Kebetulan, yang waktunya kurang lebih sama tiga tahun lepas, hal itu - yang aku sangka sudah luput dek hayunan masa tetapi rupa-rupanya masih diungkapkan orang dan kelihatannya seperti tidak berpenghujung - terjadi. Perkara itu aku sudah buang jauh daripada ingatan. Kulakukan demikian bukan kerana ianya menyakitkan, tetapi lebih kepada keredhaan; bukan kerana dendam tetapi lebih kepada keinsafan; bukan juga kerana kegundahgulanaan malah lebih kepada penyingkiran ketidakpastian; dan bukan kerana paksaan sebaliknya hanya lebih kepada pilihan dan keputusan.
Kesetiakawanan menuntut lebih daripada sekadar sikap dan tabiat baik semata-mata. Ia tidak juga hanya menayangkan adegan-adegan taburan budi dan kutipan jasa baik yang menjadi pulangan kepada pemberi dan penerima. Kesetiakawanan tidak semestinya bersifat dua hala, yang datang dan yang pergi. Tidak juga kesetiakawanan itu hadir dalam bentuk berpasangan, putih dan hitam, baik dan buruk. Ada yang lebih daripada itu, dan sebahagiannya bergantung kepada pemilik dan penjaga kesetiakawanan itu sendiri. Kesetiakawanan seharusnya dibaluti kejujuran; disuburi ihsan; dibelai keikhlasan; dilindungi amanah dan kewajiban; dikeraskan oleh usaha meskipun bermakna perlu ke tahap melampaui segala upaya; dan dipertahan dengan kemuliaan.
Kesetiakawanan adalah ibarat embun yang tidak berhenti-henti menitis di permukaan daun. Kehadiran embun mungkin tidak selalu dihargakan lantaran titisannya berdikit-dikit. Namun, sifatnya yang berterusan, yang tidak pernah jemu menjengah permukaan daun menjadikan embun tidak pernah bersalah atas sifatnya yang kelihatannya tidak begitu berjasa apa-apa sehinggalah sang manusia yang hampir mati kehausan dapat mencicip titisannya; tidak perlu banyak, namun cukup untuk memanjangkan tempoh hayat.
Kesetiakawanan sentiasa tahan meredah goncangan nafsu dan amarah. Ia bisa melunturkan keinginan meluap yang barangkali berupaya menjadikan manusia tersasar arah. Namun, tiap yang berharga jarang dinilaikan orang setinggi-tingginya dan secukup-cukupnya. Begitulah harga kesetiakawanan. Ada ketikanya, ia seperti tidak ada apa-apa: adanya ia tidak berguna, dan bila ia tiada, tidak pula dicari-cari kehilangannya kerana memang ia selamanya seperti tidak pernah ada.