Wednesday, May 26, 2010

DUNIA LAUT


Laut - serta semua komponen laut, terutama pantai - sentiasa menjadi tarikan. Ada dua aspek yang sangat mengagumkan. Pertama, luaran. Apa yang dapat dilihat pada laut daripada pandangan luarannya secara umumnya bersifat seragam. Pasir, karangan dan cengkerang kering, aluran bekas aliran air di pantai, lubang-lubang yang ditinggalkan umang-umang dan ketam, pohon kelapa, tunggul-tunggul kayu dan pelbagai benda lain, menjadikan pantai dan laut sangat mudah ditanggap oleh sesiapa pun dan pada bila-bila masa sekali pun.

Namun, apa yang berada di bawah permukaan laut tidak mudah diteka dan digambarkan sebagaimana sifat-sifat luaran. Bunga-bunga karang khususnya menjadikan warna dalam dunia bawah permukaan air menjadi pemandangan yang sangat istimewa dan tersendiri. Kelainan itu ditambah pula dengan perbezaan lokaliti. Laut, air dan dunia bawah permukaan air sentiasa berbeza-beza mengikut tempat. Sifat-sifat laut di kawasan pulau tidak tertanding kelebihannya oleh kawasan laut berhampiran tanah besar. Apa yang membezakan antara kedua-dua lokaliti itu adalah pada faktor 'manusia'. Dengan kata lain, sebuah dunia itu 'kelihatannya' lebih indah dan 'zatnya' lebih 'sihat' apabila 'berjauhan' daripada manusia. Ibarat pulau - ambil mana-mana resort yang terpilih misalnya, seperti Redang atau Tioman - yang agak terkawal dan rendah kependudukannya, meskipun bilangan haiwan barangkali lebih banyak, kera atau biawak misalnya yang bergelandangan dan merangkak-rangkak dalam bilangan yang sangat banyak di bawah-bawah calet di Tioman misalnya - semuanya kelihatan lebih elok, menarik dan menyenangkan berbanding kawasan laut berdekatan tanah besar. Dunia apakah laut dan pulau sebenarnya?

Monday, May 24, 2010

SECAWAN KOPI DI ALOR GAJAH

Menghabiskan masa seharian di pejabat, petang itu - 19 haribulan - terus ke UiTM Melaka bersama-sama Zul, Timbalan Dekan HEP untuk upacara program kemahasiswaan di kampus Alor Gajah itu. Baru sahaja beberapa hari sebelum itu saya di kampus Bandaraya, bersama-sama delegasi dari ISEAS, Singapore; dan kemudiannya menghabiskan sedikit masa membincagkan beberapa isu bersama-sama (Dato') Dr. Mizan, Pengarah UiTM Melaka. 

Dalam perjalanan, singgah sebentar di R&R Seremban; seketika kemudiannya langsung ke Alor Gajah untuk upacara perasmian. Sebaik acara tamat, bergegas pulang ke Shah Alam.



---------------------------------------------------------------
Sehari sebelumnya, kami menjadi hos kepada delegasi Prof Adbouh dari Filipina. Wacana akademik yang ditaja oleh INSPAG-UiTM atas isu 'Proses Mengamankan Mindanao" itu tidaklah menggalas terlalu banyak perkara baru, melainkan penetapan strategi masa hadapan berikutan pelantikan Presiden baru Filipina yang dijangka berlangsung pada penghujung Jun nanti.
Penyertaan ramai pakar hubungan antarabangsa, seperti Dato' Syed Ahmad Aidid, Kol (B) Ariffin, Dato' Salehuddin, Dato' Qosim, perwakilan daripada IDFR dan Wisma Putera serta ramai lagi yang tak dapat saya sebut semuanya di sini, menjadikan acara wacana itu agak menark dengan pro dan kontra proses pengamanan yang berlaku dari semasa ke semasa.

Tuesday, May 11, 2010

MENGGERUNI SEJARAH

Ada beberapa perkembangan semasa di negara ini yang, ya, memang menarik untuk direnungi, namun tidaklah pula hingga menjadi sesuatu yang perlu dihairankan sama sekali. Paling menarik, mengenai kesediaan Tun Dr. Mahathir menghadiri majlis perhimpunan Gerakan Kebangkitan Rakyat (GERTAK) yang dijadualkan berlaku pada 13 Mei 2010, iaitu lusa.

(Imej: http)://jebatmustdie.files.wordpress.com/2009/05/victoryparade3.jpg

Cakap-cakap yang didengar dan dibaca antara lain menyebut ketidaksuaian situasi dan masa perhimpunan anjuran GERTAK itu. Ada media baru melaporkan - dan mengulas hal itu dengan nada seperti orang dalam sentimen ketakutan dan keresahan - bahawa Tun Dr. Mahathir tidak sewajarnya menghadiri perhimpunan yang dijangkakan bersifat 'meletus' dan 'muktamad' seperti yang akan diadakan di Gong Badak, Kuala Terengganu, lusa nanti. Sekadar mengimbangi propaganda pemberitaan, situasi tersebut juga disifatkan oleh media baru sebagai berpotensi menjejaskan usaha Perdana Menteri yang kini gigih mengukuhkan sentimen politik perundingan dalam konteks pilihanraya kecil di Sibu. 

