Tuesday, October 21, 2008

kelebihan pemimpin

Templakan yang dibuat oleh Pak Lah terhadap kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini - yang diliputi oleh semua media perdana - memberikan beberapa gambaran jelas mengenai kepemimpinan sebagai satu subjek yang menekankan soal-soal 'kepengikutan' (followership). Diterima atau tidak, Tun Dr Mahathir mempunyai pengikut setia yang cukup banyak, sekiranya maklumbalas daripada pembaca blog beliau diambil kira sebagai penerang atau petanda kepada sokongan yang diterima oleh Tun. Di sebaliknya, kemarahan Pak Lah terhadap kenyataan Tun itu juga memberikan isyarat bahawa setiap kata-kata Tun ada potensi disusul oleh tindakan atau sokongan orang ramai, menjelaskan bagaimana ketokohan Tun boleh dikategori di bahawa kepemimpinan jenis transformasi/karismatik; manakala 'kuasa' Tun pula diperolehi berdasarkan sumber pendapat atau pandangan beliau yang menerima banyak pengesahan atau perakuan orang ramai (opinion leader).

Saturday, October 18, 2008

pasca titah Raja-Raja Melayu

Titah rasmi Majlis Raja-Raja yang diwartakan semalam tentunya sudah lebih daripada memadai untuk mengingatkan semula pihak-pihak yang sebelum ini secara nakal mencuit-cuit isu hak dan keistimewaan Melayu yang selama ini dipelihara dengan amat baik dan berwaspada oleh semua ketua pelbagai kaum pada era kemerdekaan tanahair. Apa yang disimpulkan oleh Majlis amatlah mudah untuk difahami: bahawa isu tersebut adalah 'mainan nakal' orang-orang politik yang berniat tertentu.
Alam ini - yang dipetakan sebagai negara Malaysia - adalah alam Melayu dalam lingkungan Nusantara yang bertunjangkan akar Melayu baik negara-negara yang berada dalam lingkungan itu dinamakan sebagai Indonesia, Filipina, Brunei atau lain-lainnya. Di negara ini, asas pentadbiran alam Melayu ini bukanlah baru sehari dua ini diwujudkan. Sewaktu kebangkitan Selangor dan Kuala Lumpur sebagai pusat pembangunan ekonomi di alam Melayu ini, seluruh alam Melayu serta antarabangsa, sejauh Belanda, British, Timur Tengah dan China, memahami sifat negara ini yang sedemikian unik. Apa yang dihidupkan pada hari ini – yang ditunjukkan oleh kepesatan pembangunan Selangor dan Kuala Lumpur – adalah jelmaan pemikiran dan usaha Raja Jumaat dan Raja Abdullah khususnya yang membuka ruang dan memberi peluang kepada orang-orang China untuk bersama-sama dengan orang-orang Melayu yang sememangnya sudah sedia bekerja di kawasan yang pada hari ini dikenali sebagai Kuala Lumpur.
Cubalah baca. Sumber-sumber teks tradisi seperti sejarah Melayu, Undang-Undang Melaka dan Undang-Undang Laut memberikan banyak maklumat yang sentiasa boleh disahkan ketulenan fakta-faktanya. Nilai-nilai ritual, simbolisme dan estetika yang terpancar pada kepercayaan, nilai dan amalan dunia Melayu dapat dipamerkan dengan jelas. Kedua, para pemikir dan pencinta ilmu boleh secara langsung membaca jurnal-jurnal dan buku-buku yang ditulis oleh ahli-ahli sejarah dan antropologis-sosiologis. Ada banyak jurnal dan bacaan seumpama itu terdapat secara atas talian (on-line) dan dibukukan. Antara yang boleh diperakukan adalah jurnal-jurnal yang diterbitkan oleh agensi-agensi yang diiktiraf kewibawaan mereka seperti Council of Malaysian Branch of the Royal Asiatic Society (MBRAS) dan Malaysian Historical Association (MHA). Malah, tidak banyak artikel dan buku yang disusun dan dikarang oleh mereka yang diakui ketokohan masing-masing yang mengeraskan kesahihahn fakta-fakta yang berkaitan isu ini. Artikel-artikel serta buku-buku seperti yang dikarang umpamanya oleh Aminudin Baki (1996); Buyong Adil (1991), Mohamed Amin Hassan (1966; 1967), Mohamed Ibrahim bin Abdullah Munshi (1075), Sheppard, (1985), Swettenham, (1890; 1900), Khoo Kay Kim (1972; 1974; 1991) Gullick (1958; 1987; 1992; 1998) memadai sekurang-kurangnya untuk memberi gambaran sistem politi alam Melayu.
Alam Melayu ini tidak menunjukkan episod sejarah yang melampau – apatah lagi sebarang kemungkinan anarki - dari segi tindakan komunti Melayu kepada bangsa lain, selain daripada tindakan untuk menjaga dan mempertahan kesejahteraan dunia yang dirujuk sebagai “alam Melayu” itu sendiri. Masyarakat alam Melayu – biar dari kalangan Bugis, Minangkabau, Sumatera, Mandailing, Kerinchi, Jawa, Asli dan seumpamanya – tidak pernah direkodkan dalam sejarah pernah, secara sesuka hati, menganiaya dan menyusahkan orang-orang lain yang datang dari luar alam Melayu. Sebaliknya, mereka, terutamanya orang-orang Cina di alam Melayu ini dilindungi secara eksklusif oleh ketua-ketua puak Melayu. Buruh-buruh Cina telahpun mula bekerja di lombong bijih timah dan emas di Titian Akar, dekat Bandar Melaka sejak tahun 1793. Sungai Ujong dan Lukut merupakan antara dua kawasan perlombongan utama yang dicatatkan dalam sejarah yang menyaksikan gabungan usaha orang-orang Melayu dengan orang-orang China. Sejak itu sehinggalah ke tahun 1880an, para pemerintah dan pentadbir alam Melayu sudahpun memberikan sambutan, penerimaan dan memberi ruang (accomodation) yang luar biasa terhadap kehadiran orang-orang asing, terutamanya pelombong-pelombong China di alam ini. Para pentadbir tersebut, antaranya yang dicatat dalam dokumen-dokumen sejarah yang masih boleh dibaca oleh seluruh rakyat Malaysia pada hari ini, antaranya termasuklah Raja Busu (meninggal dunia pada 1834), Raja Jumaat (meninggal dunia pada 1864), Raja Abdullah (pengasas Kuala Lumpur), Sultan Ahmad Tajuddin (1855-1879), Sultan Abu Bakar (1862-1895) dan Tunku Kudin (1868-1878).

