Thursday, August 31, 2006

Akal Budi 18 - Mengenai Kesamarataan

Hari ini saya membaca pandangan Tunku Abdul Aziz, bekas PresidenTransparency International Malaysia yang kini memainkan peranan besar - selaku penasihat - di bawah organisasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Saya agak pasti artikel beliau, mengenai perasaannya yang tidak keruan lantaran keadaan masyarakat bukan Bumiputera negara ini yang disifatkannya tidak menerima keistimewaan dan peluang yang sama rata sebagaimana yang diperolehi Bumiputera, ternyata menduga pemikiran.

Saya menanti reaksi ahli-ahli politik - atau mungkin Perdana Menteri sendiri - mengenai perasaan Tunku Abdul Aziz itu. (Nota: Sekarang ini beliau mengepalai kerja-kerja menasihat berkaitan "Ethics" di Pertubuhan besar yang berjiwa kerdil dan berkudrat sekelumit itu).

Wednesday, August 30, 2006

Akal Budi 17 - Catatan

Hari ini secara tidak sengaja tersinggah di suatu blog yang dirangkaikan oleh seseorang yang bernama "Ted Mansuh". Blog itu senggaraan Nisah Haron. Maaf, saya terfikir pada mulanya kenapa nama itu agak biasa apabila disebut. Rupa-rupanya dia novelis. Sangat terkenal dan prolifik. Melalui blog Nisah itu pula saya dirangkaikan pula ke suatu blog lain, jagaan Nazatulshima Nolan. Sebentar sahaja di situ, saya terbaca catatannya mengenai ulangtahun perkahwinan ibu dan ayahnya.

Saya terfikir sejenak. Namun cukup dalam.

Akal Budi 16 - Mengenai Karisme

Hari ini seseorang menanyakan kepada saya, "Kenapa "Pemimpin" itu berkarisme?" Disebutnya nama pemimpin yang dikatakannya berkarisme itu. Saya tidak boleh menyatakan nama itu di sini (menyampaikan sesuatu walaupun benar, ada darjat hukumnya).

Kepadanya saya sekadar menjawab, "Karisme itu ada banyak seginya. Mahu dilihat dari segi yang mana?"

Soal balas saya tidak dijawab. Dia tentunya memikir sesuatu.

Tuesday, August 29, 2006

Akal Budi 15 - Menulis

Syafiah bertanyakan kepada saya pada hari itu, "Bolehkah kita menulis sesuka hati segala isihati dan perasaan kita?"

Saya menjawab, "Boleh. Namun kita mesti mempertanggungjawab atas segala yang kita tulis."

Menulis memang mudah. Apa lagi jika ianya berkaitan dengan diri kita sendiri. Mungkin kita berasa bahawa kita mempunyai autoriti yang tidak terbatas apabila mahu memperkata sesuatu mengenai diri kita sendiri, atau mengenai keluarga atau apa sahaja yang kita ingin orang lain tahu mengenai semuanya yang kita tuliskan itu.

Namun kepada soalan itu, saya sekadar menjawab, "Berhati-hatilah dengan perangkap keegoan tidak terkawal manusia. Dalam keadaan mereka yang disifatkan hampir sempurna kerana mereka adalah sebaik-baik kejadian Allah swt, manusia sering terlupa bahawa pandangan bukanlah hanya pada kedua-mata mata sahaja. Gunakanlah, sekiranya diizinkan Tuhan, mata hati yang jauh lebih memahami erti akal dan budi. Memang senang untuk hati berasa puas dan bebas apabila kita sudah meluahkan segala yang terbuku dan mendendam selama ini. Lalu kita hamburkan semahu kita apa sahaja yang dirasa wajar. Terlebih malang, kita selitkan segala unsur sindiran dan kata celaan secara sinikal di mana-mana semata-mata kerana kita mahu berpuas rasa dan nafsu.

Namun, sebelum lebih jauh kita berjalan dalam pemikiran kita sendiri, tanyakanlah soalan ini: "Apakah yang engkau akan lakukan sekiranya kelak terbukti apa yang engkau luahkan itu, yang selama ini engkau sangka dan yakin betul dan benar, tiba-tiba menjadi sebaliknya? Bagaimanakah engkau akan mempertanggungjawab segala yang engkau hamburkan itu melalui penulisan dapat diampunkan Allah swt akan perbuatan engkau yang cuma sia-sia dan tiada faedahnya untuk kesejahteraan manusia?"

Soalnya, janganlah terlalu percaya dan yakin dengan mata kerana mata yang celik tidak semestinya engkau akan melihat semua perkara; mulut yang manis tidak semestinya sentiasa membetulkan percakapan; tangan yang sihat dan cergas menulis tidak semestinya digerakkan oleh hati yang putih bersih. Maka bertanggungjawablah. Setiap apa yang Tuhan anugerahi ke atas engkau, akan ada sesuatu atau lebih yang diambilnya semula sebagai pertukaran yang adil dan wajar.

