1. Saya membaca dengan asyik coretan sahabat, Utahaya, di blognya pagi ini mengenai beberapa isu.
2. Pemikirannya mengenai bahasa dan sastera memang hebat dan memaksa saya untuk berasa salah atas beberapa alasan dan pertimbangan.
3. Pada masa yang sama, saya turut mengikuti semua mesej yang dihantar kepada saya selain daripada membaca nota-nota yang ditulis oleh sahabat-sahabat yang lain sama ada di blog mereka atau pun emel.
4. Nobisha khususnya memberi banyak isyarat yang perlu saya tafsir dengan cermat.
5. Saya cuma ingin menyuarakan sedikit rasa hati mengenai satu isu sahaja setakat ini: isu bahasa.
6. Saya sangat menghargai kedua-dua bahasa yang sangat saya perlukan pada setiap masa. Saya tidak bersedia untuk mengorbankan bahasa ibunda saya, namun saya juga tidak begitu redha untuk menidakkan hakikat bahawa saya sangat memerlukan Bahasa Inggeris pada setiap saat.
7. Saya fikir saya lebih bimbang mengenai penggunaan bahasa ibunda saya secara yang jelek. Sebagai contoh, pada setiap kali saya mendengar lagu-lagu yang dinyanyikan oleh penyanyi-penyanyi muda, sebutan mereka sudah tidak ketahuan punca dan semakin terasing bunyinya di telinga saya.