Sunday, March 22, 2009

PSEFOLOGI

1. Saya ditanya sama ada terdapat ungkapan atau istilah khusus yang menerangkan konsep pilihanraya dan pengundian, sebagaimana sosiologi digunakan untuk menjelaskan kajian mengenai kemasyarakatan atau antropologi yang digunakan untuk mengetahui persoalan mengenai manusia.

2. Ya, memang ada. Selalunya psephology digunakan untuk maksud itu.

3. Secara mudah, ia bermaksud kajian mengenai pilihanraya dan pengundian. Ungkapan ini lebih popular bila dikaitkan dengan analisis yang dibuat terhadap statistik pengundian dan spekulasi mengenai keputusan pilihanraya. Ia meliputi semua aspek pilihanraya seperti rangkakerja perundangan, pemilihan calon, analisis sosiologi dan geografi corak-corak pembuangan undi serta sistem-sistem pengundian.

4. Ada yang ingin mencuba?

Saturday, March 21, 2009

KEWAJARAN POLITIK

1. Sifat hemah dalam berpolitik bukanlah sesuatu yang akhir-akhir ini sahaja diperkata orang. Politik adalah berkenaan hubungan kemanusiaan. Secara teknikal, ia menyangkut juga soal-soal komunikasi dan ‘berbahasa’. Malah, dalam kebanyakan teori mengenai kepemimpinan politik, kelebihan pemimpin dari segi ‘berbahasa’ – bukan kemahiran beroratori semata-mata – menjadi suatu daripada beberapa penerang kehebatan kepemimpinan seseorang ahli politik. Inilah umpamanya yang lakukan oleh Mursyidul Am Pas, Nik Aziz Nik Pa yang mengisahkan analogi ‘nakhoda kapal’ sewaktu menjawab soalan-soalan jurnalis mengenai perbezaan pendekatan antara beliau dan Hadi Awang. Bezakan pula kesannya dengan kata-kata Gobindh Deo yang ditujukan kepada Najib Tun Razak sewaktu di Parlimen yang kemudiannya menyebabkan Gobindh digantung selama setahun. Fikirkan juga bagaimana Karpal mengungkapkan kata-kata “Singh is King” sebagai menggayakan lagaknya yang tidak berasa gerun sama sekali terhadap Pemuda UMNO.

2. Apabila pelaku-pelaku penting politik tidak berupaya menggunakan wibawa bahasa mereka, apakah yang boleh diharapkan daripada pengikut-pengikut yang cuma berada sekali-sekala dalam lingkungan ‘ketuhar politik’ yang sentiasa dipanaskan mengikut keperluan oleh pelaku-pelaku utama politik?

3. Berapa banyakkah orang yang telah direndahkan martabat mereka oleh cemuhan dan carutan berterusan yang semuanya hanya disebabkan oleh perbezaan keutamaan dan pandangan? Pelaku-pelaku politik seperti Menteri Besar, menteri-menteri, wakil-wakil rakyat, dan ahli-ahli Parlimen misalnya diberikan pelbagai nama dan label yang melampaui nilai dan norma kemanusiaan. Warna kulit, nama, keluarga, pekerjaan, paras rupa dan sebagainya digunakan sebagai modal untuk mengotorkan personaliti luar dan dalam seseorang hanya kerana pandangan dan pendirian politik yang berbeza.

4. Namun ini bukanlah perkara baru. Ia bukan senario yang muncul secara tiba-tiba di sini, pada masa ini. Banyak negara lain sudah pun mendahului masyarakat kita. Mereka sudah melihat bagaimana kejelekan ini mencetuskan iklim perhubungan manusia yang sangat menekan dan meresahkan masyarakat mereka sendiri.

5. Di Amerika Syarikat khususnya, pada tahun-tahun 1980an, kesedaran mengenai keji dan bahayanya ketidakhemahan berpolitik di kalangan pelaku-pelaku politik sudah pun timbul dan dinyatakan secara jelas. Bermula di sinilah ungkapan ‘kewajaran politik’ atau ‘political correctness’ menjadi sesuatu yang digerakkan sebagai mekanisma yang diharapkan boleh mengawal perilaku jelek dalam politik, terutamanya dari segi penggunaan bahasa secara diskriminasi terhadap kumpulan-kumpulan sosial.

