Sunday, December 30, 2007

Politik

Dalam politik, di peringkat mana sekali pun, semua orang sentiasa betul kerana tidak ada apa-apa yang salah mengenai memberi pandangan dan membuat keputusan. Sekiranya pandangan itu menyanggahi pandangan sebahagian besar orang ramai, maka ia dianggap satu kelainan yang kerana ia hanyalah satu pandangan semata-mata. Apabila sesuatu pandangan itu dilihat bersetuju dan berkongsi dengan pandangan ramai, maka ia dianggap sesuatu yang biasa, yang tidak perlu dihairankan sama sekali.
Politik adalah seni serba mungkin. Seni serba mungkin melibatkan percaturan. Ia mengenai kaedah yang digunakan untuk menyampaikan isyarat-isyarat strategik. Isyarat-isyarat itu mungkin difahami oleh sesetengah orang dan barangkali juga gagal ditafsirkan dengan tepat oleh sebahagian orang yang lain. Ia bergantung, antara lainnya, kepada beberapa unsur: siapa yang menyampaikan isyarat; bagaimana dia menyampaikan isyarat; di mana dia menyampaikan isyarat; dan pada masa bilakah isyarat itu disampaikan.
Akhbar hari ini menyiarkan isyarat yang disampaikan oleh Setiausaha Agung UMNO mengenai kepemimpinan Perlis Indera Kayangan. Sebelum ini pelakon politik yang sama ini turut menyentuh mengenai kepemimpinan Perlis dari sudut pembangunan sumber manusia: dan dia turut menyelitkan tujahan peribadi kepada kepemimpinan tertinggi negeri betapa Menteri Besar sendiri menggaji agak ramai pembantu rumah asing di kediaman beliau. Kali ini, tanpa berselindung, beliau berpandangan Menteri Besar Perlis mesti diganti kerana menurutnya Menteri besar itu gagal menyatupadukan parti UMNO di negeri sekecil Perlis itu.
Permainan isyarat adalah permainan berstrategis. Ia bergantung kepada siapa yang bijak membaca isyarat. Dan pada ketika-ketika tertentu, ia bergantung juga kepada siapa yang memekakkan telinga kepada pelbagai isyarat. Ia serba mungkin.

Tuesday, December 25, 2007

GOLF - Lebih dan kurangnya?

Selalunya saya berasa tidak selesa untuk bercerita mengenai golf; yang kadang-kalanya orang menyebutnya secara sinis sebagai akronim kepada 'Golongan Orang Lemah Fikiran' atau "Golongan Orang Lupa Famili. Kepada golfers, jangan ambil hati. Tidak ada apa-apa yang akan luak walau apa pun yang diperkata orang mengenai sesuatu selagi diri sendiri tidak mengiyakannya.

Saya tidak selesa bercakap mengenai golf kerana saya menganggapnya sesuatu yang peribadi. Bagaimanapun, saya akan sentuh juga sedikit sebanyak kerana beberapa emel yang saya terima bertanyakan mengenai golf (setelah membaca bab mengenai golf dalam menara). Kesimpulan saya mengenai golf - atau apa juga jenis sukan - amat mudah: kita terlibat kerana (1) minat bersukan; (2) status dan simbol bersosial; (3) faktor kesihatan (sukar mencari sukan lain yang kelihatannya agak santai dan mudah); (4) desakan rakan dan malu-alah kepada bos atau rakan bisnes; (5) sekadar suka-suka dan kebetulan hati terbuka untuk mencuba.
Golf tidak melibatkan persaingan dengan lawan atau sesiapa pun kerana golf adalah permainan yang melibatkan perjuangan dengan diri sendiri: kita menjaga skor atau mata kita sendiri; kita perlu memarahi diri sendiri atas kesilapan sendiri; kita mengawal diri sendiri supaya dapat bertenang dan menumpukan perhatian; dan kita sentiasa cuba memandaikan diri kita dengan segala aspek kemahiran golf.
Namun, manusia tetap akan kekal sebagai manusia, ada nafsu insaniahnya dan ada juga nafsu haiwannya. Apabila nafsu haiwan lebih menguasai, golf akan menjadi medan pertarungan klise dan absurd yang menunjukkan siapa pandai dia akan kelihatan hebat walaupun sebenarnya tidak ada istilah 'pandai' dan 'sempurna' dalam permainan golf. Tidak ada seorang pun pemain golf yang dianggap sudah mencapai titik penyudah kepada kepandaian dan kepakaran, walaupun Tiger Woods, nama yang sinonim dengan golf.
Bab mengenai Alamanda itu penceritaan biasa sahaja, tidak dilebihkan di mana-mana. Full stop.

