A seorang sahabat lama. Kami berkerja di tempat yang sama. Usia kami kurang lebih sama. Dalam banyak hal, pandangan kami mengenai isu-isu pekerjaan dan isu semasa nasional, juga tidaklah terlalu berbeza dengan banyaknya. Sewaktu berbuka puasa baru-baru ini, A menyuarakan pandangannya mengenai isu-su:
1
"Kenapakah universiti tidak seperti universiti?" Apabila ditanya apa maksud sebenarnya, dia sekadar menjawab, "Universiti sepatutnya belajar mengenai 'alam' dan 'dunia' sebanyak-banyaknya sebab nama universiti pun sebenarnya ada kaitan dengan 'universe'. "Jadi," dia menyambung, "patutnya kena ajar dan belajar mengenai falsafah dunia, sains dan segala-galanya selengkap-lengkapnya."
2
"Kenapakah baru sekarang orang sibuk bertanya tentang 'imsak', fadilat puasa, terawih dan banyak perkara lain pasal puasa dan macam-macam, sedangkan itu sepatutnya dah selesai sewaktu di persekolahan atau semasa mengaji agama sewaktu kecil? Ini tidak, baru sekarang sibuk nak bertelagah sama ada waktu imsak maknanya kita perlu berhenti makan dan jangan ditunggu sehingga azan dilaungkan. Lepas itu, habis semua mufti atau ulama yang kelihatannya agak 'liberal' disalahkan dan dikecam."
Komen:
Saya tidak mahu komen mengenai kedua-dua hal yang disuarakannya. Pertama, semasa saya di universiti dahulu, saya sudah melalui perkara yang ditanyakannya itu. Kami belajar hal-hal kefalsafahan dengan cukup banyak tanpa jemu. Ungku Aziz mengajar mengenai falsafah, khususnya falsafah sains. Ozman Bakar mengajar mengenai falsafah juga. malah boleh dikatakan kebanyakan pensyarah kami fasih dalam soal-soal kefalsafahan walaupun bidang pengkhususan mereka sangat jelas halanya. Prof Diraja Ungku Aziz di bidang ekonomi; Prof Zainal Kling di bidang sosiologi dan antropologi; Prof Osman Bakar di bidang sains; Prof Khairuddin di bidang sains dan komputer; Prof Khoo Kay Kim di bidang sejarah; Prof Shahril di bidang sejarah; Prof Asmah dan Prof Safiah di bidang bahasa & Linguistik; dan ramai lagi. Hampir semuanya fasih berfalsafah secara holistik dan berupaya menggarap persoalan kemanusiaan dengan cukup bersahaja dan santai.
Tanpa niat memperkecil sesiapa pun, saya belum berjumpa walau seorang pun yang petah berfalsafah, berkemahiran dan berpengetahuan mengenai falsafah sebegitu, di sini, di tempat kita mengajar dan belajar ini. Maaf. Lalu, maafkanlah pelajar dan graduan kerana mereka tidak bersalah sedikit pun.
Kedua, saya rasa kita tidak perlu mencari sebab dan alasan untuk semua perkara dalam kehidupan. Kadang-kadang hal-hal yang dilihat sebagai masalah itulah yang merupakan sebab dan alasan bagi semua perkara. Cuma kita sahaja yang terlupa memerhatikan hal yang paling kecil kerana ia sentiasa dianggap kecil dan tidak berperanan besar. Nota: saya terus bersahur walaupun imsak...