Di sebalik segala fakta berkaitan kesukaran hidup dan keadaan tertekan yang dialami oleh komuniti Melayu, khususnya sebagaimana diperlihatkan pada tahun-tahun 1950an, mereka – yakni orang-orang Melayu - masih lagi boleh menerima dan memberi laluan kepada komuniti bukan Melayu. Di sudut inilah, Chandra mengemukakan persoalan, “What were the reasons behind what appears to be the Malay’s tremendous political magnanimity?” (hal. 29).
Bagaimanapun, tidak dapat dinafikan, secara memencil titik-titik hitam dunia Melayu tetap ada. Cuma, meskipun berlaku kekecohan dan kekalutan, namun kekecohan itu adalah berpunca daripada konflik dan krisis dalaman bangsa Melayu sendiri. Dan jika ada pun konflik yang melibatkan perhubungan antara orang Melayu dengan bangsa lain, ia terjadi akibat daripada pertentangan konflik nilai dan amalan antara orang Melayu dengan bangsa lain yang terlibat. Konflik tersebut pula tidaklah diundang secara dirancang oleh orang Melayu sendiri.

Itulah yang berlaku pada tahun-tahun 1828 dan 1834 misalnya, apabila alam Melayu menyaksikan pertelingkahan berdarah antara orang Melayu dan China akibat daripada isu ekonomi dan kependudukan. Pada tahun 1828, hampir-hampir 1,000 orang China dibunuh di Rasah, yang dikaitkan oleh sejarahwan dengan isu lebihan dan kebanjiran penduduk akibat daripada bilangan lombong yang semakin bertambah. Pada September 1834 pula, dilaporkan antara 300-400 orang China menyerang dan membakar kediaman pentadbir Lukut, Raja Busu serta beberapa ‘majikan’ Melayu yang lain. Raja Busu merupakan pembesar Melayu yang memberi peluang kepada orang-orang China untuk datang ke Lukut dari Melaka untuk bekerja di lombong Lukut. Dalam tragedi itu Raja Busu meninggal dunia. Tragedi itu kemudiannya disusul dengan tindakbalas orang-orang Melayu yang membunuh orang-orang China sewaktu orang-orang China berusaha melarikan diri ke sempadan wilayah Melaka (dilaporkan misalnya oleh Gullick, (1998) dalam A History of Selangor 1766-1939, halaman 35.
Teliti misalnya sejarah Kuala Lumpur. Kuala Lumpur bukan sahaja jadi pusat perniagaan dan perdagangan paling sibuk di alam Melayu ini, malah menjadi benteng kebal bukan Melayu. Selama ini, secara tradisi, tumpuan kuasa politik orang Melayu dilihat dari segi pemusatan kuasa Kesultanan Melayu. Atas sifat itulah maka Kuala Selangor menjadi pusat pentadbiran kerajaan pada zaman lampau. Namun keadaan itu tidak lagi menjadi trend di alam Melayu dalam konteks pembangunan Kuala Lumpur. Sehingga tahun 1875 misalnya, Swettenham melaporkan keadaan Kuala Lumpur yang jelas menunjukkan pemisahan dari segi corak petempatan dan pentadbiran yang berasaskan pengasingan antara Melayu, China dan Eropah. Peta Kuala Lumpur lakaran Swettenham serta perbandingan dengan kajian-kajian lain selepas itu dengan jelas menggambarkan persempadan antara Melayu, China dan Eropah. Persempadan itu sengaja diwujudkan, dan diterima di alam Melayu ini, semata-mata atas kesediaan orang-orang Melayu untuk mengelakkan sebarang pertelingkahan khususnya dengan komuniti Cina. Ini merupakan antara bentuk pendekatan yang dijadikan asas untuk kehidupan bersama antara komuniti berlainan etnik di Tanah Melayu sejak zaman Yap Ah Loy, Kapitan bagi orang-orang China pada zaman awal Tanah Melayu. Lihat misalnya, penjelasan Gullick (1998). Antara lain, beliau melaporkan bagaimana lingkungan peraturan persekitaran komuniti pada masa tersebut begitu unik. Orang-orang Melayu dan Cina telah mengasingkan diri di kawasan masing-masing untuk mengelakkan pertelingkahan dengan orang-orang Cina mengenai isu penternakan babi dan isu-isu lain.
Dengan kata lain, telah berkurun-kurun rakyat alam Melayu bertoleransi dengan masyarakat Cina. Itu merupakan antara pengorbanan terbesar yang diterima tanpa ungkitan atau sungutan yang berlebih-lebihan.
