Syafiah bertanyakan kepada saya pada hari itu, "Bolehkah kita menulis sesuka hati segala isihati dan perasaan kita?"
Saya menjawab, "Boleh. Namun kita mesti mempertanggungjawab atas segala yang kita tulis."
Menulis memang mudah. Apa lagi jika ianya berkaitan dengan diri kita sendiri. Mungkin kita berasa bahawa kita mempunyai autoriti yang tidak terbatas apabila mahu memperkata sesuatu mengenai diri kita sendiri, atau mengenai keluarga atau apa sahaja yang kita ingin orang lain tahu mengenai semuanya yang kita tuliskan itu.
Namun kepada soalan itu, saya sekadar menjawab, "Berhati-hatilah dengan perangkap keegoan tidak terkawal manusia. Dalam keadaan mereka yang disifatkan hampir sempurna kerana mereka adalah sebaik-baik kejadian Allah swt, manusia sering terlupa bahawa pandangan bukanlah hanya pada kedua-mata mata sahaja. Gunakanlah, sekiranya diizinkan Tuhan, mata hati yang jauh lebih memahami erti akal dan budi. Memang senang untuk hati berasa puas dan bebas apabila kita sudah meluahkan segala yang terbuku dan mendendam selama ini. Lalu kita hamburkan semahu kita apa sahaja yang dirasa wajar. Terlebih malang, kita selitkan segala unsur sindiran dan kata celaan secara sinikal di mana-mana semata-mata kerana kita mahu berpuas rasa dan nafsu.
Namun, sebelum lebih jauh kita berjalan dalam pemikiran kita sendiri, tanyakanlah soalan ini: "Apakah yang engkau akan lakukan sekiranya kelak terbukti apa yang engkau luahkan itu, yang selama ini engkau sangka dan yakin betul dan benar, tiba-tiba menjadi sebaliknya? Bagaimanakah engkau akan mempertanggungjawab segala yang engkau hamburkan itu melalui penulisan dapat diampunkan Allah swt akan perbuatan engkau yang cuma sia-sia dan tiada faedahnya untuk kesejahteraan manusia?"
Soalnya, janganlah terlalu percaya dan yakin dengan mata kerana mata yang celik tidak semestinya engkau akan melihat semua perkara; mulut yang manis tidak semestinya sentiasa membetulkan percakapan; tangan yang sihat dan cergas menulis tidak semestinya digerakkan oleh hati yang putih bersih. Maka bertanggungjawablah. Setiap apa yang Tuhan anugerahi ke atas engkau, akan ada sesuatu atau lebih yang diambilnya semula sebagai pertukaran yang adil dan wajar.