Wednesday, May 27, 2009

MEMBETULKAN YANG ASAS

1. Saya berada di beberapa tempat sejak beberapa minggu lepas, termasuk di Pantai Timur.

2. Selama dalam 'santaian' itu, saya menyaksikan dan memikirkan beberapa perkara yang sangat asas sifat-sifatnya.

3. Yang paling mengganggu adalah isu dunia blogging. Kelihatannya aliran yang semakin menguasai adalah psikologi penulisannya yang sama ada: (1) sangat tebal keindividuannya (misalnya amat 'memandang ke dalam diri sendiri' pada setiap masa atau dengan kata lain, sarat dengan unsur-unsur "masuk bakul angkat sendiri"); (2) pandangan atau perspektif peribadi yang diluahkan secara terbuka, malah sangat ekstrim pula alirannya (misalnya melangkaui kerasionalan biasa seperti kemarahan kepada institusi mahu pun orang-perseorangan); (3) penulisan yang sangat langsung, melampaui adab-susila (umpamanya perkataan-perkataan serta istilah-istilah yang digunakan yang dalam keadaan biasa hanya digunakan oleh pemabuk, atau pun oleh orang-orang yang memang tidak pernah bergaul dengan 'manusia biasa dalam lingkungan yang juga biasa'.

4. Hal sebegini boleh mematikan kemurnian dunia penulisan. Penulis-penulis yang berada dalam kelompok 'orang-orang biasa dalam lingkungan yang juga biasa' berkemungkinan besar tersepit dalam dilema sama ada untuk terus berada di sini. Rasionaliti menjadi perkiraan penting. Dunia blog yang para penulisnya seperti hilang rasionaliti tidak membawa kelebihan apa-apa. Lebih merugikan, dunia ini akan kehilangan maklumat dan pengetahuan yang mungkin ada potensi untuk dimajukan dan diangkat menjadi ilmu sekiranya orang-orang yang tidak mahu meletakkan diri mereka dalam kelompok yang tidak rasional itu memilih untuk tidak berada lama di sini.

Thursday, May 14, 2009

KETENANGAN DALAM POLITIK

1. Kemelut politik tanahair yang berterusan sekarang membawa mesej bahawa ketenangan dalam kalangan para pelaku politik mesti dijadikan sandaran yang boleh diharapkan. Ini adalah 'masalah awam', bukannya isu yang hanya berkaitan dengan orang-orang politik semata-mata.

2. Teknik-teknik propaganda jelek yang sudah ketinggalan zaman dalam beberapa peradaban dan budaya politik masyarakat maju - yang malangnya digunakan secara leluasa dalam kegiatan-kegiatan politik negara ini - lebih baik dihentikan serta-merta. Dalam jangka masa panjang, penggunaan frasa-frasa serta penekanan seperti 'Ini keputusan rakyat', 'kerajaan rakyat', 'kemahuan rakyat' dan seumpamanya adalah propaganda mengelirukan yang tidak bermakna langsung dalam proses pendidikan sosial masyarakat.

3. Begitulah, saya fikir, jalan terbaik bagi para pelaku politik utama dalam senario politik semasa tanahair adalah dengan bertenang.

4. Saat-saat kematian Socrates pada tahun 399 SM meninggalkan pengajaran yang sangat baik mengenai sifat tenang seorang individu. Kisah ini diceritakan semula oleh Aristotle, anak muridnya yang berjaya kemudiannya melakar namanya di dalam sejarah falsafah kenegaraan.

5. Socrates (469-399 SM) ialah seorang ahli falsafah Greek yang juga dianggap sebagai pengasas falsafah moral Barat. Sebahagian besar usianya digunakannya untuk menyingkap pemikiran-pemikiran mengenai kepalsuan hidup semasa ahli-ahli masyarakat pada zamannya. Socrates juga memanfaatkan kebanyakan masanya berbincang dan berwacana mengenai kebenaran dan kepalsuan dengan pelbagai lapisan ahli masyarakat, termasuk pelajar dan ahli politik. Apabila beberapa pengikutnya melancarkan konspirasi untuk menentang kerajaan, Socrates telah ditangkap dan dijatuhi hukuman mati atas tuduhan ateisme dan menyebabkan pemikiran anak-anak muda korup ekoran daripada ajaran pemikirannya.