Monday, December 24, 2007

Maaf, bukan di sini

Salam semua,

saya memohon maaf kerana tidak selesa membincangkan hal-hal yang berkaitan menara di sini. Harap semua itu disalurkan dan diteruskan sebagaimana adanya, melalui emel sahaja, buat masa ini.

Saya perlu mengambil masa yang lebih kerana kebelakangan ini - dalam percutian - saya pos semua entri secara mobile, menggunakan fon bimbit.

Sunday, December 23, 2007

Alam & Politi Melayu

Membaca pemikiran Prof. Zainal Kling di akhbar hari ini meletakkan perspektif siasah negara ini pada kedudukan yang benar; realistik. Di alam Melayu ini, apa-apa sahaja - isu kecil atau besar - yang mencetuskan kegelisahan orang Melayu akan memberi kesan secara langsung kepada negara ini. Ramai yang melupakan - sengaja mahu pun tidak sengaja - sejarah silam negara ini yang mengharapkan kepada keharmonian dan keselesaan alam Melayu dengan melihat kepada kedudukan dan keselamatan orang-orang Melayu terlebih dahulu. Kepada bukan Melayu, hal ini kurang disenangi manakala kepada orang-orang Melayu, disenangi atau tidak, bukanlah isunya. Apabila persetujuan untuk merdeka diperolehi hasil daripada siri perundingan yang melibatkan orang Melayu serta wakil bukan Melayu dengan pihak Inggeris di London, kedudukan dan status alam Melayu menjadi teras kepada penubuhan Tanah Melayu yang merdeka dan berkerajaan sendiri. Mungkin ramai antara mereka yang terlupa akan kisah-kisah silam yang berlatarbelakangkan Larut (Taiping), tragedi Rasah, Lukut dan Sg Ujung (Negeri Sembilan/Melaka) Kuala Lumpur dan banyak lagi (atau mungkin kerana kisah-kisah itu hanya melibatkan pembesar-pembesar Melayu dan etnik Cina sahaja, maka mereka mengambil pendirian dan pelajaran yang sangat bermanfaat untuk kesejahteraan masa hadapan masing-masing manakala Hindraf pula belum masak dengan pengalaman buruk yang tidak menguntungkan itu, lalu cuba-cuba bermain api untuk meraih sedikit sedikit kenikmatan yang belum pun mereka nampak segi-segi buruknya?)
Formula 'memberi dan menerima' yang dipersetujui oleh pemimpin-pemimpin terdahulu yang terdiri daripada perwakilan semua etnik utama di Tanah Melayu ini mungkin sengaja cuba dilupakan untuk memberi laluan kepada 'persetujuan' bentuk baru oleh pihak-pihak yang lupa diri itu. Mereka lupa betapa semua kesenangan dan keselesaan yang mereka kecapi itu sebenarnya akan dimusnahkan dengan mudah oleh sikap tamak dan rakus kepada sedikit nikmat tambahan yang mereka gila-gilakan.
Sekarang, hanya keazaman politik yang kuat sahaja yang berupaya menyedarkan mereka. Soalnya, ramaikah yang berkeazaman sekuat yang diharapkan itu?

Saturday, December 22, 2007

Pengorbanan












Pengorbanan tidak semestinya datang dalam bentuk yang melibatkan nyawa, sebagaimana lembu ini dikorbankan oleh kami sewaktu sambutan aidiladha di Alor Pongsu pada 20 Disember lalu. Simbolik kepada tumbangnya lembu ini, disela-sela laungan takbir, menandai kesyukuran dan kerendahan diri manusia-manusia - kerdil dan hamba - kepada Pencipta. Habuannya - dalam bentuk daging dan tulang-temulangnya - diagih-agihkan untuk dikecapi seramai mungkin. Pengorbanan menjadikan manusia menginsafi betapa besar mana sekali pun nama dan segagah mana tubuh fizikal akan dipudari oleh kelemahan manusia sendiri yang selama ini disembunyikan di balik keakuan. Tatkala tubuh meresah oleh sapaan pelbagai penyakit - ringan dan berat, apabila jiwa dan rasa menggelombang oleh ketakutan daripada kemungkinan mati secara beransur-ansur atau pun tiba-tiba, pengorbanan dengan sendirinya menyingkap kesombongan dan ketakburan manusia yang selama ini tidak disedari sama sekali. Kealpaan menjadikan manusia lena, kebesaran dan kemasyhuran menutup minda insaniah yang melupai ehsan dan hemah.
Lalu, "Nikmat yang mana satukah daripada TuhanMu yang engkau dustakan?"

