Wednesday, January 28, 2009

puteri, putera & pemuda

1. Sekiranya cadangan Tan Sri Ahmad Rithaudeen untuk membubarkan puteri dan putera didorong oleh keresahan UMNO mengenai politik wang menjelang musim pemilihan nanti, saya fikir cadangan tersebut sekiranya dilaksanakan, tidak akan mencapai niat asal. Politik wang adalah gejala, penerang, atau penunjuk kepada masalah yang belum dikenal pasti dengan yakin. Masalah sebenarnya mungkin di mana-mana, terang atau tersembunyi.
2. Puteri & putera adalah institusi/organisasi. Sama ada wujud pertalian 'sebab-akibat' antara kewujudan kedua-dua organisasi itu dengan politik wang, hanya penyiasatan/perenungan yang terperinci sahaja yang akan dapat menghasilkan analisis akhir; sesudah itu barulah boleh dibuat kesimpulan yang itu pun masih belum boleh dikatakan muktamad.
3. Politik wang adalah salah satu daripada gejala-gejala negatif yang lahir daripada budaya politik. Ada banyak komponen yang perlu difahami fenomena tiap satunya. Adakah ia berkaitan komponen nilai dan kepercayaan? Mungkin jugakah ia ada hubungan dengan komponen lain yang mendasari budaya politik semasa, seperti sistem-sistem kecil di dalam budaya politik itu sendiri?
4. Oleh kerana tujuan puteri ditubuhkan adalah untuk menarik minat gadis-gadis untuk menghargai politik - sepertimana dikatakan oleh Ketua Puteri sendiri - maka struktur dan sistem puteri itu sendiri yang harus diperbetulkan. Sebagai contoh, neutralkan sebarang unsur pertandingan yang melibatkan puteri. Dengan kata lain, jadikan puteri bersifat seperti NGO yang mengkhusus kepada sesuatu tujuan dengan nyata.
5. Begitu juga dengan putera. Neutralkan sebarang unsur pertandingan. Biarkan mereka yang berminat dengan politik meneruskan kecenderungan mereka tanpa melibatkan unsur-unsur yang memancarkan potensi kuasa dan pengaruh. Sanggupkah mereka aktif dengan niat yang setulus itu? Tanpa dikaburi oleh cahaya potensi kuasa dan pengaruh, akan kekalkah mereka yang tidak berniat tulen?
6. Jika saranan Tan Sri Ahmad Rithaudeen itu diterima, ia merupakan tindakan yang drastik dan berani. Dan saya percaya ia tentunya risiko yang dijangkakan (calculated risk).
7. Berani mencuba? Hanya pemimpin yang bersifat transformasi mungkin akan mengatakan 'ya, kenapa tidak?'