Thursday, August 17, 2006

Akal Budi 14 - Menjulang Usia!

Penghujung tahun ini tidak berapa lama lagi, universiti besar ini akan menyambut ulangtahun ke 50. Sehingga hari ini, rupa-rupanya sudah 10 Ketua Pentadbir datang dan pergi di universiti ini. Bagaimana agaknya rupa dan keadaan generasi kita?

Kukuh lagikah falsafah kemerdekaan kita? Sepertimana Ali Baki menjulang parangnya berseorangan tatkala menentang serangan komunis dalam peristiwa Bukit Kepong? Atau seperti Mat Indera yang payah ditundukkan penjajah melainkan anak bangsanya sendiri yang menggunakan tipu muslihat untuk menghabiskan riwayatnya melalui peluru perak? Atau seperti Tok Janggut yang digantung kakinya ke atas oleh penjajah di Kelantan? Atau seperti Tunku Abdul Rahman yang berkeras dan bertegas menundukkan Chin Peng dan Rashid Maidin ketika berunding di sekolah rendah di Baling?

Akal Budi 13 - Adab

Bahasa sekarang menyebutnya sebagai "Quality". Ungkapan ini baru, kira-kira diheboh-hebohkan sekitar tahun-tahun 1993-94. Bagaimanapun dalam pembelajaran agama dan sosial dalam sistem politi Melayu-Islam, pengertian "Q" itu dirujuk sebagai "Adab"; iaitu "meletakkan sesuatu pada tempatnya yang hak".

Dalam konteks hari ini, bagaimana agaknya pemakaian pengertian "Q" itu? Adakah sama antara "Q" dan "Adab"?

Tuesday, August 15, 2006

Akal Budi 12 - Kakyang

Hari ini Kakyang post sesuatu yang sudah agak lama bersarang di dalam jiwanya. Kakyang barangkali sudah tahu mengenai apa yang ditanyakannya, namun nalurinya inginkan kepastian daripada seseorang. Dalam keadaan sebegini Kakyang sebenarnya sedar bahawa jawaban itu tidaklah diperlukan sangat-sangat olehnya. Pertama kerana jawaban itu sudah hampir pasti tidak akan diperolehi lantaran tidak pernah ada soalan pada pemikiran seseorang itu. Kedua, seseorang itu sudah beradadalam keadaan yang benar-benar sulit dan menyukarkannya untuk melakukan lebih daripada apa yang termampu dilakukannya seperti sekarang.

Kakyang mempunyai seribu satu sebab dan alasan untuk membenarkan apa-apa sahaja yang difikirkannya, kerana seseorang itu tidak akan melakukan lebih daripada sekadar berdiam diri. Selamat petang Kakyang.

Akal Budi 11 - Mesej

Mesej yang diterima - sama ada dalam bentuk sms atau (blog) postings umpamanya - sentiasa memberi ruang dan kesempatan untuk memikir. Pertama, siapa yang menghantar; kedua, apa isu atau topiknya; ketiga, bila dihantar; keempat, bagaimana cara menghantarnya; dan kelima, jadi - apa sebenarnya yang penting sangat mengenainya.

Menyoal dan memberi jawaban adalah dua perkara yang berbeza. Ketika menyoal digunakan untuk mengetahui sesuatu, memberi jawaban pula lebih bertujuan untuk memaklumkan sesuatu. Tanpa prasangka, jawaban akan tetap tinggal jawaban manakala soalan tidak semestinya terjawab.

Monday, August 14, 2006

Akal Budi X - Kecerdikan

Ini kisah ahli sufi yang dianggap gila pada zamannya di Parsi, bernama Syeikh Mullah Nasrudin
Anak lelaki sulung Nasrudin sedang tercari-cari bakal isteri.
"Kualiti orang yang macam mana engkau cari?" soal Nasrudin.
"Cerdik dan bijak, bukannya cantik dan lawa", balas anak muda itu.
"kalau macam itu', kata Mullah.
"Saya ada cara yang terbaik untuk mencarinya," sambung Syeikh itu.
"Mari kita pergi cari di kota," pelawa Syeikh.
Sesampainya mereka di kota, secara tiba-tiba Syeikh menengking anaknya itu, "Bodoh! kenapa asyik ikut saja apa yang disuruh?"
"Jangan buat dia macam itu di tengah ramai ini. Memalukan dia! Bukankah dia anak yang baik dan soleh?" Jerit seorang gadis.

"Ini gadis yang terbaik buat saya, ayah", kata anak muda itu, yakin.
"Tunggu. Adalah lebih baik kalau boleh buat pilihan lagi", cadang Syeikh.

