Monday, October 08, 2007

Penghujung Musim

Wan, Rok & Shima, saya bercuti mulai hari ini, Isnin 8 Oktober 2007. Mulanya saya diperingat oleh Zalela, staf yang menguruskan soal-soal cuti jabatan, mengenai cuti untuk sambutan perayaan idulfitr. Kemudian, Jasmin (Dr) pula memaklumkan kepada saya yang cuti saya - kerana mengendalikan kuliah dan seminar siswazah (Sarjana & PhD) pada hujung-hujung minggu - sepanjang dua semester tidak pernah dituntut. Makanya, cuti saya semakin bertambah dan tidak sempat untuk dihabiskan. Tidak apa. Biarkanlah.
Hari ini, saya perlu berada di pejabat - entah berapa lama - kerana kasihankan pelajar-pelajar tesis saya yang terlambat menguruskan penyerahan tesis mereka untuk diperiksa (viva voce). Tarikh pertemuan sudah ditetapkan minggu lepas, tetapi atas banyak sebab, mereka tidak dapat memenuhi janji tersebut. Jadi, terpaksa disantakkan ke hari ini juga. Tengahari tadi juga ada jemputan majlis khatam al-Qur'an di fakulti. Banyak juga bunga telur dan ole-ole yang saya bawa pulang! Berkesempatan juga berjumpa sahabat lama, Ust Mohamad Nor Mamat yang memimpin majlis tadi.
Idilfitr kali ini berlainan sedikit. Ada dua rakyat negara ini - seagama pula - dijadualkan berlepas ke cakerawala. Biarlah Amerika Syarikat mahu melabelkan mereka sebagai pelancong angkasa atau apa-apa pun, yang penting mereka ke ruang cakerawala. Ini mengingatkan saya kepada sebuah analogi yang saya sudah baca agak lama dahulu:
"Berfikir jauhlah kamu dan bermimpilah sehingga ke bintang. Melonjaklah, dan sekiranya kamu cuma berupaya melonjakkan diri ke bulan dan tidak upaya mencecah bintang, itu boleh dikira sudah cukup baik. Setidak-tidaknya kamu sudah pun meninggalkan tanah bumi, daripada tidak bergerak-gerak langsung."
Saya menerima kad ucapan hari raya agak banyak. Namun saya tidak dapat membalas semuanya sebelum ketibaan hari raya ini. Saya mohon maaf. Alasan utama saya adalah kerana saya bercuti agak awal. Kad raya kebanyakannya tiba di pejabat, jadi saya tidak sempat untuk menerima semuanya dan membalas sebelum hari raya nanti.
Saya tentu bersalah dan ada membuat kesilapan di sana sini kepada sesiapa. Saya minta maaf. Kalau saya tahu kesalahan dan kesilapan itu secara nyata, sudah tentu saya akan memohon maaf secara langsung kepada sesiapa pun orang itu. Sebaliknya, jika ianya berlaku di luar sedar, saya memohon maaf di sini sahaja.
Saya akan berhari raya di utara, antara Taiping dan Pulau Pinang. Kebiasaannya saya akan over-landing di Kedah. Itu pun bergantung kepada beberapa perkara pada saat-saat akhir nanti.
Rasa-rasanya idulfitr kali ini semakin banyak maknanya. Salam untuk semua.