Saturday, January 17, 2009

sememangnya politikal

1
Umumnya pendidikan adalah bersifat politikal. Kenapa saya katakan begitu? Sejak zaman penjajahan, kebanyakan keputusan, dasar pemerintahan, dan pentadbiran negara yang dibuat sentiasa sahaja dibayangi oleh hasrat-hasrat politik penjajah yang memusatkan perhatian kepada usaha-usaha untuk menjana keuntungan kepada penjajah.
2
Politik menjadi perkiraan penting dalam banyak hal. Keadaan sebegini tidaklah perlu dihairankan atau dirungsingkan sangat kerana petunjuknya adalah jelas. Politik ‘pecah-perintah’ yang digunakan pihak Inggeris di Tanah Melayu dengan sendirinya menjelaskan pada awalnya kenapa pendidikan di negara ini sangat politikal sifatnya.

3
Apabila tamadun manusia berubah – terutamanya lewat Revolusi Industri di Eropah – pendidikan pun berubah. Daripada berasaskan pertanian sepenuhnya, pendidikan kemudiannya beralih tahap dan arah kepada usaha-usaha untuk memajukan dan membangunkan sektor industri. Dan sebagai melengkapi usaha-usaha untuk mengindustrikan pertanian, maka penemuan-penemuan baru perlu dibuat. Penerokaan kawasan-kawasan baru untuk mendapat sumber-sumber bahan mentah yang baru seperti timah juga perlu dibuat tanpa bertangguh-tangguh.

4
Penjajah melihat semua peristiwa dan kejadian yang berlaku pada sepanjang tempoh penjajahan mereka dengan teliti. Perjanjian Pangkor – yang menyaksikan bagaimana Inggeris "merekabentuk" corak pemerintahan Perak melalui percaturan politik mereka – serta beberapa perjanjian lain yang mengehadkan kebanyakan kuasa dan autoriti pemimpin-pemimpin Melayu telah, dengan cermat, memberi rupa dan susun atur yang agak istimewa kepada pendidikan negara sehingga hari ini.

5
Atas alasan-alasan perpaduan dan untuk mengimbangi kedudukan dan kepentingan etnik-etnik lain di Tanah Melayu – Cina dan India khususnya - pendidikan di negara ini diasaskan dengan mengambil kira apa yang dikatakan sebagai sensitiviti budaya, kepercayaan dan agama.
6
Akibatnya, orang-orang Melayu bukan sahaja terus dikekalkan, malah digalakkan untuk meneruskan sistem pengajian pondok mereka, manakala bangsa-bangsa lain dibenarkan terus dengan sistem pendidikan dan bahasa vernakular mereka, sebahagiannya atas nama perpaduan dan perimbangan sosial.

Adakah pendidikan peribumi – yakni Melayu – itu lemah dan tidak berupaya?

7
Tidak. Tradisi keilmuan orang-orang Melayu sangat kuat dan berwibawa. Bahasa Melayu mempunyai sistem ejaan yang tersendiri yang sekaligus memulakan tradisi penulisan berbahasa. Dengan kata lain, ia tidak lagi menggunakan bentuk-bentuk inkripsi dan sebagainya. Hikayat Raja Pasai, Sejarah Melayu (atau Sulalatus Salatin), Hikayat Hang Tuah, Ihya Ulum ad-Din, Misa Melayu dan sebagainya semuanya merupakan sumber pendidikan ajaib yang dihasilkan oleh tradisi keilmuan bangsa Melayu pada era-era tertentu.

8
Bagaimanapun, ‘keajaiban’ pendidikan tradisi Melayu itu ternyata dengan mudah dilenturkan melalui dasar-dasar pemerintahan Inggeris yang tersusun dan beragenda. Inggeris tidak pernah bercadang untuk melahirkan inteligensia dan tokoh-tokoh pembaharuan yang sebelum ini – sejak 1920an – sangat berhasil membakar semangat masyarakat untuk berubah dan memajukan diri.