"Mari", ajak Syeikh lagi. Lalu mereka terus berjalan di kota.
Syeikh mengulang apa yang dilakukan sebelum ini, menengking anaknya di tengah ramai. Kali ini seorang gadis mula menyorak keriaan.
"Bagus! Bagus! Pukul dia. Hanya orang bodoh yang menurut secara membuta tuli!", jerit gadis itu.
"Anakku", bisik syeikh, "nampaknya kita dah jumpa!"

Akal Budi XI - Yakin

Jangan sesekali tidak pernah percaya, apatah lagi berprasangka:

"Yakin adalah untuk melihat yang tidak tersurat; untuk mempercaya sesuatu yang mustahil; dan untuk menzahirkan apa yang tidak terlihat."

Bila dia menyebut 'tewas', berfikirlah tentang 'kemenangan'. Andainya dia menyebut 'kecundang'; fikirlah tentang 'kejayaan'.

Akal Budi VIII - Kejayaan & Kemenangan

Berpijaklah di bumi nyata:
"Janganlah mabuk oleh kejayaan; ia tidak pernah berpenghujung. Janganlah pula kecundang oleh kegagalan; ia tidak pernah mematikan."

"Do not be intoxicated by success; it is never final. Do not be defeated by failure.; it is never fatal."

Akal Budi VII - Mimpi

Hanyutlah dalam mimpi:
"If you can dream & and not make dreams your master. If you can think and not make thoughts your aim." (Ruyard Kipling)

Terjemahan, kurang lebih;
"Jika anda bermimpi, janganlah anda menjadi hamba kepadanya. Jika anda memikir, janganlah anda menjadi taksub kepadanya."

Akal Budi VI - Baca


Baca ibarat mengira titis hujan:
"Lebih kuat kita berusaha mengira, lebih yakin kita bahawa bebal semakin menebal."

Manuskrip 2006

Akal Budi V - Sabar

Kesabaran umpama melihat ombak di laut:
"Ombak berkecai, namun pantai tetap setia menadah nasib."

Akal Budi IV - Melihat

Ramai yang tertipu oleh mata.
"Mata umpama cermin. Ia hanya menayangkan apa yang ingin dilihat."

Akal Budi III - Mengenai Kawan & Sahabat

Telah direnung agak lama:
"Kawan melihat yang tersurat; Sahabat merenung yang tersirat."

Akal Budi II - Kebenaran

Telah dibaca berulang-ulang kali:
"Kebenaran adalah pedang Allah SWT: Apa sahaja yang dihirisnya, pasti melukakan."

Thursday, August 03, 2006

Akal Budi 1 - Cahaya


Kenapa cahaya? Kerana cahaya ada banyak peringkat. Ya, seperti juga sifatnya yang mempunyai pelbagai warna dan kekuatan habanya. Makna cahaya tidak semudah itu orang upaya mentafsirkannya. Adakah cahaya hanya suatu bentuk menisfestasi atau jelmaan yang dipandang mata, semata-mata? Adakah setiap orang mempunyai pandangan yang sama terhadap cahaya yang sama? Bagi orang dewasa, cahaya mungkin sesuatu yang terang. Namun bagi anak kecil, cahaya mungkin hanya ada apabila adanya 'api'. Adakah ia menjadi begitu kerana deria? sekejap ia dilihat seperti realiti, namun seketika yang lain ia berubah pula menjadi realiti.
Fikirkan.

Salam

Salam mewakili pelbagai maksud. Ada dalam bentuknya yang fizikal, seperti berjabat tangan. Ada juga dalam caranya yang lebih berbentuk mewakili perasaan, seperti berkirim salam, yang menunjukkan penyampaian ucapan yang dilahirkan daripada kalbu.

Anjung Akal Budi juga adalah satu bentuk 'salam'. Dari akar kata Arab, salam boleh menunjukkan 'aman, selamat atau sejahtera'. Anjung ini bermula sekarang ini, Ogos 2006. Tujuan Anjung ini diadakan adalah untuk memberi ruang kepada pembaca-pembaca yang berpotensi. Saya menjangkakan Anjung ini akan dikunjungi oleh para pelajar langsung saya pada masa kini, yang sekarang ini berada di bawah penyeliaan dan pengajaran saya di Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi, UiTM Shah Alam.

Anjung ini akan diisi dengan penyampaian isu-isu yang pelbagai, khususnya yang bersangkutan dengan kefalsafahan dan simbolisme mengenai kehidupan semasa. Justeru sifatnya yang tidak dibatasi oleh disiplin akademik yang ketat dan mencengkam, Anjung ini akan memaparkan antara lain soal-soal yang bertemakan psikologi, politik, falsafah, kebudayaan, kesenian, akademik, adat-istiadat dan seumpamanya.

Sekiranya pembaca mahukan soal yang lebih kepada jurusan adakemik, sila cuba lawati blog lain yang juga saya senggarakan setiap hari,
klik sahaja di sini.

Salam.