Salam mewakili pelbagai maksud. Ada dalam bentuknya yang fizikal, seperti berjabat tangan. Ada juga dalam caranya yang lebih berbentuk mewakili perasaan, seperti berkirim salam, yang menunjukkan penyampaian ucapan yang dilahirkan daripada kalbu.
Anjung Akal Budi juga adalah satu bentuk 'salam'. Dari akar kata Arab, salam boleh menunjukkan 'aman, selamat atau sejahtera'. Anjung ini bermula sekarang ini, Ogos 2006. Tujuan Anjung ini diadakan adalah untuk memberi ruang kepada pembaca-pembaca yang berpotensi. Saya menjangkakan Anjung ini akan dikunjungi oleh para pelajar langsung saya pada masa kini, yang sekarang ini berada di bawah penyeliaan dan pengajaran saya di Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi, UiTM Shah Alam.
Anjung ini akan diisi dengan penyampaian isu-isu yang pelbagai, khususnya yang bersangkutan dengan kefalsafahan dan simbolisme mengenai kehidupan semasa. Justeru sifatnya yang tidak dibatasi oleh disiplin akademik yang ketat dan mencengkam, Anjung ini akan memaparkan antara lain soal-soal yang bertemakan psikologi, politik, falsafah, kebudayaan, kesenian, akademik, adat-istiadat dan seumpamanya.
Sekiranya pembaca mahukan soal yang lebih kepada jurusan adakemik, sila cuba lawati blog lain yang juga saya senggarakan setiap hari, klik sahaja di sini.
Salam.