Wednesday, July 23, 2008

Kognitif

Emma, sedikit mengenai kognitif. Semoga bermanfaat.
”Dan Kami tetap memberi kemudahan kepadamu untuk (melaksanakan segala perkara) ugama yang mudah diterima oleh akal yang sihat” Al-Qur’an (87:8)


Apabila ditanya mengenai dirinya sendirinya, Sir Isaac Newton (1642-1727), yang terkenal kerana kajiannya mengenai Hukum Graviti, mengatakan:

”Saya tidak tahu bagaimana diri saya di mata dunia, tetapi bagi diri saya sendiri, saya seolah-olah budak lelaki yang bermain di pantai dan mengubah diri saya sekarang dengan mencari batu-batu dan kulit-kulit kerang yang kecil yang cantik, manakala lautan yang luas menghamparkan di hadapan saya, pelbagai benda yang belum pernah saya lihat.”


Keupayaan manusia untuk menggunakan pemikiran adalah sangat besar. Namun, potensi tersebut tidak dimanfaatkan sepenuhnya. Hanya segelintir orang sahaja yang berpeluang untuk menyingkap kuasa pemikiran mereka ke tahap yang mereka sendiri tidak menduga pada awalnya. Mereka yang berupaya memanfaatkan kekuatan dan kekentalan mental itu berpeluang menyingkap tabir yang menutupi dunia pemikiran manusia. Mental yang tidak diperkukuh dan dilatih diibaratkan sesak dengan sarang lelabah yang tidak ketentuan. Selama mental bersarang, kepercayaan menjadi sukar untuk diubah kerana diikat dan dikakukan oleh kepercayaan yang sedia ada. Dan ia memerlukan keajaiban deria untuk memberi isyarat kepada mental bahawa sesuatu yang sukar itu sebenarnya boleh dilakukan, sedangkan semuanya boleh dilakukan sekiranya mental sentiasa dipelihara keupayaanya, seperti yang boleh direnungi daripada kefalsafahan kata-kata ini,

”Sebenarnya yang kerap membunuh manusia bukanlah disebabkan bekerja keras; sebaliknya kebimbanganlah yang lebih kerap membunuh manusia.”

Dalam satu kisah, Yuri Gagarin (1934-1968), angkasawan Russia, merupakan manusia pertama menjelajah angka lepas. Beliau adalah anak seorang petani. Melalui kejayaan penjelajahannya dengan kapal angkasa Vostok I pada 12 April 1961, Gagarin membuktikan bahawa manusia boleh mengatasi tekanan mental dan fizikal sewaktu mengelilingi bumi. Kejayaan itu adalah sesuatu yang tidak pernah diimpikan atau dilihat sebagai sesuatu yang mungkin oleh manusia pada zaman tersebut. Beliau meninggal dunia dalam satu kemalangan udara. Namun namanya kekal di dalam sejarah hidup manusia. Namanya, Gagarin, diabadikan kepada bandar kelahirannya di Russia.
Nota: Budi dengan pelbagai cara.

Wednesday, July 16, 2008

bila debat sebenarnya bukan debat

Seperti dilangsungkan dan disiarkan di tv malam semalam, debat antara Anwar Ibrahim dan Shabery Cheek berlaku dalam keadaan yang biasa-biasa sahaja. Shabery menggunakan pendekatan 'debat kolej' (menggunakan satu maklumat biasa yang diulang-ulang dengan cerita-cerita lama dan menyerang peribadi) manakala Anwar Ibrahim memperkukuh kedudukannya sebagai orator yang matang (tidak menyerang diri peribadi lawan) dan sukar dicabar kemahiran pembentangan maklumatnya. Pendekatan Shabery menjurus kepada tusukan personaliti, Anwar Ibrahim pula mengalaskan hujah dengan fakta-fakta yang dibalut dengan logik politik-ekonomi.
Debat malam tadi adalah permulaan yang sangat baik ke arah kematangan politik. Pembudayaan acara keilmuan sebegini berupaya mencelikkan mata rakyat atau pengundi untuk berfikir. Dari segi yang lain, kematangan ahli-ahli politik serta keupayaan mereka menguasai dan memanfaatkan maklumat serta disokong dengan kemahiran oratori akan membuka lembaran baru dari segi usaha untuk memprojekkan personaliti ahli politik yang mantap wibawa dan penguasaan maklumat mereka.

