Thursday, March 27, 2008

Bahana Pelaku Politik

Politik menjadi murni bila kuasa diletakkan dengan cara beradab. Sebaliknya ia menjadi jelek sebaik sahaja dimanipulasi dan dieksploitasi dengan pelbagai cara. Sewaktu berkuasa, kepemimpinan dikeraskan oleh ketegasan kata-kata; di luar sedar, kebongkakan dan kesombongan menjadi perkara amalan biasa.
Sebaik sahaja kehilangan kuasa, kepemimpinan dilembutkan oleh sifat-sifat murni; 'pulang ke pangkal jalan', 'dengar rungutan akarumbi', 'berhemah' dan sebagainya menjadi sebutan harian.
Begitulah pelaku politik. Ia seolah-olah membiaskan kelakuan orang yang tahu atau baru mengenal hakikat hidup: buatlah amal, jauhkan perkara-perkara yang mendekatkan kepada dosa dan yang menjauhkan pengikut; jadilah orang yang baik sebab baik itu banyak kelebihannya; sehinggalah kelakuan politiknya itu menjadikan, selain dirinya sahaja yang sangat baik dan beradab, semua orang lain pada zahirnya buruk dan berdosa. Semuanya kerana dia sudah insaf dan bertaubat daripada perlakuan politik jelek selama ini.
Noktah.

Friday, March 21, 2008

Permata

Ini lirik sebuah lagu, Permata (Buat Isteri), dendangan Kopratasa. Saya fikir lagu ini cukup sempurna, segala-galanya, dari liriknya membawa kepada melodi dan lenggoknya, 'soothing'. Ketika memandu di lebuhraya, dalam hujan lebat, stereo kereta mengudarakan lagu ini. Tafsirannya kelihatan mudah, namun cukup untuk menyimpangkan telahan manusia biasa. Ada ketikanya, manusia perlu membuat pilihan, disusul dengan keputusan. Dan ada masanya, keputusan akibat pilihan itu menjadikan manusia terlupa bahawa hidup tidak semudah dan seindah yang difikirkan. Apa pun, ia tetap tinggal sebagai keputusan yang manusia sendiri telah pilih, sebelum, semasa dan sesudahnya.
Liriknya kurang lebih begini:

Telah ku siapkan
suatu daerah
paling sunyi

untuk engkau isi
dalam hati ini
sebagai isteri

untuk kau penuhi
dengan kemuliaan
sebagai wanita

untuk kau beri erti
dalam hidup ini
untuk kau hargai
dengan kasih sayang

ku ingin
kau jadi wanita mulia
yang tahu erti budi dan hati
seorang lelaki
bernama suami

kerana
engkau isteri
ku ingin kau mengerti
bahawa hidup ini
tak semudah
yang kita janjikan
yang kita janjikan
kerana kau isteri ku.

Thursday, March 20, 2008

Itu Politik

Tidak ada apa-apa yang perlu dihairankan mengenai apa-apa sahaja yang berlaku dalam 'dapur' politik negara pada masa kini. Kesempatan dan peluang yang diberikan kepada pelaku-pelaku politik adalah pemberian pengundi; kepercayaan yang diperolehi pelaku-pelaku politik adalah anugerah pengundi; mandat yang dikembalikan kepada pelaku-pelaku politik adalah atas rasa keyakinan dan penyerahan pengundi semata-mata.
Apa yang berlaku di dapur PM adalah ramuan PM sendiri. PM adalah tukang masak yang menentukan rasa makanan atau racun yang dihidangkan kepada pengundi dan rakyat keseluruhannya. PM melaksanakan apa yang dilihatnya sebagai amanah dan tanggungjawabnya. Pengundi menerima apa yang mereka hadiahkan kepada PM sebagai ganjaran kepada kepercayaan dan risiko yang mereka sedari tatkala mereka memberikan mandat kepada PM atau sesiapa pun yang kemudiannya menjadi pelaku-pelaku politik tanahair; pelaku-pelaku itu kemudiannya merangka dan merumus pelbagai dasar awam untuk merancang dan mentadbir manusia dan segala benda - sama ada yang kelihatan mahu pun yang abstrak - atas nama kesejahteraan manusia yang dilabel sebagai rakyat.
Apabila pelaku-pelaku politik - dalam rupa-rupa seperti Rafidah atau Mukhriz umpamanya - yang menyampaikan pandangan dan rasa hati mereka menerusi surat peribadi, yang diutus kepada PM, maka itu adalah tanggungjawab mereka atas amanah yang mereka junjung selama menjadi pelaku politik. Setiap orang harus tahu batasan dan keupayaan mereka. Maka hormatilah setiap orang atas kenyataan itu.
Atas premis itu, mungkin spekulasinya boleh menjadi begini:
1.
PM ketandusan pelaku-pelaku politik berwibawa. Mungkinkah ada keperluan bagi kerajaan untuk mencontohi Singapura yang membawa masuk lebih ramai inteligensia, dan bukannya menumpukan hanya kepada golongan partisan? Dr Ramasamy sekadar contoh sebagai dilakukan di Pulau Pinang?
2.
Lanskap politik negara memerlukan perancangan dan rekabentuk yang sama sekali baru dan drastik. Adakah masanya sudah tiba untuk PM memikirkan pembinaan landasan baru untuk orientasi dan ideologi politik negara? Tibakah sudah masanya untuk menguburkan budaya politik yang berorientasikan perkongsian kuasa antara kaum, dan sebaliknya mengeraskan ketuanan Melayu? Bukankah negara ini, alamnya alam Melayu dan politi-nya bersistemkan politi Melayu? Dengan kata lain, bersediakah untuk menggenggam bara api sehabisnya dan alang-alang menyeluk pekasam? Masih percayakan kepada 'siapa kuat dialah kudrat'?
3.
Sistem pemilihan pelaku-pelaku politik negara ini mungkin perlu diubah. Sistem pemilihan ahli kabinet juga perlu ikut diubah. Keterbukaan yang diperolehi oleh PM dalam menentukan barisan kabinet dikhuatiri akan menjadikan PM terlepas pandang mengenai satu-dua perkara yang berkaitan dengan pelantikan menteri dan portfolio masing-masing. Menteri tidak seharusnya menjadi 'pengurus', atau 'pembesar' yang dilantik semata-mata atas kepercayaan dan keyakinan peribadi.