6. Socrates telah dijatuhi hukuman mati oleh pihak berkuasa Athen dengan cara meminum racun buah hemlock yang sangat kuat bisanya atas kesalahan ’menjadikan pemikiran generasi muda korup’.

7. Didesak oleh naluri ingin tahu mengenai bagaimana dia akan menghadapi mati, Socrates lantas bertanya kepada pegawal penjara yang bertugas menguruskan racun yang akan diberikan kepada Socrates nanti.

”Sahabatku, engkau adalah pakar dalam hal-hal seperti ini; apakah yang aku harus lakukan?” Socrates menyoal,

Pegawal penjara itu segera menjawab, ”Tuan hanya perlu berjalan sehingga kaki-kaki tuan terasa berat, kemudian berbaring, dan tanpa tuan sedar, racun hemlock itu akan menjalar ke seluruh urat darah tuan.”

8. Politik juga tidak banyak bezanya seperti kisah itu. Mana-mana pelaku utama politik akan berhadapan dengan situasi sedemikian. Sampai masanya, dia akan menghadapi 'kematian'. Cara bagaimana dia berhadapan dengan kematian 'kerjaya dan cita-cita politik'nya membezakan antara seseorang pelaku politik itu sendiri.

9. Tidakkah mati secara mulia memberikan noktah yang lebih bermakna?

Saturday, May 09, 2009

CERIA

“Matahari menyinar setiap kali selepas ribut petir melanda; setiap masalah ada penyelesaiannya; jiwa bahagia adalah jiwa yang sentiasa mencerahkan wajah seseorang.”

1. Ceria adalah cermin yang menayangkan jiwa yang tenang dan bahagia.

2. Ada banyak cara untuk mencetuskan keceriaan. Di kalangan sesetengah orang, seperti mereka yang dikenali gemar menderma dan memberi hadiah dengan seikhlas hati (digelar philanthropist), keceriaan merupakan paparan emosi yang sangat unik.

3. Ada yang berkata,

“Di dunia ini, kita kaya bukanlah dengan cara memperolehi dan mengumpul apa sahaja yang kita mahu. Sebaliknya, kita kaya dengan memberikan apa yang kita ada.”

4. Kisah seorang ahli falsafah Greek bernama Diogenes (400-320 SM) mungkin agak menarik untuk nukilan mengenai keceriaan dalam hidup.

5. Diogenes dikatakan tidak mahu mengikut kebiasaan perilaku masyarakatnya pada zaman tersebut. Untuk mendapatkan suatu kelainan, Diogenes berperilaku secara menyongsong adat dan kebiasaan masyarakat.

6. Satu daripada beberapa kisah menarik mengenai Diogenes menceritakan bagaimana pada suatu hari – pada waktu siang – orang ramai terlihat beliau berjalan-jalan sambil membawa sebuah pelita yang menyala-nyala api daripada pelita itu.

7. Apabila ditanya kenapa dia berkelakuan demikian, Diogenes menjawab, “Saya ingin mencari seorang yang jujur.”

8. Apabila kebanyakan ahli masyarakat mentertawakan perilakunya yang dianggap pelik dan ‘gila’ itu, Diogenes hanya membayangkan bahawa itulah yang menceriakan dan membahagiakan dirinya.

9. Dalam keadaan sebenar, masyarakat melihat Diogenes sebagai ahli falsafah yang, meskipun ternama dan masyhur, namun hidupnya sentiasa dalam keadaan miskin harta-benda, tidur di kaki-kaki lima jalan, dan malah mengharapkan ihsan orang ramai untuk mendapatkan makanan.

10. Bagaimanapun, dalam keadaan begitu jugalah Diogenes menyingkap emosi keceriaannya meskipun secara luaran, kebanyakan orang lain melihat hidupnya sebagai barangkali menderita dan sentiasa dalam kepayahan.

Nota: Sepanjang hayatnya, Diogenes digelar ‘cyon’. Dalam bahasa Greek, ‘cyon’ bermaksud ‘anjing’. Para pengikut dan murid Diogenes pula kemudiannya digelar ‘cynics’. Lanjutan daripada itu, ada pandangan yang mengaitkan hal ini dengan reaksi ‘cynical’ atau sinis, yang menggambarkan bauran antara reaksi menyindir dan menghina.

