Thursday, September 28, 2006

Akal Budi 31 - Samuel P. Huntington

Membaca pemikiran Huntington (Samuel P.) yang diwawancarai Islamica keluaran terbaru mungkin boleh menyerlahkan isu sebenar yang didepani oleh umat Islam dan dilema yang ditanggung oleh Barat. Sekadar menyebut semula, Huntington-lah sarjana yang mengungkapkan tidak berapa lama dahulu betapa kemelut sebenar yang berlaku di dunia ini adalah yang melibatkan pertelagahan atau pertembungan antara peradaban. Beliau khusus merujuk Islam sebagai peradaban yang dimaksudkan itu. Sangat menarik.
Pada waktu yang sama, intisari kuliah yang disampaikan Anwar Ibrahim juga dimuatkan sebagai bahan muka depan Islamica. Isu yang diangkatnya adalah mengenai "akauntabiliti". Pun menarik.

Akal Budi 30 - Sejarah Pulau Pinang

Beberapa hari ini, isu sejarah awal pembukaan Pulau Pinang semakin menarik perhatian. Sebagaimana didakwa oleh Dr. Ahmad Murad Merican, ada kemungkinan besar - malah hampir-hampir tentu - Pulau Pinang sudah diduduki dan ditadbir paling tidak 40 tahun lebih awal daripada apa yang direkodkan oleh Sejarah Tanah Melayu. Itu mengambil kira peranan dan kedudukan Francis Light. Kemungkinan itu sentiasa ada, lebih-lebih lagi memikirkan Francis Light - atau British - memperoleh pulau itu daripada Sultan Melayu sendiri. Jadi, sekiranya benar, rakyat negara ini tentunya berkemungkinan menyaksikan sedikit pindaan yang akan berlaku kepada sejarah negara ini. Lebih-lebih lagi apabila memikirkan bahawa sehingga minggu ini ada dikemukakan bukti dalam bentuk nesan Dato' Jannaton yang ditemui di belakang Universiti Sains Malaysia. Mungkin akan ada reaksi lanjut daripada Prof. Khoo Kay Kim mengenai hal ini.

Tuesday, September 26, 2006

Akal Budi 29 - Singa Pura

Saya baca tulisan Dr. Nordin Kardi (VC UM) yang kini sedang berkursus di Universiti Harvard, Amerika Syarikat. Antara lain, beliau bercakap mengenai Singapura dan Rusia. Beliau menyentuh juga soal antara republik Singapura yang autokratik dan negara Rusia yang demokratik. Singapura sentiasa meberatkan soal rakyatnya sebagai modal terpenting yang membangunkan negara itu. Dari satu segi, ini memberikan pemimpin-pemimpin tertinggi negara tersebut alasan yang kemudiannya sangat dipercayakan oleh rakyat negara itu, bahawa Singapura adalah model negara yang dipimpin dengan cara terbaik oleh pemimpin-pemimpin negara itu. Setelah rakyat negara itu digula-gulakan oleh Lee Kuan Yew dengan segala macam keperitan dan kepayahan, yang tujuannya adalah untuk terus menabur benih-benih ketakutan, maka tidak hairanlah kalau sebahagian rakyat negara itu terus percaya Singapura adalah negara demokratik.

