Wednesday, May 05, 2010

RAJA & KERAJAAN

"Pengekalan institusi (Raja) ini boleh menyumbang ke arah mengelakkan munculnya golongan ekstremis dan pelampau kanan", dan "...istana boleh membantu menjadi penjaga kepada demokrasi dan perlembagaan daripada dimanipulasi dan diselewengkan", begitu dua kenyataan - daripada beberapa kenyataan lain - yang disebut oleh speaker pada acara 'Wacana Intelektual' atas judul Kedudukan dan Peranan Raja-Raja Melayu yang diadakan di Dewan Bahasa & Pustaka pada 3 Mei baru-baru ini.

Prof. Aziz Bari mengupas hal itu keseluruhannya menurut perspektif perundangan terutamanya mengenai fakta perundangan bahawa yang dikatakan "Raja Berperlembagaan" itu ertinya ialah 'peranan dan kuasa yang terbatas'.

"Institusi Raja adalah bersifat anakronistik dan merupakan rejim purba", katanya, lalu beliau menyambung dengan pertanyaan, "Kenapa institusi itu dikekalkan?"

Institusi Raja ada kelebihan. Kelebihan itu datang daripada kelemahan, kekurangan atau ruang yang terdapat di dalam sistem demokrasi itu sendiri. Kenyataan itulah yang memberi ruang kepada sistem beraja untuk kekal dan berperanan. Begitulah apa yang disimpulkan oleh Prof. Aziz Bari pada acara wacana hari itu.

Tesis yang dimajukannya menggambarkan, kurang lebihnya, institusi raja sebagai institusi warisan feudalisma yang memiliki mekanisma khusus serta tersendiri dalam melindungi kelangsungan institusi itu. Kebetulannya, sistem demokrasi yang diamalkan secara terpilih-pilih oleh setiap kerajaan di muka bumi ini atas alasan-alasan yang tertentu dan menasabah, tidak cukup lengkap untuk memenuhi keperluan kenegaraan. Kekurangan itulah yang memberi kelebihan kepada institusi raja untuk kekal. Kalau pun, sekiranya ada, kata-kata nakal dan sinis yang menyebutkan bahawa sekiranya institusi raja tidak berperilaku selayaknya akan menyebabkan institusi itu bakal diarkibkan, maka ia hanya akan berlaku akibat daripada perilaku dan tindakan politik sebagaimana yang pernah dikatakan berlaku sebelum ini di negara ini oleh pelaku-pelaku politik (saya tidak menurunkan contoh khusus sebagaimana disebut oleh speaker secara jelas sewaktu acara itu berlangsung).

Pada hujung acara, saya sempat menanyakan beberapa soalan:
(1) Bagaimana kedudukan "7 Wasiat Raja-Raja Melayu"?
(2) Apakah mungkin Raja-Raja Melayu daripada sembilan kesultanan Melayu yang telah bersetuju untuk menyerahkan kedaulatan kerajaan mereka untuk tujuan kemerdekaan dahulu, akan menuntut semula atau mengambil kembali kedaulatan kerajaan/kesultanan mereka, sekiranya mereka mahu?
(3) Bagaimana kedudukan "Kontrak Sosial" yang melibatkan persetiaan antara orang-orang Melayu dengan Raja Melayu dalam konteks kemunculan orang Melayu menurut perspektif Sejarah Melayu?