Toleransi dan saling memahami merupakan penawar yang telah menghidupi alam Melayu. Persefahaman itulah juga yang ditunjukkan dalam soal-soal pentadbiran petempatan yang melibatkan sensitiviti dan hak eksklusif masyarakat alam Melayu yang sentiasa diberikan perhatian oleh Yap Ah Loy selaku Ketua Pentadbir, atau Kapitan orang China di Kuala Lumpur. Dan ini membawalah sehingga ke saat-saat genting tatkala negara ini di ambang mencapai kemerdekaan. Ketika ketidakpastian masih terus menggelisahkan semua komuniti Melayu khususnya berkenaan soal kewarganegaraan, komuniti Melayu masih terus mempamerkan polisi penerimaan dan memberi ruang. ini diliputi misalnya oleh akhbar Straits Echo, 11 Julai 1957 yang melaporkan bagaimana Tunku Abdul Rahman menyatakan, sewaktu dalam sidang Majlis Perundangan Persekutuan dalam tahun 1957, bahawa “Ia (kewarganegaraan) adalah hak yang menyebabkan orang-orang Melayu bimbang dan gusar. Bagaimanapun disebabkan hasrat untuk menjadikan orang-orang Melayu mendorong sebagai negara merdeka, mereka bersedia untuk memberikan hak tersebut kepada orang-orang baru”. Tunku juga telah, sebelum itu, menenangkan orang-orang Melayu dengan mengatakan bahawa orang-orang Melayu “tidak akan kehilangan apa-apa, sebaliknya beruntung bila mendapat kemerdekaan.”
Atas konsep dan semangat penerimaan serta memberi lalu itulah, maka sistem politi Melayu melihat sebarang ketidakpedulian pentadbir politik bukan Melayu dalam soal ini tentunya mengundang potensi kesangsian alam Melayu mengenai niat sebenar mereka, dan barangkali, niat sebenar orang-orang bukan Melayu tatkala mereka kembali mengungkit-ngungkit soal rakyat Malaysia dan kewarganegaraan yang dikatakan “hak” mereka. Dan kata-kata seperti “tidak perlu berterima kasih kepada pentadbir-pentadbir politik Melayu atas isu kerakyatan” umpamanya, dianggap merupakan provokatif yang berisiko terhadap sistem politik negara. Ini pernah berlaku. Cuba lihat semula laporan akhbar mengenai kenyataan bekas Presiden Parti Gerakan, Dr. Lim Keng Yaik yang meminta parti politik melupakan formula kontrak sosial yang telah dipersetujui semua kaum ketika negara ini kemerdekaan pada tahun 1957 dahulu. Pada 15 Ogos 2005, Dr. Lim Keng Yaik dipetik oleh akhbar menyampaikan mesej, antara lain, bermaksud “Malaysia will never see the creation of a Bangsa Malaysia as long as there are people using the 1957 social contract to silence the non-Malaysa.” (New Straits Times, August 15, 2005, pg. 22). Pada 17 Ogos 2005 pula, akhbar – misalnya Utusan Malaysia – melaporkan bagaimana Dr. Lim Keng Yaik menemui Perdana Menteri untuk menjelaskan isu kontrak sosial; manakala pada 18 Ogos 2005, Utusan Malaysia melaporkan keputusan Kabinet untuk menerima penjelasan Dr. Lim Keng Yaik berkenaan kontrak sosial dan ungkapan bangsa Malaysia sebagai merujuk kepada rakyat negara ini. Sebelum itu, pada 14 Ogos 2005, Presiden MCA, Datuk Seri Ong Ka Ting mengungkapkan semula konsep “Rakyat Malaysia” yang disifatkan sebagai penting dan tepat pada masanya dalam keadaan sekarang (Utusan Malaysia, 15 Ogos 2005, halaman 13). Sekali lagi, pendirian ‘accomodation & acceptance’ ditunjukkan secara teori dan amali oleh sistem politi Melayu negara ini.
Ini merupakan isu yang sangat penting kerana pada kenyataannya, soal penerimaan (accomodating) bukan sahaja melibatkan komuniti bukan Melayu atau bukan Islam semata-mata, malah turut melibatkan di kalangan orang-orang Melayu sahaja. Gullick (1998:147) dan Milner (1982:2) umpamanya memerhatikan bahawa di kalangan komuniti Melayu sendiri pun, para penduduk asal sesuatu tempat memandang pihak imigran “Melayu” yang lain (yang dikenal sebagai ‘orang dagang’) sebagai orang asing yang tidak dialu-alukan; ini memanglah agak ironis kerana sebagaimana menurut Milne, memang betul orang-orang Melayu yang meninggalkan kampung halaman dan “merantau” di dalam ‘alam Melayu’ yang bahasa mereka adalah sama, manakala ciri budaya mereka – seperti monarki dan Islam - adalah pemandangan yang sama, namun dari segi identiti dan ketaatan politik, tidak terdapat unsur kesatuan sama sekali.