Monday, September 25, 2006

Akal Budi 28 - Lee Kuan Yew

Khusus menjawab soalan Hilmi. Sepanjang minggu, isu kenyataan Lee Kuan Yew, "Menteri Mentor" Singapura menjadi topik perbualan dan penulisan ramai orang. Motif sebenar Kuan Yew tidaklah dapat dipastikan. Ada sarjana - seperti kata salah seorang daripada guru saya, yang juga merupakan profesor sejarah terkemuka, sewaktu kami sempat berbual sambil bersarapan pada Jumaat 22 September lepas - yang berpandangan bahawa Kuan Yew hanya cuba mengalih perhatian awam kerana pada masa yang sama Singapura dimalukan oleh kejadian kudeta di Thailand ekoran penglibatan langsung Temasek Holding (diusahakan oleh saudara terdekatnya) dengan Thaksin. Ada juga yang berasa bahawa Kuan Yew menduga kepemimpinan Pak Lah dengan sengaja berbuat demikian kerana Kuan Yew mungkin yakin bahawa kerajaan Malaysia akan terus menunduk kepada Republik itu.
Mungkin setelah agak lama, sejak ketiadaan Tun Mahathir, Kuan Yew merindukan asakan-asakan politik daripada Malaysia. Tidak hairan itu motif sebenarnya kerana sejak semua pemimpin Malaysia yang sangat ditakuti Kuan Yew - dalam rupa-rupa Tun Razak, Syed Jaafar Albar dan Mahathir Mohamad - tiada dalam senario kepemimpinan utama Malaysia, republik itu ternyata semakin berasa gagah dan yakin dengan keupayaan mereka. Cakap-cakap politik pemimpin negara itu juga sangat menyerupai cakap-cakap kerajaan yahudi Israel mengenai kekuatan dalaman dan luaran negara mereka.

Thursday, September 21, 2006

Akal Budi 27 - Mengenai Kudeta (coup d 'etat)

Panglima tentera Thailand, General Sonthi, akhirnya melangsungkan juga tradisi yang sudah hampir 15 tahun dilupakan oleh rakyat negara itu, iaitu melancarkan kudeta (atau coup 'd etat), yakni rampasan kuasa tentera. Difahamkan rampasan kuasa itu dilancarkan kerana tentera - yang memang tidak berbelah bagi taat setia mereka kepada raja - amat bimbang dengan kegelisahan raja mengenai kegagalan Perdana Menteri, Thaksin, menyatupadukan rakyat, khususnya dalam kes Selatan Thailand, terbaru di Tak Bai. Rampasan kuasa tentera bukanlah sesuatu yang asing di Thailand. Namun bagi negara-negara jirannya, hal tersebut amat dikhuatiri antara lainnya biasanya kerana kemungkinan tercetusnya isu pelarian secara besar-besaran rakyat ke negara terdekat. Namun, dalam hal di Thailand itu, isu itu tidak berlaku kerana Panglima Sonthi dipercayai bukan sahaja oleh Raja, malah oleh sebahagian besar rakyat, termasuk etnik Melayu-Siam-Islam di bahagian Selatan negara itu. Agak jelas juga, ada masanya, rampasan kuasa tentera dilihat sebagai penyelamat kepada rakyat, terutamanya yang telah lama menderita dan berdukacita angkara pucuk pimpinan tertinggi. Ini juga boleh dianggap sebagai kuasa suara rakyat. Wajar juga diingat bahawa Penglima Sonthi -lah orangnya yang dipertanggungjawab untuk mewujudkan keselamatan di wilayah Selatan yang bergolak dahulu.

Monday, September 18, 2006

Akal Budi 26 - Kedurjanaan G.W. Bush

Khusus menjawab soalan Rozihan.

Kedurjanaan Presiden atau Perdana Menteri atau apa-apapun gelaran jawatan Ketua Pegawai Tadbir sesebuah negara telah diketahui dengan cukup banyak. Terbaru, mengenai Bush selama beliau berkuasa. Dalam bahan bacaan premiership studies saya juga ada menyenaraikan pandangan Amerika Syarikat mengenai peranan Presiden negara tersebut. Untuk lebih mengenali perwatakan Presiden, sila cari peluang untuk menyaksikan sendiri 'Fahrenheit 9/11' filem dokumentari arahan Moore. Saya fikir, ini adalah filem dokumentari politik terbaik yang menyingkap kedurjanaan seorang presiden. Dalam pada itu, sila lihat posting terkini di blog http://nasrudinuitm.blogspot.com/ untuk maklumat mengenai peranan dan kedudukan seorang perdana menteri. Ini berkaitan kenyataan media Perdana Menteri bahawa beliau 'tidak hilang kawalan'.

