Seperti dilangsungkan dan disiarkan di tv malam semalam, debat antara Anwar Ibrahim dan Shabery Cheek berlaku dalam keadaan yang biasa-biasa sahaja. Shabery menggunakan pendekatan 'debat kolej' (menggunakan satu maklumat biasa yang diulang-ulang dengan cerita-cerita lama dan menyerang peribadi) manakala Anwar Ibrahim memperkukuh kedudukannya sebagai orator yang matang (tidak menyerang diri peribadi lawan) dan sukar dicabar kemahiran pembentangan maklumatnya. Pendekatan Shabery menjurus kepada tusukan personaliti, Anwar Ibrahim pula mengalaskan hujah dengan fakta-fakta yang dibalut dengan logik politik-ekonomi.
Debat malam tadi adalah permulaan yang sangat baik ke arah kematangan politik. Pembudayaan acara keilmuan sebegini berupaya mencelikkan mata rakyat atau pengundi untuk berfikir. Dari segi yang lain, kematangan ahli-ahli politik serta keupayaan mereka menguasai dan memanfaatkan maklumat serta disokong dengan kemahiran oratori akan membuka lembaran baru dari segi usaha untuk memprojekkan personaliti ahli politik yang mantap wibawa dan penguasaan maklumat mereka.