Monday, September 04, 2006

Akal Budi 20 - Bacaan Akademik

Kelmarin Shahid menyoal sama ada bahan bacaan ilmiah kita mencukupi. Ditanyakannya juga mengenai sama ada bahan-bahan bacaan itu dibaca oleh orang ramai. Saya tidak mempunyai jawaban yang pasti kerana tidak mempunyai maklumat langsung yang tepat mengenai soalan itu. Apa yang saya tahu, berdasarkan percakapan saya dengan pelajar dan sedikit-sedikit kawan-kawan akademik di mana-mana, bahan-bahan bacaan berunsurkan ilmiah tidak mendapat perhatian yang baik daripada khalayak pembaca. Ini termasuklah blog-blog yang berunsurkan ilmiah. Sebaliknya lebih ramai yang memilih untuk membaca dan memberi maklumbalas kepada blog-blog yang bersifat peribadi, yang menceritakan hal-hal diri sendiri serta rakan-rakan sendiri.

Selain itu, blog-blog yang turut mendapat perhatian ramai adalah blog yang memaparkan isu-isu politik semasa, seperti kewibawaan Perdana Menteri dan Kabinet. Banyak soal-jawab berlaku di blog seumpama itu sehingga membimbangkan Kerajaan kerana dikhuatiri menyebarkan fitnah. Jika di Amerika Syarikat, keadaannya lebih dahsyat. Bukan sahaja blog yang menjadi platform, malah buku-buku bercetak juga secara terang-terangan dan berani ditulis secara terbuka begitu sahaja. Sebagai contoh, baca misalnya buku "The Professors: The 101 Most Dangerous Academics in America" tulisan David Horowitz (2006).

Apapun, saya fikir, kata-kata Saidina Ali mungkin wajar direnung lama-lama:

“Ask in order to understand, and do not ask in order to find fault, for surely the ignorant man who wants to learn resembles a man of knowledge, and surely a man of knowledge who wants to be difficult resembles an ignorant man who wants to find fault.” (Hazrat Ali bin Abu Talib)