Kali ini, mengenai falsafah dan pembangunan, khusus untuk mengulas reaksi Raziah.
Seminggu ini Dr Nordin Kardi (VC UUM) bercakap (menulis) mengenai pembangunan dalam konteks kefalsafahan. Contoh-contoh khusus yang beliau gunakan - seperti Harvard & Bok - memberi gambaran mengenai Khatami di mata Barat dan bukan Islam. Isu pembangunan tidak akan berkesudahan kerana satu daripada sifat manusia - ada disebut terang-terang dalam Al-Qur'an - adalah keluh-kesah dan berorientasikan masalah. Manusia mencari-cari masalah kerana mereka sentiasa melihat diri dipenuhi masalah. Manusia mencari-cari peluang untuk menghuraikan masalah dan kemudain bersuka-suka pula menceritakan masalah kepada orang lain. Lihat, ada banyak blog bersifat sedemikian pada hari ini. Mereka menggunakan peluang memainkan perasaan dengan isu-isu yang kegersangan tujuan dan ketenggelaman punca. Seperti konsep sahabat, penulis-penulis blog yang murni tidak menceritakan masalah peribadi kepada sahabat yang lain, apatah lagi untuk paparan umum. Ini antara rukun. Pokoknya, mereka tidak mendalami kefalsafahan sebenar mengenai duduk suatu perkara. Tidak menghairankan, ramai juga yang meminati aliran sebegini dan kemudian hanyut dalam bawaan perasaan palsu yang menyongsong dari arus murni pembangunan. Dalam pembangunan, istilah 'anomie' kemudiannya dicipta untuk merujuk kepada individu yang hanyut dan sesat dalam kefalsafahan pembangunan sebenar.