Dan dari perspektif Islam, keadaan sebegini adalah berlawanan dengan anjuran dan ajaran Rasualallah, sebagaimana sabda Baginda, ”Orang yang tidak berterima kasih kepada orang lain (yang melakukan kebaikan kepadanya) adalah tidak berterima kasih kepada Allah SWT”
(RasullaLlah S.A.W, riwayat Abu Daud).
Retorika-kah hal atau isu yang dipandang sungguh-sungguh oleh Majlis Raja-Raja Melayu itu?

Wednesday, October 15, 2008

che det & gopeng boy

Saya mengikuti dengan tekun setiap entri dalam blog-blog Che Det dan Gopeng Boy. Saya berpeluang - sebelum ini - untuk mendengar secara langsung perbualan lisan mereka melalu majlis-majlis rasmi dan tidak rasmi. Entri mereka ditulis dengan jujur, dalam bahasa yang tidak berselindung, dan amat tulen dengan personaliti sebenar mereka sebagaimana di luar. Atas sebab itulah saya yakin entri dalam blog mereka itu memang sebenarnya ditulis oleh mereka sendiri, dan bukannya oleh orang lain. Mereka meluahkan perasaan hati mereka tanpa was-was dan berselindung. Mereka bercerita seolah-olah mereka memperdengar kisah hidup kepada anak-anak sekolah yang bersila ramai-ramai di hadapan mereka di sudut bercerita di toko buku borders atau di toko-toko lain. Mereka berdua sentiasa konsisten, baik dari segi pendirian mahupun dari segi perilaku.
Agak sedih, amat sukar untuk selalu bertemu orang-orang seperti mereka berdua itu.

Monday, October 13, 2008

sela-sela

1
Sehingga malam tadi (Ahad 12 Oktober 2008), carta pencalonan pemilihan UMNO tidak memperlihat sebarang kejutan. Kalau pun ada - jika boleh dikatakan kejutan kerana secara tradisinya orang-orang Melayu menghormati ketua yang mereka terima kepemimpinannya dan Tan Sri Muhammad adalah juga seorang 'ketua' di dalam UMNO Selangor - hanyalah pada keputusan Bahagian Shah Alam yang tidak mencalonkan Tan Sri Muhammad. Tekaan awal yang mengagak-agak bahawa Tan Sri Muhammad hanyalah berperanan sebagai 'calon pengacau undi' menerpa dengan jelas di fikiran.
2
Mukhriz & Khairy menjadi tumpuan utama proses pemilihan kali ini. Seperti yang sudah diulas oleh media dan orang-ramai, persaingan mendapatkan pencalonan kelayakan antara kedua-duanya memihak lebih awal kepada Mukhriz yang sudah dipercayakan untuk memperoleh 40 pencalonan manakala Khairy masih memerlukan tidak kurang 19 pencalonan lagi untuk dijadikan lesen yang melayakkan beliau bertanding.
Lebih atau kurangnya Mukhriz
Dari sudut kepemimpinan, Mukhriz adalah pemimpin muda yang tenang yang menyandarkan hala perjuangan politiknya ke arah aktiviti-aktiviti intelektualisme dan berpaksikan kemanusiaan. Peranan beliau yang aktif melalui NGO, khususnya Aman Malaysia serta kegiatan-kegiatan keilmuan yang berterusan - terutamanya yang mendekatkan beliau dengan pusat-pusat pengajian tinggi melalui platform keilmuan - meletakkan Mukhriz sebagai pemimpin rujukan (melalui reference power; dalam pengajian kepemimpinan ia bermaksud situasi yang memperlihat keupayaan Mukhriz untuk diterima dan dihormati oleh pengikut lantaran kemahiran kepemimpinan beliau yang khusus). Kepada elit pertengahan serta anak-anak muda yang berlatarbelakangkan pendidikan tinggi yang tidak robust dan bukan bersifat memberontak , Mukhriz adalah lambang pemimpin muda yang wajar diberikan peluang untuk mempimpin secara lebih bermakna. Bagaimana pun, Mukhriz juga mempunyai sedikit ruang yang boleh dilihat sebagai kekurangan: Mukhriz kelihatannya belum mempunyai tapak yang kukuh untuk membolehkannya mendapatkan penerimaan yang lebih luas, bermakna dan berkesan di kalangan orang-orang biasa. Penglibatan beliau yang tertumpu kepada kegiatan-kegiatan kemanusiaan 'peringkat tinggi' meletakkan dirinya agak sedikit berjauhan daripada kejiranan dan orang-orang biasa. Namun, dengan sedikit masa, dan atas kelebihannya sebagai YB, peluang Mukhriz sentiasa terbuka.