Friday, July 11, 2008

Bila kepemimpinan dikatakan berkesan

Radhi, ada banyak petunjuk mengenai kepemimpinan berkesan. Ini cuma sebahagian yang utama secara umum sahaja.

Berupaya menginspirasi orang lain untuk berusaha dengan gigih bagi melaksanakan tugas-tugas yang ditetapkan.
Berupaya mempengaruhi orang lain untuk bekerja dengan bersemangat untuk menyokong objektif-objektif prestasi organisasi.
Menghidupkan dan memperkasa daya wawasan dianggap sebagai ramuan utama kepemimpinan berkesan.
Kemahiran berkomunikasi dengan positif juga memberi kesan kepada kepemimpinan berkesan kerana ia mampu membina kefahaman.

Thursday, July 10, 2008

Mentaakul

Mentaakul - atau reasoning - jadi penting dan releven terutamanya apabila situasi krisis tercetus. Sebagai contoh, apabila banjir kilat menghuru-harakan Kuala Lumpur dan Kelang beberapa hari lepas, kaitan sebab dan akibat diperbahas tanpa henti. Begitu juga, sewaktu berlakunya insiden melondehkan seluar oleh kumpulan muzik yang menyerikan perhimpunan umum di Petaling Jaya baru-baru ini, kebanyakan pandangan menyuarakan mengenai itulah akibat daripada kesombongan dan kedegilan penganjur yang meneruskan perhimpunan itu. Dalam kes yang berlainan, isu-isu seperti peranan dan sumbangan Petronas kepada rakyat, kemelut badan kehakiman, dan wibawa ahli-ahli parlimen di institusi tersebut menjadi bualan yang membuka lebih banyak ruang dan peluang wacana berpanjangan, rasmi dan santai.
Arus perdana dalam soal kefalsafahan dan ketinggian akal budi era ini memandang berat kepada wibawa dan keupayaan individu untuk mengemukakan soalan-soalan yang berkualiti, bukannya jawaban yang memuaskan hati. Suka atau tidak, itulah nilai dan tahap kewibawaan yang diserapkan dan disebarkan secara global: siapa yang bertanya soalan yang bagus dan baik, maka dialah yang dianggap sebagai berpengetahuan kerana setiap soalan yang baik mengandungi pentaakulan atau reasoning yang baik. Jawaban yang berjela-jela - yang selalunya bertujuan untuk membenarkan pendapat - sebenarnya tidak mencerminkan wibawa individu.
Atas perkiraan itulah, mungkin sangat baik untuk dipertimbang kemungkinan mewajibkan semua ahli politik yang mengisi kerusi-kerusi di parlimen supaya lulus ujian sejarah dan klefalsafahan terlebih dahulu. Dalam sejarah sistem politik dan parlimen United Kingdom, prasyarat itu pernah menjadi asas penting yang diperkira oleh sistem di sana. Jika seperti ditunjukkan sekarang - antara masalah, isu dan gejala pun tidak upaya dibeza-bezakan, bagaimanakah soal-soal yang lebih berat - dalam konteks klasifikasi ilmu - akan didebatkan dan dibincagkan secara terbuka? Apa pilihannya? Inteligensia atau intelektual? Fasih maklumat atau redha ilmu?

Wednesday, July 09, 2008

Yang Tidak Kelihatan

1
Dalam realiti politik semasa, yang diutamakan adalah hasil, bukannya proses-proses dalam usaha untuk memperoleh hasil itu sendiri. Tahap kematangan budaya politik komuniti menetapkan hasil sebagai petunjuk nyata kepada pencapaian, dan bukannya cara bagaimana hasil didapatkan. Dengan kata lain, politik ala Machiavelli menjadi releven tatkala rakyat berasa susah. Integriti bukanlah secantik mana ia diperagakan, tetapi seburuk mana yang ia tidak kelihatan.
2
Dalam kemelut kepemimpinan politik hari ini, beberapa persoalan membimbangi rakyat: (i) pemimpin mana yang seberani pemimpin lampau; (ii) pemimpin mana yang boleh dipercayai kepemimpinannya; (iii) pemimpin mana yang teguh prinsip dirinya dan tidak dikatakan rakyat mudah dilentur ke sini sana.
3
Secara asasnya, ekonomi berkaitan langsung dengan rumahtangga. Rumahtangga ertinya sebuah rumah yang dilengkapi dengan komponen yang asas - keluarga dan barangan (makanan dan keperluan lain). Bijakkah sekiranya sebarang polisi atau keputusan dibuat tanpa memberatkan soal rumahtangga terlebih dahulu? Misalnya, yang mana dilihat lebih baik: Hadiah RM1 Juta kepada pemenang pingat emas olimpik (yang tidak memberi makanan kepada rumah-rumahtangga) atau voucher roti atau telur percuma/subsidi RM1 Juta kepada rumah-rumahtangga yang berkeupayaan kewangan kurang 1000? Ada ungkapan popular yang menyebut, "Jangan berfikir sewaktu perut kosong". Wajarkah banyak rumahtangga dibiarkan membuat banyak keputusan sewaktu lapar? Ini soalan tahap tadika, paling asas, tapi jarang diungkap kerana ia soalan untuk kanak-kanak. Jangan lupa, kanak-kanak adalah makhluk paling jujur!

