mukhriz kelihatannya belum mempunyai tapak yang kukuh untuk membolehkannya mendapatkan penerimaan yang lebih luas, bermakna dan berkesan di kalangan orang-orang biasa. Penglibatan beliau yang tertumpu kepada kegiatan-kegiatan kemanusiaan 'peringkat tinggi' meletakkan dirinya agak sedikit berjauhan daripada kejiranan dan orang-orang biasa. Namun, dengan sedikit masa, dan atas kelebihannya sebagai YB, peluang Mukhriz sentiasa terbuka.