Tidak ada apa-apa yang perlu dihairankan mengenai apa-apa sahaja yang berlaku dalam 'dapur' politik negara pada masa kini. Kesempatan dan peluang yang diberikan kepada pelaku-pelaku politik adalah pemberian pengundi; kepercayaan yang diperolehi pelaku-pelaku politik adalah anugerah pengundi; mandat yang dikembalikan kepada pelaku-pelaku politik adalah atas rasa keyakinan dan penyerahan pengundi semata-mata.
Apa yang berlaku di dapur PM adalah ramuan PM sendiri. PM adalah tukang masak yang menentukan rasa makanan atau racun yang dihidangkan kepada pengundi dan rakyat keseluruhannya. PM melaksanakan apa yang dilihatnya sebagai amanah dan tanggungjawabnya. Pengundi menerima apa yang mereka hadiahkan kepada PM sebagai ganjaran kepada kepercayaan dan risiko yang mereka sedari tatkala mereka memberikan mandat kepada PM atau sesiapa pun yang kemudiannya menjadi pelaku-pelaku politik tanahair; pelaku-pelaku itu kemudiannya merangka dan merumus pelbagai dasar awam untuk merancang dan mentadbir manusia dan segala benda - sama ada yang kelihatan mahu pun yang abstrak - atas nama kesejahteraan manusia yang dilabel sebagai rakyat.
Apabila pelaku-pelaku politik - dalam rupa-rupa seperti Rafidah atau Mukhriz umpamanya - yang menyampaikan pandangan dan rasa hati mereka menerusi surat peribadi, yang diutus kepada PM, maka itu adalah tanggungjawab mereka atas amanah yang mereka junjung selama menjadi pelaku politik. Setiap orang harus tahu batasan dan keupayaan mereka. Maka hormatilah setiap orang atas kenyataan itu.
Atas premis itu, mungkin spekulasinya boleh menjadi begini:
1.
PM ketandusan pelaku-pelaku politik berwibawa. Mungkinkah ada keperluan bagi kerajaan untuk mencontohi Singapura yang membawa masuk lebih ramai inteligensia, dan bukannya menumpukan hanya kepada golongan partisan? Dr Ramasamy sekadar contoh sebagai dilakukan di Pulau Pinang?
2.
Lanskap politik negara memerlukan perancangan dan rekabentuk yang sama sekali baru dan drastik. Adakah masanya sudah tiba untuk PM memikirkan pembinaan landasan baru untuk orientasi dan ideologi politik negara? Tibakah sudah masanya untuk menguburkan budaya politik yang berorientasikan perkongsian kuasa antara kaum, dan sebaliknya mengeraskan ketuanan Melayu? Bukankah negara ini, alamnya alam Melayu dan politi-nya bersistemkan politi Melayu? Dengan kata lain, bersediakah untuk menggenggam bara api sehabisnya dan alang-alang menyeluk pekasam? Masih percayakan kepada 'siapa kuat dialah kudrat'?
3.
Sistem pemilihan pelaku-pelaku politik negara ini mungkin perlu diubah. Sistem pemilihan ahli kabinet juga perlu ikut diubah. Keterbukaan yang diperolehi oleh PM dalam menentukan barisan kabinet dikhuatiri akan menjadikan PM terlepas pandang mengenai satu-dua perkara yang berkaitan dengan pelantikan menteri dan portfolio masing-masing. Menteri tidak seharusnya menjadi 'pengurus', atau 'pembesar' yang dilantik semata-mata atas kepercayaan dan keyakinan peribadi.