Apabila saudara yang seorang ini menanyakan mengenai akal (kerana judul blog ini 'akal budi') petang kelmarin, rupa-rupanya ada banyak perkara yang bersarang di fikirannya. Namun setelah disuakan suatu catatan ringkas yang kebetulan memang ada di dalam buku catatan yang dibawa ke mana-mana itu kepadanya, dia seakan-akan bersetuju, atau setidak-tidaknya sedikit lega.
Ada tiga perkara berkaitan 'intisari akal', iaitu:
1. Memaafkan kesalahan manusia terhadap dirinya;
2. Merendahkan diri kepada manusia;
3, Berfikir dahulu sebelum menjawab atau memulakan percakapan.
Manakala ada tiga perkara juga yang berkaitan dengan kejahilan akal, iaitu:
1. Suka bercakap besar di hadapan orang lain;
2, Suka bercakap perkara-perkara yang tidak memberi faedah;
3. Memalukan orang lain dalam sesuatu perkara (pekerjaan) sedangkan dia sendiri turut melakukannya.
Mutiara-mutiara yang berharga ada di mana-mana, antaranya:
1. Yang lebih berat daripada langit - menuduh orang yang tidak berdosa;
2. Yang lebih luas daripada bumi - perkataan yang benar;
3. Yang lebih kaya daripada laut - ilmu;
4. Yang lebih panas daripada api - perkataan kesat;
5. Yang lebih sejuk daripada air - suka bercakap bakhil; dan
6. Yang lebih pahit dan sakit daripada racun - sabar.
Salam sejahtera.