9
Ini terbukti melalui beberapa kenyataan pemimpin Inggeris yang menyentuh mengenai keadaan pendidikan orang-orang Melayu pada waktu itu. O.T. Dussek misalnya, pernah mengkritik pihak pemerintah Inggeris atas kegagalan mereka untuk membawa pendidikan yang lebih bermakna di Tanah Melayu.

10
Pada penghujung 1930an, seorang penasihat British di Kelantan, A.S Haynes, pernah dilaporkan menyebut bahawa “pendidikan Inggeris tidaklah kondusif bagi kebajikan sebahagian besar orang-orang di negeri tersebut (Kelantan)”.

11
Mungkin atas sebab itulah kelihatannya pendidikan di kalangan orang Melayu khasnya dibataskan oleh pihak Inggeris dengan hanya sekadar pendidikan yang difikirkan tidak mengatasi kehebatan pendidikan Inggeris. Oleh itu, pendidikan pada masa penjajahan lebih ditumpukan kepada bidang-bidang yang dikatakan oleh pihak Inggeris sebagai lebih “praktikal” seperti kemahiran berkebun, kraftangan dan sebagainya.

12
Dalam buku berjudul Malay Society: Transformation & Democratisation (1995: 159. Pelanduk Publications), Khoo Kay Kim menyebutkan betapa pada masa pemerintahan Inggeris, terdapat unsur-unsur kebimbangan di pihak Inggeris bahawa jika pendidikan moden dibawa masuk ke dalam sistem tempatan di Tanah Melayu, ada kemungkinan akan timbulnya tekanan yang menyukarkan pihak Inggeris untuk menanganinya.

13
Kebimbangan itu terbukti kemudiannya apabila sejak awal abad ke duapuluh, banyak pembaharuan dan tentangan ditimbulkan oleh puak-puak konservatif Melayu yang terdiri daripada pelajar-pelajar atau bekas-bekas pelajar sekolah vernakular Melayu dan juga institusi pondok. Sebaliknya, mereka yang berpendidikan Inggeris – yang kebanyakannya berkhidmat di sektor awam – tidak mempunyai ruang untuk ikut aktif dalam sebarang pergerakan anti-kerajaan.

Ini sedikit catatan ringkas sejarah awal pendidikan zaman British di Tanah Melayu yang sempat dirujuk.

1875 - Sekolah Melayu pertama di Kelang
1878 - Sekolah Melayu pertama di Perak
1889 - 9 buah sekolah lain didirikan dengan jumlah pelajar 375 orang
1892 - Sekolah vernakular Melayu pertama dibina di Canglun, Kedah dan kemudian sebuah lagi dibina di Kulim pada 1896 dan sebuah di Alor Setar pada 1897
1893 - 58 buah sekolah lagi didirikan di Perak – kebanyakannya di Utara Perak seperti Larut (17); Kuala Kangsar (9); Krian (11); Selama (5);
1894 - Di Perak, keseluruhannya berjumlah 75 buah sekolah
1899 - 24 lagi buah sekolah didirikan dengan bilangan pelajar 1,334 orang
1902 - Keseluruhannya 40 buah sekolah di Selangor dengan jumlah pelajar 1,652 orang
1906 - Sekolah pondok Madrasatul Al-Hamidiah diasaskan di Alor Setar
1910 - Pondok Paya, di Kelantan, diasaskan di bawah pimpinan Tok Kenali
1915 - Pondok Bangkak di Kelantan di asaskan, juga oleh Tok Kenali
1917 - Majlis Agama & Adat Istiadat Negeri Kelantan mengasaskan Nadrasah Muhammadiah. Jumlah pelajar: 310 orang. Angka ini bertambah menjadi 466 pada tahun 1918.
1920an - Sekolah-sekolah rakyat mula dibina melibatkan penyertaan masyarakat tempatan. Sehingga 1934, terdapat 24 sekolah rakyat di Kedah dengan jumlah pelajar 1,742 orang.