Akal Budi 25 - Hanyut & Anomy

Kali ini, mengenai falsafah dan pembangunan, khusus untuk mengulas reaksi Raziah.
Seminggu ini Dr Nordin Kardi (VC UUM) bercakap (menulis) mengenai pembangunan dalam konteks kefalsafahan. Contoh-contoh khusus yang beliau gunakan - seperti Harvard & Bok - memberi gambaran mengenai Khatami di mata Barat dan bukan Islam. Isu pembangunan tidak akan berkesudahan kerana satu daripada sifat manusia - ada disebut terang-terang dalam Al-Qur'an - adalah keluh-kesah dan berorientasikan masalah. Manusia mencari-cari masalah kerana mereka sentiasa melihat diri dipenuhi masalah. Manusia mencari-cari peluang untuk menghuraikan masalah dan kemudain bersuka-suka pula menceritakan masalah kepada orang lain. Lihat, ada banyak blog bersifat sedemikian pada hari ini. Mereka menggunakan peluang memainkan perasaan dengan isu-isu yang kegersangan tujuan dan ketenggelaman punca. Seperti konsep sahabat, penulis-penulis blog yang murni tidak menceritakan masalah peribadi kepada sahabat yang lain, apatah lagi untuk paparan umum. Ini antara rukun. Pokoknya, mereka tidak mendalami kefalsafahan sebenar mengenai duduk suatu perkara. Tidak menghairankan, ramai juga yang meminati aliran sebegini dan kemudian hanyut dalam bawaan perasaan palsu yang menyongsong dari arus murni pembangunan. Dalam pembangunan, istilah 'anomie' kemudiannya dicipta untuk merujuk kepada individu yang hanyut dan sesat dalam kefalsafahan pembangunan sebenar.

Wednesday, September 13, 2006

Akal Budi 24 - Realiti Politik

"Anonymous" mengirimkan soalan dan pandangannya kepada saya, bertanyakan pendapat saya mengenai kekalahan YAB Tun Dr Mahathir Mohamad di Kubang Pasu.

Pandangan saya jelas dan mudah: Ada kekeliruan - sama ada dirancang atau tidak - di kalangan ahli-ahli politik Bahagian Kubang Pasu mengenai konsep kepemimpinan. Kekeliruan itu sama ada dari segi mengutamakan hutang budi ataupun mengharapkan keuntungan yang lebih lagi daripada kuasa politik. Tidak mengira apapun alasannya, apa yang jelas, mereka - ahli-ahli politik Kubang Pasu - lebih memalukan diri mereka dan bahagian Kubang Pasu sendiri dalam hal tersebut. Saya tidak pasti berapa lamakah akibat malu itu - dalam bentuk parut dan trauma menyingkirkan Tun - akan ditanggung oleh mereka dan nama "Kubang Pasu". Nampaknya penyakit sumpahan 7 keturunan Langkawi yang dibebaskan oleh Tun akan dideritai oleh Bahagian Kubang Pasu.

Monday, September 11, 2006

Akal Budi 23 - Shah Alam banjir lagi & Bahasa Politik

Sabtu lalu, 9 September 2006, kejadian banjir berlaku lagi di kawasan Shah Alam. Kampung Kebun Bunga, lebuhraya berdekatan Batu Tiga dan beberapa kawasan termasuk sebahagian TTDI Jaya ditenggelami air. Pada 26 Februari 2006 lalu - kira-kira 7 bulan lepas - banjir besar sudahpun melanda Shah Alam. Kawasan-kawasan tersebut mengalami kemusnahan teruk dari segi material dan moral. Lalu ketika itu Menteri Besar Selangor memberi kata dua, kurang lebih, "Hendak pampasan atau projek pembangunan untuk mengelakkan banjir?" kepada penduduk, khususnya penduduk TTDI Jaya. lalu, penduduk-penduduk TTDI Jaya berasa amat jauh hati dengan kenyataan tersebut dan mengambil pendirian untuk tidak mengadu hal kepada Menteri Besar lagi. Penjelasannya tentu tetap sama: "Ini adalah kuasa Allah swt kerana hujan lebat yang diturunkan menyebabkan sungai tidak mampu menampung kuantiti air."
Berbanding negeri-negeri lain, yang masih belum maju, nampaknya Selangor kerap diduga dengan kuasa Allah swt.

