Wednesday, July 25, 2007

Etika Orang Politik & Kepemimpinan

Dalam bidang kepemimpinan, mereka yang pernah mendalaminya pasti setidak-tidaknya tahu bahawa bukan semua yang dilihat sebagai 'Ketua' boleh memainkan peranan sebagai 'pemimpin'. Bukan semua jawatan dan kedudukan yang kelihatannya sama ada seperti panggilan-panggilan 'Pengurus', 'Ketua Bahagian/Jabatan', 'Pengerusi', Presiden', 'Imam', 'Bilal', 'Penghulu' dan 'Yang Dipertua' boleh disifatkan sebagai 'Pemimpin' sekali lipat.

Tatkala panggilan, gelaran atau nama boleh menambah kehebatan kepada rupa atau sifat luaran, kepemimpinan hanyalah dapat diserlahkan apabila rupa luaran itu dapat diterjemah dengan berkesan melalui tindakan yang hanya boleh dinilai dan diakui oleh orang-orang lain yang bersetuju untuk mengesahkan bahawa mereka adalah pengikut.

Satu daripada sifat luaran kepemimpinan unggul adalah keupayaan seseorang yang telah diberi kepercayaan dan tanggungjawab khusus itu untuk menawarkan jawaban dan cadangan penyelesaian kepada pertanyaan para pengikut. Tugas dan tanggungjawab pemimpin adalah untuk meredakan dan menyenangkan emosi dan perasaan pengikut, bukannya menyelesaikan kemelut perasaan pemimpin itu sendiri.

Oleh itu, apabila timbul isu-isu besar dan nasional seperti nepotisme dan rasuah, maka menjadi tugas pemimpin tertentu - atau yang berkaitan atau yang diminta pandangannya mengenai hal itu - menawarkan jawaban paling menasabah dan mampu meredakan ribut emosi pengikut serta rakyat. Jika menurut pandangan Islami, perkara-perkara yang patut ditangguh sekurang-kurangnya tiga hari adalah dalam soal-soal membuat keputusan, dan bukannya soal menawarkan cadangan penyelesaian.

Jadi, apabila melihat kepada reaksi sesetengah pemimpin politik yang hanya mengatakan 'no comment' atau 'tidak mahu komen' misalnya apabila diminta mengulas isu nepotisme dan rasuah, hanya mencerminkan kecetekan personaliti atau perwatakan serta keupayaan intelek pemimpin tersebut di mata pengikut.

Selainnya, 'no comment'!

>>> Petikan hari ini


"Tindakan yang zahirnya baik belum cukup untuk mengesahkan niat yang sama murni, malah kadang-kalanya bisa mengundang fitnah."