Friday, March 20, 2009

KENAPA MENGUNDI?

1. Sosialisasi Asas - Keluarga; rakan-rakan khususnya di tempat kerja dan di kopi tiam, kumpulan-kumpulan seminat, kejiranan, dan pelbagai unsur tempatan sentiasa ada potensi untuk mempengaruhi perilaku mengundi.

2. Calon - Ada tanda-tanda menunjukkan pada masa ini pengundi semakin berkecenderungan menyokong calon dan tidak semestinya parti. Beberapa negara lain di dunia sememangnya memperlihat aliran ini dengan jelas, Amerika Latin dan Thailand misalnya. Ini mungkin dianggap bermula di negara ini ekoran kes tertentu seperti Datuk Seri Wan Azizah di Permatang Pauh. Sentimen simpati dan kewanitaan dikatakan menjadi faktor utama pengundi membuat keputusan. Namun ada juga pengecualiannya. kadang-kadang pengundi mementingkan siapa calon yang diletakkan di sesuatu kawasan tanpa menunjukkan sentimen secara jelas mengenai alasan mereka berbuat demikian; mungkin atas pertimbangan keperibadian. Calon bebas di kawasan Batu Laut, Cikgu Jabar pernah memenangi tiga penggal berturut-turut sebagai calon bebas (1974, 1978 dan 1982).

3. Faktor Daerah - Di Perancis ada ungkapan disebut “electoral geography” yang menggambarkan perilaku pengundi hasil daripada sentimen tempatan. Orang-orang Perancis cenderung mengundi demi kepentingan tempatan dan tanahair sendiri berbanding dengan orang-orang British atau Amerika. Di Amerika Syarikat, oleh kerana Parti Republikan telah bertanggungjawab kepada pembebasan hamba, maka bahagian Selatan Amerika Syarikat cenderung menyokong Parti Demokrat (misalnya Presiden Carter dalam pilihanraya 1976). Di Britain, liberalisme sangat kuat pengaruhnya di Wales dan barat England. Antara kriteria-kriteria penting pemilihan calon di Bukit Gantang dan Bukit Selambau termasuklah faktor anak tempatan. Kenapa? Sentimen kedaerahan yang kuat menjadikannya sebagai pertimbangan yang tidak boleh ditolakansur.

4. Agama - Di Amerika Syarikat dan Britain contohnya tidak ada parti berasaskan agama. Bagaimanapun, di USA, pengundi Katolik dan Yahudi secara umumnya menyokong Parti Demokrat manakala pengundi yang tidak jelas status agama mereka pula menyokong parti yang mempunyai sedikit kaitan dengan unsur-unsur kepercayaan dan agama. Di Britain misalnya, penganut Katolik secara umumnya menyokong Parti Buruh. Mungkin juga ini ada hubungannya dengan pertimbangan kelas dan sebagainya. Di Malaysia dan Indonesia misalnya, faktor agama menjadi penting tambah-tambah lagi bila ia dikaitkan dengan kekuasaan politik dan juga tanggungjawab individu untuk membantu tokoh-tokoh agama idola mereka. Bagaimanapun, akhir-akhir ini, aliran baru seperti sudah muncul dari segi corak perilaku pengundi dan pelaku-pelaku politik. Agama seolah-olahnya tidak lagi menjadi pertimbangan mutlak untuk membuat keputusan politik serta terlibat dalam aktiviti-aktiviti politik seperti pilihanraya. Bukan lagi sesuatu yang pelik untuk melihat penyokong-penyokong parti berteraskan agama, seperti PAS, melibatkan diri secara langsung dalam aktiviti-aktiviti politik anjuran pihak lain meskipun agama mereka berlainan. Malah undi mereka turut dilemparkan kepada calon-calon bukan daripada agama yang sama dengan mereka semata-mata untuk memenangi pilihanraya. Ini sesuatu yang baru.

