Penghujung tahun ini tidak berapa lama lagi, universiti besar ini akan menyambut ulangtahun ke 50. Sehingga hari ini, rupa-rupanya sudah 10 Ketua Pentadbir datang dan pergi di universiti ini. Bagaimana agaknya rupa dan keadaan generasi kita?
Kukuh lagikah falsafah kemerdekaan kita? Sepertimana Ali Baki menjulang parangnya berseorangan tatkala menentang serangan komunis dalam peristiwa Bukit Kepong? Atau seperti Mat Indera yang payah ditundukkan penjajah melainkan anak bangsanya sendiri yang menggunakan tipu muslihat untuk menghabiskan riwayatnya melalui peluru perak? Atau seperti Tok Janggut yang digantung kakinya ke atas oleh penjajah di Kelantan? Atau seperti Tunku Abdul Rahman yang berkeras dan bertegas menundukkan Chin Peng dan Rashid Maidin ketika berunding di sekolah rendah di Baling?