Saturday, October 11, 2008

bertanding










Foto: sumber: http://voiceofmalaysian.com/2008/09/24/kabinet-bincang-turun-harga-minyak/
1
Tan Sri Muhyiddin Yassin - yang dipercayakan oleh 2 pencalonan sehingga petang 10 Oktober - akhirnya mengumumkan pendirian untuk ikut menyaingi tiga calon Timbalan Presiden yang lain. Analisis awal yang dibuat oleh beberapa sumber - khususnya media perdana - mengenai semua pencalonan itu menunjukkan kemungkinan pertandingan yang tidak berimbang antara ke empat-empat calon berkenaan. Ini ditambahkan lagi oleh wacana rasmi - kenyataan akhbar dan media lain - dan cakap-cakap kedai kopi ekoran ulasan pedas Tun Mahathir mengenai calon-calon yang akan bertanding. Nur Jazlan kemudiannya membuat ulasan akhbar yang tidak kurang 'keras'nya apabila membandingkan situasi beliau sendiri dengan situasi serta tindakan Tun Mahathir menulis surat meminta almarhum Tunku Abdul Rahman meletakkan jawatan.
Ada banyak perkara yang diperhatikan orang pada setiap kali mereka memerhati dan menilai calon dalam sesuatu pertandingan atau proses pemilihan, antaranya adalah personaliti dan sifat-sifat tertentu yang ada pada calon. Lama dahulu, sewaktu masyarakat masih berada pada tahap awal berkerajaan sendiri dan negara sedang berkira-kira hendak membangunkan sebuah negara bangsa (kira-kira sebelum merdeka dan awal kemerdekaan), faktor-faktor seperti rupa bentuk fizikal - tinggi atau rendahnya tubuh badan; cantik dan eloknya paras rupa; keturunan & kebangsawanan; kemahiran tertentu seperti kepetahan dan kehebatan oratori - menjadi antara perkiraan penting yang dipertimbang sebelum seseorang individu diangkat menjadi pemimpin. Hari ini, meskipun perkiraan itu tidak begitu dihebahkan secara terbuka, namun sukar untuk saya menafikan bahawa ianya tidak diamalkan sama sekali. Sukar untuk saya sendiri mempercayai sepenuhnya sekiranya dikatakan Najib, Hishamuddin, Mukhriz, Syed Hamid, Nur Jazlan, Si Pin, Guan Eng, Hsien Loong - sekadar beberapa personaliti sebagai contoh - diletakkan di dalam pusaran utama kuasa politik secara kebetulan semata-mata. Penerimaan masyarakat terhadap ketokohan keturunan mereka adalah persepsi dan keputusan politik yang dibayangi oleh dominasi ideologi politik bapa atau datuk dan nenek moyang mereka. Tidak ada yang salah mengenai hal itu. Penghormatan dan perakuan yang diserahkan oleh masyarakat kepada mereka adalah kesinambungan kepercayaan mereka kepada personaliti yang mereka sendiri pilih untuk melontarkan sokongan politik secara tidak berbelah bagi. Pengkaji dan sarjana seperti Milne memperaku kenyataan bahawa dalam sistem politi alam Melayu, antara unsur-unsur utama yang mendominasi sikap dan kepercayaan politik orang-orang Melayu adalah unsur-unsur keturunan/kebangsawanan serta kualiti diri yang 'tidak sombong'. Hal ini menjadi perhatian utama di kalangan orang-orang Melayu sama ada calon-calon pemimpin menyukainya atau pun tidak, mempersetujui atau pun menyanggah. Budaya politik orang-orang Melayu sangat berlainan berbanding budaya politik kebanyakan masyarakat lain, di Malaysia mahu pun di negara-negara Barat. Unsur-unsur ritualisme, simbolisme dan estetika sangat mendominasi dan saling mempengaruhi. Hal ini sangat perlu diperguna dan dimanfaat sepenuhnya oleh setiap calon.
Sehingga malam tadi, Muhyiddin sudah pun memperoleh 2 pencalonan; untuk jawatan Naib Presiden pula Hishamuddin mendahului dengan 2 pencalonan diikuti dengan Rais Yatim, Syed Hamid, Annuar Musa dan Mohamed Khalid Nordin yang masing-masing mendapat 1 pencalonan. Di atas kertas, nampak agak jelas bagaimana Muhyiddin sukar untuk digugat - beliau ada banyak kelebihan terutamanya atas faktor beliau yang mempamerkan kualiti personaliti yang selalu menjadi rujukan dan keutamaan orang-orang Melayu (tidak semestinya golongan partisan) seperti sabar, tenang, berani, berpendirian jelas dan konsisten, serta kelihatannya sangat menghormati dan mengutamakan pengikut. Ini ditambahkan lagi oleh sokongan Tun Mahathir terhadap Muhyiddin yang dibuat secara terbuka. Ada yang beranggapan 'Tidakkah sokongan Mahathir berkemungkinan menjadi beban (liability) kepada Muhyiddin yang akhirnya akan membunuh karier politik Muhyiddin sendiri?" Saya fikir tidak. Alasannya? Pertama, Muhyiddin berakarumbi yang sangat kuat jika dilihat pada rekod pencapaian beliau sebelum ini. Jadi, sokongan Mahathir sebenarnya merupakan bonus kepada beliau untuk walaupun hal ini kelihatannya akan menyerbasalahkan Najib. Kedua, Tun Mahathir masih mempunyai sokongan kuat daripada sebahagian kelompok besar orang-orang Melayu. Dalam situasi kepemimpinan sekarang, pada waktu orang Melayu melihat kekalutan yang menjejaskan kehormatan status dan harga diri Melayu semakin membarah, personaliti sekeras Mahathir dan Muhyiddin (2M) amat diperlukan untuk mengabui dan kemudian mengimbangi kelembutan dan kehemahan Najib, sekiranya orang-orang Melayu terpaksa juga menerima Najib sebagai Presiden dan kelak, Perdana Menteri.
Jawatan Ketua Pemuda memang sangat penting dan utama - "Jika hendak melihat kekuatan sesuatu bangsa, lihat pada kualiti pemuda-pemudinya!
Mukhriz dan Khairy adalah personaliti-personaliti baru yang sedang dinilai secara kritis oleh orang-orang Melayu. Dua personaliti yang sangat berbeza-beza namun sangat menarik untuk dianalisis dalam iklim politik semasa. Mukhriz ialah anak Tun Mahathir. Beliau adalah daripada 'ansara circle' - lepasan MRSM yang membolehkan sebahagian kecil inteligensia Melayu membantu beliau secara senyap dari belakang. Orang Melayu sangat memberatkan soal mengenang budi dan jasa. Orang Melayu juga amat mengutamakan kerendahan diri yang dipertontonkan secara berterusan. Selain itu, orang Melayu mengagumi keberanian, sama seperti bagaimana Hang Jebat turut diangkat sebagai wira oleh sebahagian besar orang Melayu walaupun dia mendurhaka kepada Sultan dan dibayangi watak murni Hang Tuah. Sudahnya, kedua-dua Hang Jebat dan Hang Tuah tidak dibenci, sebaliknya dinilai secara kritis - pro dan kontranya - oleh orang-orang Melayu.
Khairy adalah lambang anak muda generasi baru yang datang dengan pakaian dan perwatakan baru dalam kelir (layar) sistem politi orang-orang Melayu. Khairy digambarkan wataknya dengan pelbagai cara melalui wacana-wacana kedai kopi dan lobi-lobi hotel. Gaya kepemimpinan Khairy yang kelihatannya sangat tebal transactional-nya - yang bertunjangkan konsep reciprocity atau timbal-balas - sangat bersesuaian dengan daya kepemimpinan ala Amerika dan Inggeris. Konsep dan ungkapan setiakawan yang dijadikan modal kempen oleh Khairy meletakkan dirinya dalam keadaan yang 'kembali kepada kampung' atau 'mampir kepada rakyat' sebagaimana Sukarno menjaja slogan 'marhaenisme' yang menjadikan dirinya berkarisme pada zaman beliau. Personaliti Khairy juga sangat akrab dengan gaya dan aliran mahasiswa semasa yang berorientasikan sifat-sifat lasak, terbuka, sangat berterus terang, dan adventurous.
Tinggalkan soal personaliti barang sebentar. Dalam banyak kajian (misalnya Baradat 1999, Funderburk & Thobaben 1994), para pengkaji percaya bahawa selain kualiti personaliti, ideologi politik - terutamanya pemimpin - mempunyai kesan yang sangat besar ke atas masyarakat. Dalam banyak hal, ideologi politik dikenalpasti sebagai sumber bagi sebarang tindakan yang boleh mencetuskan perubahan dalam masyarakat. Ideologi politik merupakan satu antara beberapa punca utama yang membentuk persepsi masyarakat, sekaligus mencorakkan perilaku mereka dalam kehidupan seharian, termasuk keputusan dan tindakan politik. Pada sesuatu masa, mungkin ada yang berideologi sama ada komunisme, sosialisme demokratik, ataupun mungkin juga liberalisme (sama ada dalam bentuk klasik mahu pun moden).

