Ada beberapa perkembangan semasa di negara ini yang, ya, memang menarik untuk direnungi, namun tidaklah pula hingga menjadi sesuatu yang perlu dihairankan sama sekali. Paling menarik, mengenai kesediaan Tun Dr. Mahathir menghadiri majlis perhimpunan Gerakan Kebangkitan Rakyat (GERTAK) yang dijadualkan berlaku pada 13 Mei 2010, iaitu lusa.
(Imej: http)://jebatmustdie.files.wordpress.com/2009/05/victoryparade3.jpg
Cakap-cakap yang didengar dan dibaca antara lain menyebut ketidaksuaian situasi dan masa perhimpunan anjuran GERTAK itu. Ada media baru melaporkan - dan mengulas hal itu dengan nada seperti orang dalam sentimen ketakutan dan keresahan - bahawa Tun Dr. Mahathir tidak sewajarnya menghadiri perhimpunan yang dijangkakan bersifat 'meletus' dan 'muktamad' seperti yang akan diadakan di Gong Badak, Kuala Terengganu, lusa nanti. Sekadar mengimbangi propaganda pemberitaan, situasi tersebut juga disifatkan oleh media baru sebagai berpotensi menjejaskan usaha Perdana Menteri yang kini gigih mengukuhkan sentimen politik perundingan dalam konteks pilihanraya kecil di Sibu.
Kebetulan atau tidak bukan isunya di sini. Pada masa hampir sama, suara-suara yang tidak senang dengan 'petikan semula' kenyataan-kenyataan rasmi para pemimpin politik terdahulu - era awal kemerdekaan - yang diterbitkan oleh media arus perdana dan media alternatif, mempersoal kewajaran penerbitan semula itu sehingga timbul isu 'memohon maaf' yang dibawa ke badan perundangan.
Kenyataan-kenyataan pemimpin terdahulu, terutamanya seperti yang diucapkan oleh Tun V.T. Sambanthan dan Tun Tan Siew Sin, tidak disenangi oleh pemimpin-pemimpin politik terutamanya seperti yang ditunjukkan terang-terang oleh Lim Kit Siang di Dewan Rakyat.
Saya cuma terfikir, rupa-rupanya sejarah memang digeruni. Tidaklah juga menghairankan kegerunan terhadap sejarah itu diperikan pula melalui tindakan dan cubaan untuk meminggirkan fakta sejarah hingga melibatkan buku-buku akademik dan bahan dokumentasi lain diarahkan untuk ditarik balik dan ditulis dengan nafas dan nada baru.
Terfikir juga saya mengenai isu keris yang dijulang oleh pemimpin-pemimpin politik sebelum ini. Insiden itu menjadi isu nasional. Mungkin sesetengah orang tidak perasan bahawa sewaktu saat-saat bersejarah Malaya diterima masuk sebagai ahli Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada 17 september 1957 dahulu, delegasi Malaya yang melangkah masuk ke Perhimpunan Bangsa-Bangsa Bersatu - yang diketuai oleh Allahyarham Tun Dr. Ismail Abdul Rahman - sesetengah daripada mereka lengkap berpakaian Melayu manakala Allahyarham Tun Dr Ismail sendiri menyisip keris di pinggang!
Ada laporan mencatatkan bahawa itu merupakan peristiwa bersejarah kerana belum pernah terjadi dalam sejarah Perhimpunan Agung Bangsa-Bangsa Bersatu suatu bentuk 'senjata' dibawa masuk ke perhimpunan antarabangsa berkenaan. Rupa-rupanya keris memulakan sejarah itu!