Thursday, September 07, 2006

Akal Budi 22 - Mengenai Kuasa & budibicara

Perbezaan pandangan antara pihak Polis Di Raja Malaysia dengan jemaah menteri - yang dicetuskan oleh Menteri Pengangkutan - mengenai pengurangan kadar kompaun kesalahan lalulintas dilaporkan oleh akhbar sebagai berkaitan soal-soal bidang kuasa dalam sistem pentadbiran negara ini. Di pihak polis, pandangan Menteri Pengangkutan, yang dirujuk sebagai 'bukan Menteri berkaitan urusan kepolisan' disifatkan janggal kerana soal kuasa dan budibicara selama ini sudah menjadi tradisi dalam operasi pentadbiran pihak penguatkuasa undang-undang dan peraturan. Di pihak menteri pula, keputusan itu dikatakan tidak membantu negara dalam menangani kejadian kemalangan jalanraya yang semakin membimbangkan.

Monday, September 04, 2006

Akal Budi 21 - Reaksi & Pandangan

Ini makluman untuk Rohaya. Beberapa reaksi dan pandangan mengenai isu-isu tertentu.

1. Reaksi terhadap sistem penyampaian awam.
2. Lagi reaksi terhadap penyampaian khidmat awam.

3. Reaksi terhadap kenyataan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri mengenai moral.
4. Reaksi terhadap pentadbiran pembangunan di Negeri Selangor.

5. Pandangan mengenai salah laku remaja.

6. Pandangan mengenai globalisasi.

Akal Budi 20 - Bacaan Akademik

Kelmarin Shahid menyoal sama ada bahan bacaan ilmiah kita mencukupi. Ditanyakannya juga mengenai sama ada bahan-bahan bacaan itu dibaca oleh orang ramai. Saya tidak mempunyai jawaban yang pasti kerana tidak mempunyai maklumat langsung yang tepat mengenai soalan itu. Apa yang saya tahu, berdasarkan percakapan saya dengan pelajar dan sedikit-sedikit kawan-kawan akademik di mana-mana, bahan-bahan bacaan berunsurkan ilmiah tidak mendapat perhatian yang baik daripada khalayak pembaca. Ini termasuklah blog-blog yang berunsurkan ilmiah. Sebaliknya lebih ramai yang memilih untuk membaca dan memberi maklumbalas kepada blog-blog yang bersifat peribadi, yang menceritakan hal-hal diri sendiri serta rakan-rakan sendiri.

Selain itu, blog-blog yang turut mendapat perhatian ramai adalah blog yang memaparkan isu-isu politik semasa, seperti kewibawaan Perdana Menteri dan Kabinet. Banyak soal-jawab berlaku di blog seumpama itu sehingga membimbangkan Kerajaan kerana dikhuatiri menyebarkan fitnah. Jika di Amerika Syarikat, keadaannya lebih dahsyat. Bukan sahaja blog yang menjadi platform, malah buku-buku bercetak juga secara terang-terangan dan berani ditulis secara terbuka begitu sahaja. Sebagai contoh, baca misalnya buku "The Professors: The 101 Most Dangerous Academics in America" tulisan David Horowitz (2006).

Apapun, saya fikir, kata-kata Saidina Ali mungkin wajar direnung lama-lama:

“Ask in order to understand, and do not ask in order to find fault, for surely the ignorant man who wants to learn resembles a man of knowledge, and surely a man of knowledge who wants to be difficult resembles an ignorant man who wants to find fault.” (Hazrat Ali bin Abu Talib)

Friday, September 01, 2006

Akal Budi 19 - Sejarah

Saya baca pandangan Dato' Prof. Khoo Kay Kim pada pagi ini: mengenai fakta sejarah. Beliau memberi reaksi kepada persoalan yang ditimbulkan oleh Lim Si Pin, Naib Ketua Pemuda Gerakan, yang mempersoal kenapa peranan Yap Ah Loy tidak ditekankan dalam Sejarah Malaysia.

Seperti biasa, Khoo Kay Kim cukup konsisten dengan pandangan beliau mengenai sejarah, sekaligus memberikan beliau kelebihan dari segi kewajaran dan ketokohan memberi pandangan yang sarat dengan maklumat. Sukar sekali untuk tidak menyetujui kebanyakan pandangan beliau.

Saya membuat kesimpulan: "Sejarah sentiasa menduga kebijaksanaan manusia membuat pertimbangan ".