Kenyataan PM serta Menteri Pelajaran berkenaan isu Bahasa Inggeris serta dua matapelajaran teras sudah lama dijangka oleh orang ramai. Tahap pencapaian murid - khususnya menguasai Bahasa Inggeris - belum seperti yang diharapkan. Oleh itu, mereka terus dibenarkan untuk menjawab dalam Bahasa Malaysia atau Bahasa Pengantar di sekolah masing-masing.
Menteri Pelajaran sendiri sudah menyatakan dengan jelas bahawa janji kerajaan untuk mengambil kira kebimbangan parti-parti komponen - khususnya MCA dan ahli-ahli politik komuniti Cina - telah pun dipenuhi sebagaimana digambarkan oleh keputusan kerajaan berkenaan isu tersebut. Ini, menurut beliau, adalah unsur kesepakatan dan timbang rasa yang dibudayakan oleh Barisan Nasional.
Pada masa yang sama, Khairi Jamaluddin mengingatkan mengenai betapa perlunya perwakilan UMNO mengambil kira soal-soal sensitiviti kaum apabila berbahasa dan berucap pada perhimpunan tidak lama lagi. Meskipun Agenda Melayu dianggap penting dan utama, namun perkiraan sensitiviti itu seharusnya turut dipentingkan.
Nota:
Mungkin wajar dibaca kembali laporan mengenai penggunaan bahasa Inggeris - "mengapa kami bantah" - dalam pendidikan sebagaimana ditulis oleh kumpulan akademik prihatin yang diselenggara oleh Prof Emeritus Abdullah Hassan pada tahun lepas, sekadar menyegarkan ingatan dan menancapkan semula paksi pendirian.