Agak menarik mengikuti pemikiran menteri ketika disoal oleh jurnalis dengan pelbagai pertanyaan. Misalnya, dalam program berita malam tadi, seorang menteri ditanya pandangannya mengenai tindakan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memohon perlindungan daripada pihak kedutaan Turki baru-baru ini. Antara lain, menteri berkenaan - Datuk Seri Syed Hamid Albar serta beberapa personaliti politik lain - termasuk Ezam, Hishamuddin dan Shahidan - mengungkap soal kesetiaan, keperibadian dan kewibawaan politik.
Ketaatan politik mungkin agak mudah untuk dibaca haluannya kerana tindakan menunjukkan pendirian. Bagaimanapun hal ini bukan hanya berkaitan dengan isu tindakan semata-mata. Sepertimana ditunjukkan oleh Anwar Ibrahim melalui pemikiran beliau yang disiarkan dalam banyak penerbitan - misalnya melalui artikel panjang Brinkmanship pada tahun 2005 dahulu - menyimpulkan bahawa penerimaan Anwar terhadap sistem politik dan polisi pemerintahan adalah berbelah bagi. Kepercayaan terhadap sistem yang ada sudah meluntur. segala institusi serta manusia di dalamnya sudah tidak dipercayakan lagi. Di kalangan orang awam, hal ini mengelirukan, dan sangat menyulitkan mereka untuk melihat secara objektif.
Apa pun, pemikiran Melayu agak mudah dibaca kerana ia sangat konsisten dengan penyerlahan sejarah. Menerima sesuatu atau seseorang adalah sikap dan tabiat luar biasa alam Melayu. Mudah marah dan cepat pula mengampun - tanpa melupakan dendam - adalah menifestasi biasa yang sudah diterima umum.
Ketaatan politik sentiasa menjadi bualan penting dan mendominasi. Di negara jiran, hal ini menjadi perkiraan penting yang diamalkan dalam pentadbiran. Sebagai contoh, jawatan-jawatan penting seperti juruterbang jet pejuang diperuntukkan khas kepada sesuatu kaum sahaja atas pertimbangan ketaatan politik dan negara.
Di Tanah Melayu ini, itu merupakan isu yang sangat penting kerana pada kenyataannya, soal penerimaan bukan sahaja melibatkan komuniti bukan Melayu atau bukan Islam semata-mata sebagaimana ditunjukkan melalui Forum Kontrak Sosial anjuran Majlis Peguam baru-baru ini, malah turut melibatkan orang-orang Melayu sendiri. Gullick (1998:147) dan Milner (1982:2) umpamanya memerhatikan bahawa di kalangan komuniti Melayu sendiri pun, para penduduk asal sesuatu tempat memandang pihak imigran “Melayu” yang lain (yang dikenal sebagai ‘orang dagang’) sebagai orang asing yang tidak dialu-alukan; ini memanglah agak ironis kerana sebagaimana menurut Milne, memang betul orang-orang Melayu yang meninggalkan kampung halaman dan “merantau” di dalam ‘alam Melayu’ yang bahasa mereka adalah sama, manakala ciri budaya mereka – seperti monarki dan Islam - adalah pemandangan yang sama, namun dari segi identiti dan ketaatan politik, tidak terdapat unsur kesatuan sama sekali.
Jadi, dalam soal kemelut politik hari ini, ketaatan politik sesiapa pun boleh dipersoal bila-bila masa.
Kesimpulan awalnya: Ketaatan politik perlu pentafsiran semula.