2. Calon - Ada tanda-tanda menunjukkan pada masa ini pengundi semakin berkecenderungan menyokong calon dan tidak semestinya parti. Beberapa negara lain di dunia sememangnya memperlihat aliran ini dengan jelas, Amerika Latin dan Thailand misalnya. Ini mungkin dianggap bermula di negara ini ekoran kes tertentu seperti Datuk Seri Wan Azizah di Permatang Pauh. Sentimen simpati dan kewanitaan dikatakan menjadi faktor utama pengundi membuat keputusan. Namun ada juga pengecualiannya. kadang-kadang pengundi mementingkan siapa calon yang diletakkan di sesuatu kawasan tanpa menunjukkan sentimen secara jelas mengenai alasan mereka berbuat demikian; mungkin atas pertimbangan keperibadian. Calon bebas di kawasan Batu Laut, Cikgu Jabar pernah memenangi tiga penggal berturut-turut sebagai calon bebas (1974, 1978 dan 1982).
3. Faktor Daerah - Di Perancis ada ungkapan disebut “electoral geography” yang menggambarkan perilaku pengundi hasil daripada sentimen tempatan. Orang-orang Perancis cenderung mengundi demi kepentingan tempatan dan tanahair sendiri berbanding dengan orang-orang British atau Amerika. Di Amerika Syarikat, oleh kerana Parti Republikan telah bertanggungjawab kepada pembebasan hamba, maka bahagian Selatan Amerika Syarikat cenderung menyokong Parti Demokrat (misalnya Presiden Carter dalam pilihanraya 1976). Di Britain, liberalisme sangat kuat pengaruhnya di Wales dan barat England. Antara kriteria-kriteria penting pemilihan calon di Bukit Gantang dan Bukit Selambau termasuklah faktor anak tempatan. Kenapa? Sentimen kedaerahan yang kuat menjadikannya sebagai pertimbangan yang tidak boleh ditolakansur.
4. Agama - Di Amerika Syarikat dan Britain contohnya tidak ada parti berasaskan agama. Bagaimanapun, di USA, pengundi Katolik dan Yahudi secara umumnya menyokong Parti Demokrat manakala pengundi yang tidak jelas status agama mereka pula menyokong parti yang mempunyai sedikit kaitan dengan unsur-unsur kepercayaan dan agama. Di Britain misalnya, penganut Katolik secara umumnya menyokong Parti Buruh. Mungkin juga ini ada hubungannya dengan pertimbangan kelas dan sebagainya. Di Malaysia dan Indonesia misalnya, faktor agama menjadi penting tambah-tambah lagi bila ia dikaitkan dengan kekuasaan politik dan juga tanggungjawab individu untuk membantu tokoh-tokoh agama idola mereka. Bagaimanapun, akhir-akhir ini, aliran baru seperti sudah muncul dari segi corak perilaku pengundi dan pelaku-pelaku politik. Agama seolah-olahnya tidak lagi menjadi pertimbangan mutlak untuk membuat keputusan politik serta terlibat dalam aktiviti-aktiviti politik seperti pilihanraya. Bukan lagi sesuatu yang pelik untuk melihat penyokong-penyokong parti berteraskan agama, seperti PAS, melibatkan diri secara langsung dalam aktiviti-aktiviti politik anjuran pihak lain meskipun agama mereka berlainan. Malah undi mereka turut dilemparkan kepada calon-calon bukan daripada agama yang sama dengan mereka semata-mata untuk memenangi pilihanraya. Ini sesuatu yang baru.
5. Etnik - Keturunan apa yang menjadi calon juga dikira penting dalam pilihanraya. Di USA misalnya, para imigran dan dan minoriti biasanya menyokong Parti Demokrat. Di Britain pula, pengundi berkulit hitam diketahui cenderung menyokong Parti Buruh. Di Malaysia, pembahagian etnik dilihat lebih penting daripada faktor agama, kelas dan sebagainya. Beberapa parti arus perdana secara jelas mempunyai perimbangan yang majoriti dari segi penguasaan sesuatu etnik dan bangsa. Bagaimanapun, kemunculan parti-parti baru yang dipromosi secara agresif sebagai berbilang-etnik, seperti PKR menambah perisa kepada menu politik negara ini. Bukit Selambau misalnya menjadi contoh bagaimana hal ini dipentingkan sebagai salah satu daripada strategi untuk memenangi pilihanraya kecil.
6. Usia Pengundi - Ada tanda-tanda pengundi-pengundi muda semakin menjinakkan diri dalam aktiviti-aktiviti politik, namun tidak semestinya mereka akan membuang undi. Bagaimanapun, mereka lebih memilih untuk menyuarakan pandangan secara kritis menerusi blog. Sekiranya kebanyakan pengundi muda bersedia untuk berbaris di pusat-pusat pengundian kelak, tentunya keputusan pilihanraya akan menjadi semakin mudah diramal!