2
Sedikit selingan. Shah Rukh Khan dianugerahi gelaran Datuk - ini tentunya mengundang pelbagai tafsiran; ada yang stereotaip dan ada yang sinikal, bergantung kepada persepsi masing-masing.

Friday, October 10, 2008

bahang idilfitri













Di sekitar jamuan idilfitri FSPPP 10 Oktober 2008

pemilihan atau pencarian?

Aris membisikkan pada saya semalam bahawa entri saya semakin pendek-pendek sejak kebelakangan ini. "Tidak puas membacanya", katanya.
"Baiklah, nanti saya usahakan untuk menjadikannya longer", balas saya.
Ini topik hari ini. Selamat membaca.
Montaj
Sehingga awal pagi ini, media melaporkan perlumbaan untuk pencalonan jawatan-jawatan tertinggi UMNO semakin rancak. Datuk Seri Najib Razak sudah pun menawarkan dirinya sebagai calon untuk jawatan Presiden, selain daripada Tengku Razaleigh (Ku Li) yang sudah berbuat demikian lebih awal.Tan Sri Muhammad Muhammad Taib, Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan Datuk Nur Jazlan Mohamed sudah mengesahkan pendirian masing-masing untuk kategori Timbalan Presiden; Datuk Seri Zahid Hamidi menarik diri manakala Tan Sri Muhyiddin Yassin masih meninggalkan tanda tanya untuk ditafsir oleh pihak media dan golongan partisan lain. Jawatan Ketua Pemuda turut semakin berbahang. Empat calon jawatan Ketua Pemuda – Mukhriz Mahathir, Khairy Jamaluddin, Mohd Khir Toyo & Zahidi Zainul Abidin – sudah menghangat kempen terlebih awal.


Politik
Secara tradisi, politik diungkapkan sebagai proses menentukan secara autoritatif mengenai siapa yang mendapat apa, bila & bagaimana (ini kata-kata Lasswell 1958, yang tidak begitu kerap disanggah orang). Katanya lagi, mereka yang berkuasa politik sentiasa mempunyai keupayaan untuk mengawal dan/atau mempengaruhi peruntukan sumber melalui proses-proses politik.

