Panglima tentera Thailand, General Sonthi, akhirnya melangsungkan juga tradisi yang sudah hampir 15 tahun dilupakan oleh rakyat negara itu, iaitu melancarkan kudeta (atau coup 'd etat), yakni rampasan kuasa tentera. Difahamkan rampasan kuasa itu dilancarkan kerana tentera - yang memang tidak berbelah bagi taat setia mereka kepada raja - amat bimbang dengan kegelisahan raja mengenai kegagalan Perdana Menteri, Thaksin, menyatupadukan rakyat, khususnya dalam kes Selatan Thailand, terbaru di Tak Bai. Rampasan kuasa tentera bukanlah sesuatu yang asing di Thailand. Namun bagi negara-negara jirannya, hal tersebut amat dikhuatiri antara lainnya biasanya kerana kemungkinan tercetusnya isu pelarian secara besar-besaran rakyat ke negara terdekat. Namun, dalam hal di Thailand itu, isu itu tidak berlaku kerana Panglima Sonthi dipercayai bukan sahaja oleh Raja, malah oleh sebahagian besar rakyat, termasuk etnik Melayu-Siam-Islam di bahagian Selatan negara itu. Agak jelas juga, ada masanya, rampasan kuasa tentera dilihat sebagai penyelamat kepada rakyat, terutamanya yang telah lama menderita dan berdukacita angkara pucuk pimpinan tertinggi. Ini juga boleh dianggap sebagai kuasa suara rakyat. Wajar juga diingat bahawa Penglima Sonthi -lah orangnya yang dipertanggungjawab untuk mewujudkan keselamatan di wilayah Selatan yang bergolak dahulu.