Wednesday, May 06, 2009

SEJARAH

1. Setiap tahun, ada sahaja cadangan dan gesaan daripada ahli politik untuk 'membetulkan' dan 'menambah' watak-watak dan peristiwa-peristiwa dalam catatan-catatan sejarah negara.

2. Sebelum ini beberapa ahli politik (Ahli Parlimen) sudah pun berjaya mengehadkan satu daripada beberapa pengkisahan sejarah atas alasan sensitiviti umum, misalnya dalam kes modul Hubungan Etnik yang ditarik semula penggunaannya, disusun dan ditulis semula sebelum 'dilepaskan semula' untuk digunakan di institusi pengajian tinggi.

3. Terkini, Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong - yang juga Ketua Pemuda MCA merangkap Ketua Biro Pendidikan MCA - yang mahu buku-buku sejarah negara ini dikajisemula.

4. Wee turut dilaporkan membuat kenyataan bahawa beberapa watak bersejarah seperti Lim Bo Seng, Gurchan Singh dan Sybil Karthigesu tidak dinyatakan dalam rekod sedangkan Leftenan Adnan diberikan perhatian berserta fotonya sekali.

5. Saya tidak begitu bimbang mengenai dokumentasi atau rekod. Selepas para pentadbir Inggeris menyerahkan kembali urusan pentadbiran negara kepada pemerintah-pemerintah Tanah Melayu, urusan rekod dan dokumentasi rasanya bukanlah isu yang sangat besar. Ramai pelapor, pencatat dan penganalisis berwibawa meneruskan kerja-kerja penyelidikan dan penerbitan sejarah dengan begitu baik.

6. Saya lebih gusar mengenai pentafsiran yang pada permukaannya kelihatan baik namun di sebaliknya berkemungkinan terancang atau beragenda khusus.

7. Sememangnya ada banyak watak yang terlibat dalam sejarah tanahair. Bagaimanapun walau pun tidak mustahil, namun menonjolkan kesemuanya dalam buku-buku sejarah tidak dilihat sebagai realisitik.

8. Agaknya, bahagian atau episod yang manakah dalam catatan-catatan sejarah negara ini yang sebenarnya ada dalam minda Timbalan Menteri Pelajaran itu? Selain daripada kenyataan bahawa "all races played a role in bringing the country to where it is today, and this must be reflected in the textbooks"? (NST, May 6, 2009, halaman 6)

9. Mungkinkah gesaan itu ada hubungan dengan penulisan beliau yang diterbitkan sebelum ini?

10. Sejarah sentiasa berulang, walaupun dengan kadar dan cara yang barangkali berbeza.


Sunday, May 03, 2009

LEKSIKON (LEXICON)

1. Dalam politik (semasa) saya yakin isunya semakin berkait dengan soal leksikon.

2. Ini tidak banyak bezanya dengan keadaan (semasa) yang menggambarkan kekeliruan pemikiran mengenai 'Ras', 'Etnik", 'immigran' ataupun 'budaya'.

3. Atas sebab itulah saya fikir dunia weblog pada hari ini semakin kacau. Saya katakan kacau kerana antara banyak pertimbangan, satu daripadanya ada kaitan dengan 'menulis daripada telinga dan mata' semata-mata.

4. Hampir semua yang dibaca menunjukkan pelapor-pelapor (penulis?) khususnya dalam kalangan blogger- namun penyumbang makalah di media cetak perdana juga kelihatannya tidak terkecuali - tidak tentu arah mengenai permasalahan leksikon. Lalu, isu seperti 1Malaysia atau etnik, atau bangsa, atau ras, mewakili semua pendapat secara umum.

5. Itu belum lagi dilihat dari sudut isu dan penjelasannya. Mungkin, sebagai bacaan ringan, transkrip temubual jurnalis dengan Datuk Seri Dr Rais Yatim (NST, May 3, 2009, pg 12) agak sesuai menjadi sumber bacaan sambil menghirup kopi pada hujung minggu seperti hari ini.