Monday, July 02, 2007

Usaha

Feature article di Mingguan Malaysia semalam sangat menarik: mengenai seorang saintis/doktor yang menumpukan penyelidikan dan inovasi berpaksikan gamat. Dia melihat dan melaksanakan sesuatu secara bersendirian, berterusan dan tidak mengutamakan publisiti untuk kemasyhuran diri dan tidak pula mendorong-dorong untuk mendapat pengiktirafan daripada orang-orang lain.

Orang yang berasa berat untuk berusaha sendiri melihat kelebihan orang lain sebagai peluang untuk diri mereka sendiri. Atas kebijaksanaan memanipulasi, kelebihan orang lain akan menjadi modal untuk mereka cuba mencapai apa yang mereka tersalah sangka sebagai kejayaan. Ini kerana antara lainnya, mereka terkeliru oleh takrifan mereka sendiri mengenai makna ”kejayaan”. Kejayaan tidak semestinya dilihat hanya pada hasil. Sebaliknya, dalam banyak keadaan, kejayaan lebih berkaitan dengan usaha-usaha yang dicetuskan dalam perjalanan menuju kepada matlamat. Dengan kata lain, tentu ada yang pernah terfikir betapa kemungkinan ada orang lain yang mengalami kesusahan dan kepayahan semata-mata kerana dia terlalu memikirkan kepentingan diri sendiri lantaran kekeliruannya menganggap hasil akhir perjalanan dan usaha tersebut sebagai ”kejayaan”.

Dikelirukan oleh hal itu, maka ada yang terus bergantung kepada orang lain, dan menyalahkan unsur-unsur serta orang-orang lain sekiranya perasaan tidak tenang. Ada kata-kata falsafah yang berbunyi,

”Orang yang malas berusaha itu berasa gagah hanya apabila mereka memiliki kekayaan dan kuasa sementara. Apabila mereka tidak punya apa-apa, di situlah kita akan melihat diri mereka yang sebenarnya.”

Orang-orang yang berjaya adalah mereka yang tidak punya apa-apa, tetapi berhasil menjadikan sesuatu atas daya usaha sendiri. Inilah kelebihan sebenar orang yang sentiasa berusaha melakukan kemanfaatan. Dan kemanfaatan itu tidak dikecapi sendirian, malah dilimpahkan kepada orang-orang lain juga menurut kadar tertentu.