Wednesday, May 26, 2010

DUNIA LAUT


Laut - serta semua komponen laut, terutama pantai - sentiasa menjadi tarikan. Ada dua aspek yang sangat mengagumkan. Pertama, luaran. Apa yang dapat dilihat pada laut daripada pandangan luarannya secara umumnya bersifat seragam. Pasir, karangan dan cengkerang kering, aluran bekas aliran air di pantai, lubang-lubang yang ditinggalkan umang-umang dan ketam, pohon kelapa, tunggul-tunggul kayu dan pelbagai benda lain, menjadikan pantai dan laut sangat mudah ditanggap oleh sesiapa pun dan pada bila-bila masa sekali pun.

Namun, apa yang berada di bawah permukaan laut tidak mudah diteka dan digambarkan sebagaimana sifat-sifat luaran. Bunga-bunga karang khususnya menjadikan warna dalam dunia bawah permukaan air menjadi pemandangan yang sangat istimewa dan tersendiri. Kelainan itu ditambah pula dengan perbezaan lokaliti. Laut, air dan dunia bawah permukaan air sentiasa berbeza-beza mengikut tempat. Sifat-sifat laut di kawasan pulau tidak tertanding kelebihannya oleh kawasan laut berhampiran tanah besar. Apa yang membezakan antara kedua-dua lokaliti itu adalah pada faktor 'manusia'. Dengan kata lain, sebuah dunia itu 'kelihatannya' lebih indah dan 'zatnya' lebih 'sihat' apabila 'berjauhan' daripada manusia. Ibarat pulau - ambil mana-mana resort yang terpilih misalnya, seperti Redang atau Tioman - yang agak terkawal dan rendah kependudukannya, meskipun bilangan haiwan barangkali lebih banyak, kera atau biawak misalnya yang bergelandangan dan merangkak-rangkak dalam bilangan yang sangat banyak di bawah-bawah calet di Tioman misalnya - semuanya kelihatan lebih elok, menarik dan menyenangkan berbanding kawasan laut berdekatan tanah besar. Dunia apakah laut dan pulau sebenarnya?