Wednesday, July 09, 2008

Yang Tidak Kelihatan

1
Dalam realiti politik semasa, yang diutamakan adalah hasil, bukannya proses-proses dalam usaha untuk memperoleh hasil itu sendiri. Tahap kematangan budaya politik komuniti menetapkan hasil sebagai petunjuk nyata kepada pencapaian, dan bukannya cara bagaimana hasil didapatkan. Dengan kata lain, politik ala Machiavelli menjadi releven tatkala rakyat berasa susah. Integriti bukanlah secantik mana ia diperagakan, tetapi seburuk mana yang ia tidak kelihatan.
2
Dalam kemelut kepemimpinan politik hari ini, beberapa persoalan membimbangi rakyat: (i) pemimpin mana yang seberani pemimpin lampau; (ii) pemimpin mana yang boleh dipercayai kepemimpinannya; (iii) pemimpin mana yang teguh prinsip dirinya dan tidak dikatakan rakyat mudah dilentur ke sini sana.
3
Secara asasnya, ekonomi berkaitan langsung dengan rumahtangga. Rumahtangga ertinya sebuah rumah yang dilengkapi dengan komponen yang asas - keluarga dan barangan (makanan dan keperluan lain). Bijakkah sekiranya sebarang polisi atau keputusan dibuat tanpa memberatkan soal rumahtangga terlebih dahulu? Misalnya, yang mana dilihat lebih baik: Hadiah RM1 Juta kepada pemenang pingat emas olimpik (yang tidak memberi makanan kepada rumah-rumahtangga) atau voucher roti atau telur percuma/subsidi RM1 Juta kepada rumah-rumahtangga yang berkeupayaan kewangan kurang 1000? Ada ungkapan popular yang menyebut, "Jangan berfikir sewaktu perut kosong". Wajarkah banyak rumahtangga dibiarkan membuat banyak keputusan sewaktu lapar? Ini soalan tahap tadika, paling asas, tapi jarang diungkap kerana ia soalan untuk kanak-kanak. Jangan lupa, kanak-kanak adalah makhluk paling jujur!