1. Setiap tahun, ada sahaja cadangan dan gesaan daripada ahli politik untuk 'membetulkan' dan 'menambah' watak-watak dan peristiwa-peristiwa dalam catatan-catatan sejarah negara. 2. Sebelum ini beberapa ahli politik (Ahli Parlimen) sudah pun berjaya mengehadkan satu daripada beberapa pengkisahan sejarah atas alasan sensitiviti umum, misalnya dalam kes modul Hubungan Etnik yang ditarik semula penggunaannya, disusun dan ditulis semula sebelum 'dilepaskan semula' untuk digunakan di institusi pengajian tinggi. 3. Terkini, Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong - yang juga Ketua Pemuda MCA merangkap Ketua Biro Pendidikan MCA - yang mahu buku-buku sejarah negara ini dikajisemula. 4. Wee turut dilaporkan membuat kenyataan bahawa beberapa watak bersejarah seperti Lim Bo Seng, Gurchan Singh dan Sybil Karthigesu tidak dinyatakan dalam rekod sedangkan Leftenan Adnan diberikan perhatian berserta fotonya sekali. 5. Saya tidak begitu bimbang mengenai dokumentasi atau rekod. Selepas para pentadbir Inggeris menyerahkan kembali urusan pentadbiran negara kepada pemerintah-pemerintah Tanah Melayu, urusan rekod dan dokumentasi rasanya bukanlah isu yang sangat besar. Ramai pelapor, pencatat dan penganalisis berwibawa meneruskan kerja-kerja penyelidikan dan penerbitan sejarah dengan begitu baik. 6. Saya lebih gusar mengenai pentafsiran yang pada permukaannya kelihatan baik namun di sebaliknya berkemungkinan terancang atau beragenda khusus. 7. Sememangnya ada banyak watak yang terlibat dalam sejarah tanahair. Bagaimanapun walau pun tidak mustahil, namun menonjolkan kesemuanya dalam buku-buku sejarah tidak dilihat sebagai realisitik. 8. Agaknya, bahagian atau episod yang manakah dalam catatan-catatan sejarah negara ini yang sebenarnya ada dalam minda Timbalan Menteri Pelajaran itu? Selain daripada kenyataan bahawa "all races played a role in bringing the country to where it is today, and this must be reflected in the textbooks"? (NST, May 6, 2009, halaman 6) 9. Mungkinkah gesaan itu ada hubungan dengan penulisan beliau yang diterbitkan sebelum ini? 10. Sejarah sentiasa berulang, walaupun dengan kadar dan cara yang barangkali berbeza.