5. Etnik - Keturunan apa yang menjadi calon juga dikira penting dalam pilihanraya. Di USA misalnya, para imigran dan dan minoriti biasanya menyokong Parti Demokrat. Di Britain pula, pengundi berkulit hitam diketahui cenderung menyokong Parti Buruh. Di Malaysia, pembahagian etnik dilihat lebih penting daripada faktor agama, kelas dan sebagainya. Beberapa parti arus perdana secara jelas mempunyai perimbangan yang majoriti dari segi penguasaan sesuatu etnik dan bangsa. Bagaimanapun, kemunculan parti-parti baru yang dipromosi secara agresif sebagai berbilang-etnik, seperti PKR menambah perisa kepada menu politik negara ini. Bukit Selambau misalnya menjadi contoh bagaimana hal ini dipentingkan sebagai salah satu daripada strategi untuk memenangi pilihanraya kecil.

6. Usia Pengundi - Ada tanda-tanda pengundi-pengundi muda semakin menjinakkan diri dalam aktiviti-aktiviti politik, namun tidak semestinya mereka akan membuang undi. Bagaimanapun, mereka lebih memilih untuk menyuarakan pandangan secara kritis menerusi blog. Sekiranya kebanyakan pengundi muda bersedia untuk berbaris di pusat-pusat pengundian kelak, tentunya keputusan pilihanraya akan menjadi semakin mudah diramal!

Thursday, March 19, 2009

KITA TIDAK BERASA SALAH

Kita tidak pernah berasa salah”.
Judul makalah tulisan Tan Sri Awang Had Salleh itu, yang disiarkan di Dewan Budaya beberapa tahun lampau menerpa secara tiba-tiba di fikiran saya.

Keadaan seperti hari-hari yang dilalui sekarang ini mengingatkan saya betapa ketidakpedulian manusia mengenai kebanyakan hal dalam kehidupan ini - yang selama ini dianggap perkara yang paling asas - menjadi sehabis sukar sedangkan perkara yang sebelum ini – yang dikatakan amat sulit - kelihatannya semakin tidak menjadi apa-apa.

Sejarah bahasa amat mudah. Dalam mana-mana tamadun sekalipun, sama ada bahasa itu dalam bentuk yang perlu diucapkan mahupun secara yang tidak perlu dituturkan, menggunakan kepulan asap umpamanya, peranan utama bahasa adalah untuk berhubung. Perlambangan, ritualisme dan estetika kemudiannya menjadi komponen-komponen penting yang membezakan penutur. Lalu, bahasa melengkapkan wajah luaran para penutur sesuatu bahasa itu sendiri.

Dalam keadaan tertentu, bahasa turut menjadi penerang kepada makna dalaman nilai dan falsafah para penutur. Tidak hairanlah apabila dalam kumpulan penutur tertentu, bahasa kemudiannya menjadi petanda kepada sifat dan pembawaan budaya penutur. Bahasa kemudiannya bukan sahaja mencerminkan sifat dan watak fizikal penutur (lembut, ganas, langsung ataupun berlapik secara cermat), malah bahasa turut menempiaskan aspek kefalsafahan para penutur.

Kemudian, perjalanan bahasa diluncurkan dengan lebih jauh sehingga diupayakan dan diwibawakan dengan tanggungjawab untuk mentadbir hal-hal politik, hal-hal siyasah semata-mata untuk meletakkan masyarakat dalam acuan adab tertentu. Bahasa bergantung kepada penutur. Selama mana penutur setia mengucapkan apa sahaja kata-kata yang diketahui dan difahami bukan sahaja oleh dirinya sendiri malah oleh orang lain yang berada dalam kelompok yang sama , selama itulah juga bahasa akan kekal menjadi alat untuk menyampaikan niat.

Jadi, sesuai dengan sifatnya yang bernyawa, bukanlah sesuatu yang pelik untuk melihat bahasa dalam kaitannya dengan siyasah, mahupun dengan politik. Jika tidak, masakan dibezakan antara bahasa sebagai Bahasa Kebangsaan dengan bahasa sebagai Bahasa Rasmi.