Kebetulan atau tidak bukan isunya di sini. Pada masa hampir sama, suara-suara yang tidak senang dengan 'petikan semula' kenyataan-kenyataan rasmi para pemimpin politik terdahulu - era awal kemerdekaan - yang diterbitkan oleh media arus perdana dan media alternatif, mempersoal kewajaran penerbitan semula itu sehingga timbul isu 'memohon maaf' yang dibawa ke badan perundangan.

Kenyataan-kenyataan pemimpin terdahulu, terutamanya seperti yang diucapkan oleh Tun V.T. Sambanthan dan Tun Tan Siew Sin, tidak disenangi oleh pemimpin-pemimpin politik terutamanya seperti yang ditunjukkan terang-terang oleh Lim Kit Siang di Dewan Rakyat.

Saya cuma terfikir, rupa-rupanya sejarah memang digeruni. Tidaklah juga menghairankan kegerunan terhadap sejarah itu diperikan pula melalui tindakan dan cubaan untuk meminggirkan fakta sejarah hingga melibatkan buku-buku akademik dan bahan dokumentasi lain diarahkan untuk ditarik balik dan ditulis dengan nafas dan nada baru.

Terfikir juga saya mengenai isu keris yang dijulang oleh pemimpin-pemimpin politik sebelum ini. Insiden itu menjadi isu nasional. Mungkin sesetengah orang tidak perasan bahawa sewaktu saat-saat bersejarah Malaya diterima masuk sebagai ahli Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada 17 september 1957 dahulu, delegasi Malaya yang melangkah masuk ke Perhimpunan Bangsa-Bangsa Bersatu - yang diketuai oleh Allahyarham Tun Dr. Ismail Abdul Rahman - sesetengah daripada mereka lengkap berpakaian Melayu manakala Allahyarham Tun Dr Ismail sendiri menyisip keris di pinggang!

Ada laporan mencatatkan bahawa itu merupakan peristiwa bersejarah kerana belum pernah terjadi dalam sejarah Perhimpunan Agung Bangsa-Bangsa Bersatu suatu bentuk 'senjata' dibawa masuk ke perhimpunan antarabangsa berkenaan. Rupa-rupanya keris memulakan sejarah itu!      

Wednesday, May 05, 2010

RAJA & KERAJAAN

"Pengekalan institusi (Raja) ini boleh menyumbang ke arah mengelakkan munculnya golongan ekstremis dan pelampau kanan", dan "...istana boleh membantu menjadi penjaga kepada demokrasi dan perlembagaan daripada dimanipulasi dan diselewengkan", begitu dua kenyataan - daripada beberapa kenyataan lain - yang disebut oleh speaker pada acara 'Wacana Intelektual' atas judul Kedudukan dan Peranan Raja-Raja Melayu yang diadakan di Dewan Bahasa & Pustaka pada 3 Mei baru-baru ini.

Prof. Aziz Bari mengupas hal itu keseluruhannya menurut perspektif perundangan terutamanya mengenai fakta perundangan bahawa yang dikatakan "Raja Berperlembagaan" itu ertinya ialah 'peranan dan kuasa yang terbatas'.

"Institusi Raja adalah bersifat anakronistik dan merupakan rejim purba", katanya, lalu beliau menyambung dengan pertanyaan, "Kenapa institusi itu dikekalkan?"

Institusi Raja ada kelebihan. Kelebihan itu datang daripada kelemahan, kekurangan atau ruang yang terdapat di dalam sistem demokrasi itu sendiri. Kenyataan itulah yang memberi ruang kepada sistem beraja untuk kekal dan berperanan. Begitulah apa yang disimpulkan oleh Prof. Aziz Bari pada acara wacana hari itu.

Tesis yang dimajukannya menggambarkan, kurang lebihnya, institusi raja sebagai institusi warisan feudalisma yang memiliki mekanisma khusus serta tersendiri dalam melindungi kelangsungan institusi itu. Kebetulannya, sistem demokrasi yang diamalkan secara terpilih-pilih oleh setiap kerajaan di muka bumi ini atas alasan-alasan yang tertentu dan menasabah, tidak cukup lengkap untuk memenuhi keperluan kenegaraan. Kekurangan itulah yang memberi kelebihan kepada institusi raja untuk kekal. Kalau pun, sekiranya ada, kata-kata nakal dan sinis yang menyebutkan bahawa sekiranya institusi raja tidak berperilaku selayaknya akan menyebabkan institusi itu bakal diarkibkan, maka ia hanya akan berlaku akibat daripada perilaku dan tindakan politik sebagaimana yang pernah dikatakan berlaku sebelum ini di negara ini oleh pelaku-pelaku politik (saya tidak menurunkan contoh khusus sebagaimana disebut oleh speaker secara jelas sewaktu acara itu berlangsung).

Pada hujung acara, saya sempat menanyakan beberapa soalan:
(1) Bagaimana kedudukan "7 Wasiat Raja-Raja Melayu"?
(2) Apakah mungkin Raja-Raja Melayu daripada sembilan kesultanan Melayu yang telah bersetuju untuk menyerahkan kedaulatan kerajaan mereka untuk tujuan kemerdekaan dahulu, akan menuntut semula atau mengambil kembali kedaulatan kerajaan/kesultanan mereka, sekiranya mereka mahu?
(3) Bagaimana kedudukan "Kontrak Sosial" yang melibatkan persetiaan antara orang-orang Melayu dengan Raja Melayu dalam konteks kemunculan orang Melayu menurut perspektif Sejarah Melayu?