1. Lewat petang, saya ditanya oleh jurnalis dari sebuah media sama ada saya bersetuju dengan ura-ura untuk menggubal suatu undang-undang yang bertujuan untuk mengekang atau melarang seseorang ahli politik (wakil rakyat; Ahli Parlimen) daripada melompat parti.
2. Jawaban segera saya adalah "setuju atau tidak, sebenarnya tidak menjadi soal."
3. Bagaimanapun, secara umum saya berpandangan undang-undang yang akan digubal itu secara luarannya akan mengeraskan bau "demokrasi". Analoginya, jika ditambah taburan kemenyan ke dupa, akan lebih semerbaklah baunya manakala asapnya pula akan semakin berkepul-kepul.
4. Pada amalannya, seseorang ahli politik yang menjadi wakil rakyat/Ahli Parlimen mendapat kedudukan itu atas keputusan yang dipercayakan oleh pengundi. Dilihat dari sudut budaya politik, para pengundi memilih calon atas beberapa pertimbangan. Ini termasuklah pengaruh simbol-simbol yang boleh dilihat secara nyata oleh para pengundi, misalnya lambang parti.
5. Apabila wakil rakyat melompat parti, dia bukan sahaja melompat bersama-sama jawatan yang dipegangnya atas amanah parti asal, malah membawa bersama-samanya kepercayaan yang dipinjamkan kepadanya oleh para pengundi kawasan yang berkenaan untuk "diletakkan" di dalam lingkungan parti baru yang dianggotainya.
6. Dengan itu, bukan sahaja dia dilihat sudah mengkhianati parti asal bahkan turut mencemari kepercayaan yang diberikan kepadanya oleh pengundi sewaktu pilihanraya.
7. Sesetengah sarjana sains politik percaya bahawa sistem pemerintahan - sama ada demokrasi, autokrasi mahu pun laissez-faire - tidak pernah wujud dalam maksudnya secara 100%. Fleksibiliti terawang-awang antara ketiga-tiganya.
8. Dengan 'kepercayaan' itu di fikiran, cadangan untuk menggubal undang-undang sedemikian dlihat positif dari sudut semangat demokrasi.
9. Soalnya, dengan melihat situasi politik tanahair waktu ini, ada kemungkinan tindakan itu boleh menjadi 'boomerang' yang akan mencederakan si pelontarnya.
10.Keazaman politik sahaja tidak mencukupi. Ketahanan melawan sakit akibat hentaman boomerang yang pulang-balik mungkin menjadi penentu kesinambungan keazaman politik itu sendiri.