Ramai menyoal bagaimana politi (dan politik) berupaya mengubah kehidupan manusia: namun itu kerja dan tanggungjawab kerajaan. Untuk sementara ini, topik mengenai kerajaan tidak begitu penting. Sesiapa sahaja personaliti-personaliti yang dipilih oleh PM untuk menyertai barisan kabinet bila tiba masanya nanti adalah soal kedua. Isu utama sekarang ini adalah persoalan mengenai personaliti-personaliti yang manakah yang orang-orang partisan Melayu akan pilih untuk menjadi ketua mereka kelak. Hal ini penting kerana sama ada orang-orang lain – yang bukan ahli UMNO, yang bukan ahli politik, yang bukan siapa-siapa melainkan rakyat biasa – suka atau tidak, sedar atau mimpi, mereka semua hidup dalam lingkungan persekitaran alam yang sama, alam Melayu. Mungkin ada di kalangan orang Melayu sendiri yang tidak selesa dengan ungkapan itu: bahawa kita hidup dalam alam Melayu. Tidak perlu salahkan sesiapa: ilmu bukan ciptaan dan milik manusia; ilmu darjatnya tinggi kerana hanya yang terpilih akan dihidayahkan untuk menghargai dan memanfaatkan ilmu. Bagaimana pun, apa yang pasti, semuanya berkaitan dengan sejarah kerana sejarah adalah pelajaran terbaik yang boleh menjadikan manusia – partisan atau tidak – sedar dan insaf mengenai kesejahteraan negara.

Sarjana-sarjana lampau sudah meneliti sehalus mungkin semua fenomena yang berkaitan dengan manusia dan politi. Ibnu Khaldun, Maslow, Parsons misalnya sudah bercerita panjang mengenai manusia dan perubahan. Menariknya, hampir-hampir kebanyakan mereka bersetuju bahawa manusia amat senang mengubah diri mereka bila-bila waktu mereka senangi. Soal sebegini – soal personaliti idaman yang unggul – adalah sesuatu yang universal. Maslow menyebut hal itu sebagai ‘orang yang membenarkan diri sendiri’ (self-actualized person): yang jelas dan nyata persepsi dirinya; yang terbuka kepada pengalaman-pengalaman baru; yang dirinya menyatu dalam banyak hal; yang nyata kesyumulan dirinya; yang sentiasa ada unsur-unsur spontan; yang menyatakan secara terbuka keinginan dan cita-citanya; yang sentiasa segar dan ‘hidup’; yang jelas identitinya; yang bebas; yang unik; yang objektif (tidak ada dolak-dalik dan beralasan); yang bisa menyingkir sesuatu secara segera dan semahunya; yang kreatif (meski tidak selalunya mengikut norma orang ramai); yang berupaya menukar mimpi kepada kenyataan; yang mempamerkan sedikit sebanyak unsur-usnur demokratis dalam perwatakannya (fleksibel, kurang lebihnya); dan yang berkeupayaan untuk menyintai.

Bagaimana hal ini mahu dikaitkan langsung dengan soal-soal politi, politik, kepemimpinan dan kepartian? Sebenarnya hal ini sangat membimbangkan teoris-teoris perubahan, terutamanya perubahan sosial. Kenapa? Cita-cita untuk mempunyai personaliti unggul yang menjadi idaman seperti itu selalunya dibatasi halangan yang datang dari dalam diri manusia-manusia sendiri. Teoris seperti Yablonsky (1972) mengaitkan ungkapan ‘robopathology’ yang kerap menyusahkan sistem politi untuk mempunyai manusia unggul dalam masyarakat. Hal itu berlaku apabila manusia ‘menjual dan menyerahkan dorongan-dorongan kemanusiaan mereka dalam bentuk-bentuk keseronokan, kegembiraan dan keberanian kepada desakan mesin-mesin sosial disebabkan ketakutan dan ketidakcukupan dalam kehidupan’.

Jadi, dalam situasi sekarang, sebenarnya apa yang lebih utama, memilih pemimpin, atau mencari pemimpin?
Nota saya: Saya inginkan pemimpin, bukannya pengurus...
Selamat meneroka.

Wednesday, October 08, 2008

apa yang salah

Membaca dengan teliti semua berita berkaitan iklim siyasah pada masa ini membuatkan saya terus tertanya-tanya mengenai berbagai-bagai perkara. Antaranya paling mendesak naluri ingin tahu saya adalah aliran yang menderas mengenai bagaimana ahli politik berkesanggupan menawarkan dan mencalonkan diri sendiri untuk apa-apa sahaja pertandingan atau pemilihan. Tentu sahaja ianya sesuatu yang mengkagumkan sekiranya kesukarelaan itu dibuat jika berada di dalam situasi yang sangat kritikal - misalnya ada potensi mengorbankan nyawa-nyawa manusia seperti di dalam peperangan umpamanya jika tiada yang berkesanggupan menawar diri menjadi pelindung atau pemimpin - yang sebaliknya kan menghadirkan rasa insaf dan syukur di hati-hati orang kebanyakan. Namun dalam keadaan seperti sekarang - semata-mata untuk mendapatkan tempat dan jawatan - perilaku seumpama itu ternyata menyedihkan. Ini mengingatkan saya kepada kata-kata Ghandi,
"Ada 7 kesalahan di dunia: kekayaan tanpa berusaha; keseronokan tanpa sedar; pengetahuan tanpa perwatakan baik; perniagaan tanpa moraliti; sains tanpa kemanusiaan; ibadat tanpa pengorbanan; dan politik tanpa prinsip."

