Monday, September 25, 2006

Akal Budi 28 - Lee Kuan Yew

Khusus menjawab soalan Hilmi. Sepanjang minggu, isu kenyataan Lee Kuan Yew, "Menteri Mentor" Singapura menjadi topik perbualan dan penulisan ramai orang. Motif sebenar Kuan Yew tidaklah dapat dipastikan. Ada sarjana - seperti kata salah seorang daripada guru saya, yang juga merupakan profesor sejarah terkemuka, sewaktu kami sempat berbual sambil bersarapan pada Jumaat 22 September lepas - yang berpandangan bahawa Kuan Yew hanya cuba mengalih perhatian awam kerana pada masa yang sama Singapura dimalukan oleh kejadian kudeta di Thailand ekoran penglibatan langsung Temasek Holding (diusahakan oleh saudara terdekatnya) dengan Thaksin. Ada juga yang berasa bahawa Kuan Yew menduga kepemimpinan Pak Lah dengan sengaja berbuat demikian kerana Kuan Yew mungkin yakin bahawa kerajaan Malaysia akan terus menunduk kepada Republik itu.
Mungkin setelah agak lama, sejak ketiadaan Tun Mahathir, Kuan Yew merindukan asakan-asakan politik daripada Malaysia. Tidak hairan itu motif sebenarnya kerana sejak semua pemimpin Malaysia yang sangat ditakuti Kuan Yew - dalam rupa-rupa Tun Razak, Syed Jaafar Albar dan Mahathir Mohamad - tiada dalam senario kepemimpinan utama Malaysia, republik itu ternyata semakin berasa gagah dan yakin dengan keupayaan mereka. Cakap-cakap politik pemimpin negara itu juga sangat menyerupai cakap-cakap kerajaan yahudi Israel mengenai kekuatan dalaman dan luaran negara mereka.