Sunday, March 16, 2008

Minda Sedar

1
Dia bukan mengharapkan yang terbaik; cuma minta difahami

2
Dia tidak mahukan yang istimewa; cuma mohon dipercayakan

3
Dia tidak berhajatkan segalanya; cuma mensyukuri sekadar yang sudah ada

4
Dia tidak ingin melukakan; hanya ingin membahagiakan.

Selainnya, tidak ada apa yang tinggal untuknya.

Mata hanya mahu melihat yang baik

Sheef,

Saya tidak pasti jika apa yang dikatakan itu benar-benar berlaku. Politik adalah seni serba mungkin dan serba jadi. Apa yang dikatakan betul hari ini, tiba-tiba menjadi kesalahan pula keesokan harinya; apa yang dianggap baik waktu ini, dengan segera menjadi sumbang sebentar nanti. Harapan sebenarnya tidak menjadikan impian sebagai sesuatu yang boleh dijadikan sandaran dalam apa keadaan sekalipun. Ketulenan perasaan biasanya hanya menjadi khayalan orang yang sentiasa bermimpi dan mengharapkan impian itu berpanjangan sehingga pagi.

Sunday, March 09, 2008

PRU 12 - Sedikit Spekulasi

Huzairi, Ron, Daud, Nazimah, Faizah (& beberapa orang media yang lain, maaf, tidak sempat mencatatkan nama-nama anda),
Sepertimana perbualan kita lewat malam tadi, saya masih yakin dengan perkara-perkara tersebut. Mungkin, kita boleh spekulasi semuanya begini:
1. Pengundi menghukum Pak Lah atas beberapa motif;
2. Pengundi di zon selesa tidak gentar dengan apa pun; lalu memangkah pembangkang adalah protes nyata yang terbaik dalam keadaan begini.
3. Pengundi di zon yang selama ini dianggap selamat kepada BN meluahkan sentimen kebencian mereka tanpa berselindung; lalu biar apa pun yang bakal berlaku, 4-5 tahun akan datang rela ditempuhi mereka. Emosi menentukan segalanya kelmarin.
4. Protes senyap yang dimuntahkan kelmarin adalah paduan antara gerakan terancang dan tidak terancang. Semua negeri yang tumbang mempunyai gejala awal yang gagal dimanfaatkan BN; antaranya ledakan emosi gassroots di Kedah, Selangor dan Pulau Pinang.
5. Politik se-komunal semakin merebak. Melayu bencikan kepemimpinan partisan Melayu; Cina bencikan kepemimpinan partisan Cina dan India bencikan kepemimpinan partisan India. Isunya? Banyak, antaranya - Melayu - seperti di Selangor 'penat' dengan kepemimpinan Mohamad Khir Toyo, khususnya mengenai aspek kepemimpinan dan hemah beliau di skop negeri Selangor. Sebagai contoh, keupayaan Mohamad Khir menangani isu banjir besar di Shah Alam diragui setelah beliau gagal menunjukkan kelebihan 'hubungan awam' yang baik dengan penduduk bandaraya Shah Alam. Slogan Selangor Maju secara ironisnya tidak membawa erti bermakna kepada ramai penduduk. Hayunan pengundi kepada pembangkang tidak bermakna mereka menyayangi pembangkang, tetapi lebih kepada rajuk hati kepada kerajaan BN.
6. Ada tanda-tanda berlaku perubahan kepada budaya politik Malaysia. Ini perlu kepada analisis mendalam dan memerlukan pemerhatian yang lebih lanjut dalam masa setahun dua ini.

Wednesday, March 05, 2008

Politik & Perkhidmatan

Dalam politik, ungkapan 'khidmat' boleh membawa beberapa pengertian. Walau bagaimanapun, selalunya golong partisan lebih memilih untuk melihat 'khidmat' dari sudut kebendaaan semata-mata. Jadi, dalam seminggu dua ini, jalan-jalan di kawasan perumahan tertentu diturap semula; janji-janji ditabur di sana-sini termasuklah menaikkan elaun, meluaskan pelbagai perkhidmatan dan bermacam-macam lagi.
Dalam disiplin 'Service Quality', produk ertinya sesuatu benda seperti kain, rumah, makanan, premis dan kemudahan tertentu; harga ertinya nilai atas wang; manakala perkhidmatan pula bermaksud keselesaan lokasi, suasanan persekitaran, keramahtamahan serta kemesraan dan sensitiviti pemberi khidmat.
Ini soal budaya politik. Budaya memerlukan masa untuk dibentuk menurut acuan yang disediakan. Acuan disediakan oleh golongan partisan. Golongan non-partisan hanya menunggu menggunakan kemudahan. Itu prinsip asas dalam sistem politik semasa.