Thursday, July 19, 2007
Asal Berkomunikasi
Hizar, memang tidak semua universiti (awam) menggunakan bahasa Inggeris sebagai medium pengajaran. Setahu saya, UiTM dan UIA adalah dua universiti yang menggunakan bahasa tersebut di kebanyakan fakulti. Saya setuju dengan pandangan Hizar bahawa di universiti ini juga (1)tidak semua pensyarah menggunakan bahasa tersebut semasa mengajar (walaupun Hizar mengatakan 'sedangkan penerbitan mereka banyak di dalam bahasa Inggeris!'), antaranya atas alasan mereka tidak menguasai bahasa tersebut secara lisan mahu pun menulis; dan (2)tidak semua pelajar menguasai bahasa tersebut atas banyak alasan. Soal berbahasa ini tidak berkaitan langsung dengan status atau taraf pensyarah sama ada pensyarah baru, profesor mahu pun tidak kerana amalan kenaikan pangkat tidak memberikan perhatian khusus dan nyata kepada kemahiran berbahasa Inggeris berbanding dengan penerbitan yang kelihatannya sangat 'menghormati' bahasa tersebut. Oleh itu, jika Hizar mengatakan ketidakupayaan pensyarah mengendalikan kelas mereka kerana 'lemah' atau 'tidak mampu langsung' berbahasa Inggeris hanya akan memalukan pensyarah berkenaan sendiri, saya fikir merupakan suatu hal yang perseptif sahaja.