Thursday, July 10, 2008

Mentaakul

Mentaakul - atau reasoning - jadi penting dan releven terutamanya apabila situasi krisis tercetus. Sebagai contoh, apabila banjir kilat menghuru-harakan Kuala Lumpur dan Kelang beberapa hari lepas, kaitan sebab dan akibat diperbahas tanpa henti. Begitu juga, sewaktu berlakunya insiden melondehkan seluar oleh kumpulan muzik yang menyerikan perhimpunan umum di Petaling Jaya baru-baru ini, kebanyakan pandangan menyuarakan mengenai itulah akibat daripada kesombongan dan kedegilan penganjur yang meneruskan perhimpunan itu. Dalam kes yang berlainan, isu-isu seperti peranan dan sumbangan Petronas kepada rakyat, kemelut badan kehakiman, dan wibawa ahli-ahli parlimen di institusi tersebut menjadi bualan yang membuka lebih banyak ruang dan peluang wacana berpanjangan, rasmi dan santai.
Arus perdana dalam soal kefalsafahan dan ketinggian akal budi era ini memandang berat kepada wibawa dan keupayaan individu untuk mengemukakan soalan-soalan yang berkualiti, bukannya jawaban yang memuaskan hati. Suka atau tidak, itulah nilai dan tahap kewibawaan yang diserapkan dan disebarkan secara global: siapa yang bertanya soalan yang bagus dan baik, maka dialah yang dianggap sebagai berpengetahuan kerana setiap soalan yang baik mengandungi pentaakulan atau reasoning yang baik. Jawaban yang berjela-jela - yang selalunya bertujuan untuk membenarkan pendapat - sebenarnya tidak mencerminkan wibawa individu.
Atas perkiraan itulah, mungkin sangat baik untuk dipertimbang kemungkinan mewajibkan semua ahli politik yang mengisi kerusi-kerusi di parlimen supaya lulus ujian sejarah dan klefalsafahan terlebih dahulu. Dalam sejarah sistem politik dan parlimen United Kingdom, prasyarat itu pernah menjadi asas penting yang diperkira oleh sistem di sana. Jika seperti ditunjukkan sekarang - antara masalah, isu dan gejala pun tidak upaya dibeza-bezakan, bagaimanakah soal-soal yang lebih berat - dalam konteks klasifikasi ilmu - akan didebatkan dan dibincagkan secara terbuka? Apa pilihannya? Inteligensia atau intelektual? Fasih maklumat atau redha ilmu?