Wednesday, July 02, 2008

Kemelut Ketaatan Politik

Agak menarik mengikuti pemikiran menteri ketika disoal oleh jurnalis dengan pelbagai pertanyaan. Misalnya, dalam program berita malam tadi, seorang menteri ditanya pandangannya mengenai tindakan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memohon perlindungan daripada pihak kedutaan Turki baru-baru ini. Antara lain, menteri berkenaan - Datuk Seri Syed Hamid Albar serta beberapa personaliti politik lain - termasuk Ezam, Hishamuddin dan Shahidan - mengungkap soal kesetiaan, keperibadian dan kewibawaan politik.
Ketaatan politik mungkin agak mudah untuk dibaca haluannya kerana tindakan menunjukkan pendirian. Bagaimanapun hal ini bukan hanya berkaitan dengan isu tindakan semata-mata. Sepertimana ditunjukkan oleh Anwar Ibrahim melalui pemikiran beliau yang disiarkan dalam banyak penerbitan - misalnya melalui artikel panjang Brinkmanship pada tahun 2005 dahulu - menyimpulkan bahawa penerimaan Anwar terhadap sistem politik dan polisi pemerintahan adalah berbelah bagi. Kepercayaan terhadap sistem yang ada sudah meluntur. segala institusi serta manusia di dalamnya sudah tidak dipercayakan lagi. Di kalangan orang awam, hal ini mengelirukan, dan sangat menyulitkan mereka untuk melihat secara objektif.
Apa pun, pemikiran Melayu agak mudah dibaca kerana ia sangat konsisten dengan penyerlahan sejarah. Menerima sesuatu atau seseorang adalah sikap dan tabiat luar biasa alam Melayu. Mudah marah dan cepat pula mengampun - tanpa melupakan dendam - adalah menifestasi biasa yang sudah diterima umum.
Ketaatan politik sentiasa menjadi bualan penting dan mendominasi. Di negara jiran, hal ini menjadi perkiraan penting yang diamalkan dalam pentadbiran. Sebagai contoh, jawatan-jawatan penting seperti juruterbang jet pejuang diperuntukkan khas kepada sesuatu kaum sahaja atas pertimbangan ketaatan politik dan negara.
Di Tanah Melayu ini, itu merupakan isu yang sangat penting kerana pada kenyataannya, soal penerimaan bukan sahaja melibatkan komuniti bukan Melayu atau bukan Islam semata-mata sebagaimana ditunjukkan melalui Forum Kontrak Sosial anjuran Majlis Peguam baru-baru ini, malah turut melibatkan orang-orang Melayu sendiri. Gullick (1998:147) dan Milner (1982:2) umpamanya memerhatikan bahawa di kalangan komuniti Melayu sendiri pun, para penduduk asal sesuatu tempat memandang pihak imigran “Melayu” yang lain (yang dikenal sebagai ‘orang dagang’) sebagai orang asing yang tidak dialu-alukan; ini memanglah agak ironis kerana sebagaimana menurut Milne, memang betul orang-orang Melayu yang meninggalkan kampung halaman dan “merantau” di dalam ‘alam Melayu’ yang bahasa mereka adalah sama, manakala ciri budaya mereka – seperti monarki dan Islam - adalah pemandangan yang sama, namun dari segi identiti dan ketaatan politik, tidak terdapat unsur kesatuan sama sekali.
Jadi, dalam soal kemelut politik hari ini, ketaatan politik sesiapa pun boleh dipersoal bila-bila masa.
Kesimpulan awalnya: Ketaatan politik perlu pentafsiran semula.