Monday, October 06, 2008

seminar 2

Kertas kerja atas tajuk "Alam & sistem politi Malaysia: Satu pandangan holistik mengenai kepemimpinan Melayu dalam konteks hubungan etnik di Malaysia". Dilihat secara khusus dari sudut kepemimpinan politik dan hubungan etnik di negara ini. Liputan ini dipilih atas beberapa alasan, antaranya yang utama termasuklah berkenaan realiti sosial dan politik hari ini yang menuntutperlunya perspektif kepemimpinan dan pentadbiran politik diziarah kembal pentakrifan dan pengamalannya demi mengekalkan keharmonian antara komponen-komponen utama sistem politi negara ini. Antara lain, kertas ini membincangkan isu-isu yang berkaitan dengan kepemimpinan politik – dengan tumpuan khusus kepada peranan Perdana-Perdana Menteri Malaysia – dalam konteks sistem politi berteraskan alam Melayu; dasar-dasar pentadbiran negara yang dikupas menurut perspektif pembangunan secara holistik; tradisi dan realiti hubungan etnik dalam sistem politi negara; cabaran politik semasa; wibawa kepemimpinan negara; dan pandangan futuristik mengenai masa depan sistem politi Malaysia secara holistik. Skop kertas ini dihadkan kepada sistem politi Malaysia dengan anjuran masa bermula daripada era Kesultanan Melayu Melaka sehingga sistem pentadbiran negara di bawah kepemimpinan Perdana Menteri sekarang. Perbincangan dibuat dengan bertunjangkan landasan teori-teori kepemimpinan terutamanya dari perspektif kepemimpinan transformasi. Kertas pemikiran ini akan disampaikan pada Seminar Kepemimpinan Melayu Institut Kualiti & Pengembangan Ilmu (InQKA) Universiti Teknologi MARA 18-19 November 2008

seminar 1

Kertas kerja berjudul "Alam & sistem politi Malaysia: Satu pandangan holistik mengenai wibawa media dalam konteks budaya politik Malaysia". Kertas pemikiran ini mengutarakan perbincangan mengenai sistem politi Malaysia serta aktiviti-aktiviti politik yang dilihat secara khusus dari sudut pengamalan media. Liputan ini dipilih atas beberapa alasan, antaranya yang utama termasuklah berkenaan aliran pendekatan media serta pemilihan isu-isu yang menyumbang kepada keputusan politik dalam kerangka budaya politik Malaysia. Ini terutamanya dengan memusatkan tumpuan pemerhatian dan perbincangan kepada Pilihanraya Umum ke 12. Kertas ini juga menumpukan perbincangan kepada isu-isu yang berkaitan – secara langsung dan tidak langsung – dengan ideologi dan pendekatan media; evolusi budaya politik; dan pandangan mengenai politk dan politi Malaysia secara ringkas. Kertas pemikiran ini akan dibentangkan pada Seminar Politik Malaysia anjuran Universiti Teknologi MARA Sabah pada 28-30 Oktober 2008 di Kota Kinabalu.

Sunday, October 05, 2008

menongkah takut

Ju, saya tidak pasti keberanian yang bagaimana yang diperlukan untuk berhadapan dengan situasi genting seperti disebutkan itu. Ada yang berkata keberanian adalah lawan kepada ketakutan; namun saya tidak yakin itu jawaban muktamad kerana darjat kedua-duanya adalah berlainan sama sekali dari sudut mana sekali pun kita dekati ungkapan-ungkapan tersebut. Ada juga berpandangan keberanian adalah penerang kepada terhakisnya rasa takut; ertinya rasa takut yang keterlaluan akhirnya akan menghadirkan rasa berani - atau lebih tepatnya keberanian itu adalah 'redha' dan 'tawakkal'. Saya yakin ada banyak contoh di sekeliling kita yang boleh kita jadikan ilham untuk memikir mengenai hal itu. Yang pasti setidak-tidaknyapada saat-saat ini, saya tidak ada jawaban. Namun, saya terjumpa satu penjelasan mudah kepada soalan apa itu keberanian dalam dialog Aristotle (350 SM) dalam salah sebuah penerbitan yang saya baca, begini bunyinya:
"Dengan mencetuskan pelbagai perilaku dalam hubungan kita dengan orang lain, kita berlaku adil atau tidak adil; dan dengan mencetuskan perilaku tatkala berhadapan dengan ancaman dan bahaya, kita dibiasakan dengan perasaan bimbang ataupun yakin, lalu kita menjadi semakin berani ataupun pengecut... kerana apabila kita dibiasakan untuk berdiri teguh lalu menahan dan mengharung segala keburukan dan kepayahan, kita akan menjadi berani; sesudah itulah kita kemudiannya mampu bertahan dan berhadapan dengan apa sahaja yang menghalang."

Friday, October 03, 2008

pagi raya






having a chat with zaireen










eid mubarraq 1


smdb

Salam idulfitri!
Pada hari raya ketiga ini, 3hb september 2008, Hasnah & gang menganjurkan pertemuan semula pelajar-pelajar smdb (5&6) batch 1980-82 bertempat di Taiping Resort, Golf Clubhouse. Jumpa semua di sana!