Tuesday, December 18, 2007

Jauh

Sewaktu Rani menelefon awal-awal pagi tadi, saya sedang memandu. Tentunya dia faham kenapa saya tidak menjawab. Kini saya sedang menikmati harum kopi vanilla di salah satu perhentian di lebuhraya Utara-Selatan. Mungkin saya akan luangkan masa untuk singgah di 'sana' nanti dan barangkali berpeluang berbual-bual dan berbincang mengenai hal yang dikatakannya itu semalam.
Akhbar menyiarkan berita mengenai keprihatinan kerajaan terhadap 31 orang tertuduh yang didakwa cuba membunuh anggota keselamatan sewaktu perhimpunan HINDRAF baru-baru ini. Lalu dakwaan ditarik balik dan mereka pun dilepaskan. Kerajaan yang penyayang. Mungkin Hindraf akan sebak dengan keprihatinan kerajaan itu. Alam Melayu memang baik dan bersifat mengampun dengan mudah. Tanya Swettenham, Winstedt atau Shellabeaar. Tetapi jangan sesekali menanyakan hal yang sama kepada Munshi Abdullah.
Saya perlu menghabiskan kopi beraroma ini dan meneruskan perjalanan. Lembu sedang menunggu di kampung halaman.

Monday, December 17, 2007

Rangkuman

1
KLIB - Kuala Lumpur International Batik Convention & Exhibition 2007 sudah berakhir. Ada beberapa catatan penting: (i) Orang luar - maksudnya warganegara asing - lebih berminat mendalami segala-galanya mengenai batik sedangkan orang tempatan terhad kepada segolongan kecil sahaja, itu pun yang berkepentingan misalnya industrialis dan pereka fesyen; (ii) Batik semakin terbuka kepada interpretasi yang kelihatannya memberi impak kepada pengantarabangsaan, ertinya, batik kini diinterpretasi oleh sesiapa sahaja dan boleh bertukar dominasinya oleh sesiapa pun, dan tentu sahaja bukan milik Indonesia, atau orang-orang pantai timur semata-mata. Batik adalah corak, rekabentuk; (iii) Bertemu Heidi, gadis yang juga jurnalis berusia 23 tahun berketurunan Jerman, warganegara Kanada, bertugas di India. Setelah menghabiskan masa selama kira-kira 3 hari bersama beliau, perbualan kami - terutamanya dalam perjalanan jauh dari Shah Alam, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Melaka dan kemudian dia berlepas ke Pulau Pinang - menunjukkan kemungkinan beliau masih berusaha mengumpul banyak maklumat mengenai segala aspek negara Malaysia ini.
2
Program bualan di Astro Awani - di sela-sela KLIB - bersama Datuk Nik menemukan kami dengan beberapa personaliti yang berkaitan dengan topik bualan, kebanyakannya yang kritis mengenai ECER. Kamarul Baharin - perantara - agak bijaksana meneutral situasi.
3
Minggu pertama Disember. Sebaik sahaja melangkah masuk ke kamar hotel (Trader's) yang disediakan oleh penganjur untuk 5 hari, ada kek hari lahir di meja (baiknya hati pengurusan hotel?). Bertemu rakan-rakan penulis di KLCC. Antara topik yang dibincangkan termasuklah 'Bila penulis tidak mengarang'. Maksudnya? Banyak penulis yang hanya menulis, tetapi tidak mengarang. Maksudnya lagi? Ertinya, ada semacam aliran yang merimaskan dalam gelombang penulisan dan pengarangan tempatan bila penulis hanya menulis mengenai kebaikan diri sendiri, tanpa silu, tanpa rasa salah. Budaya keindividuan ini kian ramai pengikutnya kerana pengaruh hedonisme, cintakan dunia berlebih-lebihan dan gilakan kemasyhuran yang sangat nipis batasnya.
4
Selamat Hari Raya Idiladha. Ada pengorbanan yang perlu dikorbankan.