Asmah Hj Omar, sarjana ulung Linguistik Bahasa Melayu pernah menyebut,

From this date and for the years to come, it will perhaps be superfluos to endorse a distinction between the national language and the official language. Countries like Indonesia and Thailand, and those more developed ones like Britain, the United States and so on, do not see a need for distinguishing the national from the official language.” (daripada buku: Malay in its sociocultural context (1987), Kuala Lumpur: Dewan Bahasa & Pustaka, halaman 3).

Untuk apa menafikan kenyataan bahawa bahasa boleh dipolitikkan?

Tidak ada apa-apa yang salah mengenai itu. Bahasa sememangnya bersifat sangat politikal. Bahasa dijadikan alat menyemai ideologi. Bahasa dijadikan senjata untuk mempertahan dan menyerang. George Orwell, pengarang The Animal Farm, yang sangat dikenal oleh pelajar-pelajar Bahasa Inggeris menggunakan bahasa dengan amat berkesan untuk menggambarkan realiti politik. Tidak kurang juga keadaannya dengan apa yang dihasilkan dengan cara amat berkesan oleh Shahnon Ahmad melalui Shit-nya.

Hassan Ahmad, dahulunya Ketua Pengarah Dewan Bahasa & Pustaka pernah mengungkapkan melalui ‘prakata’ di buku Asmah (yang di atas tadi) bahawa,

“A language gets its life from its milieu which not only comprises the speakers but the other languages as well”.

Perlukah kita berasa salah? Sudah habiskah segala pilihan yang tinggal?

Saturday, March 14, 2009

MENGENAI PILIHAN 2

1. Saya membaca dengan asyik coretan sahabat, Utahaya, di blognya pagi ini mengenai beberapa isu.

2. Pemikirannya mengenai bahasa dan sastera memang hebat dan memaksa saya untuk berasa salah atas beberapa alasan dan pertimbangan.

3. Pada masa yang sama, saya turut mengikuti semua mesej yang dihantar kepada saya selain daripada membaca nota-nota yang ditulis oleh sahabat-sahabat yang lain sama ada di blog mereka atau pun emel.

4. Nobisha khususnya memberi banyak isyarat yang perlu saya tafsir dengan cermat.

5. Saya cuma ingin menyuarakan sedikit rasa hati mengenai satu isu sahaja setakat ini: isu bahasa.

6. Saya sangat menghargai kedua-dua bahasa yang sangat saya perlukan pada setiap masa. Saya tidak bersedia untuk mengorbankan bahasa ibunda saya, namun saya juga tidak begitu redha untuk menidakkan hakikat bahawa saya sangat memerlukan Bahasa Inggeris pada setiap saat.

7. Saya fikir saya lebih bimbang mengenai penggunaan bahasa ibunda saya secara yang jelek. Sebagai contoh, pada setiap kali saya mendengar lagu-lagu yang dinyanyikan oleh penyanyi-penyanyi muda, sebutan mereka sudah tidak ketahuan punca dan semakin terasing bunyinya di telinga saya.

Monday, March 09, 2009

MENANGGUH PILIHAN

1. Azis, Raffa, Fifi mencuit saya mengenai isu PSMI.

2. Saya pelajar aliran Bahasa Melayu. Sejak persekolahan – rendah, menengah dan menengah atas – semua subjek yang dipelajari di sekolah menggunakan Bahasa Melayu, melainkan English Language.

3. Saya tidak bercadang untuk berterus-terang mengenai pendirian saya sama ada PSMI wajar atau tidak; atau sama ada berkesan atau tidak dalam mencapai niat asal PSMI dilancarkan. Saya tidak membuat penyelidikan rapi mengenai isu tersebut. Saya cuma membaca buku yang diberikan secara percuma oleh Profesor Emeritus Abdullah Hassan. Selebihnya, saya berborak-borak dengan rakan-rakan, khususnya salah seorang rakan saya ini, seorang guru (juga mengajar Bahasa Malaysia) di sebuah sekolah menengah di Selangor.

4. Saya belum benar-benar pasti sama ada isu PSMI jatuh di bawah dunia sebelah mana: sama ada pendidikan atau politik. Mungkin ia berbaur antara kedua-duanya.

5. Saya memerlukan masa yang lebih panjang untuk memikir dan membuat pilihan.