Tuesday, September 25, 2007

Selepas 20 tahun

Bertemu, berkumpul dan berborak-borak sesama rakan-rakan kolej setelah kali terakhir bertemu 20 dulu tentu sahaja pengalaman yang sangat baru dan menarik.

Latar
Tempat: Hotel Sheraton, Subang Jaya
Masa: sabtu, 22 September 2007, berbuka puasa
Siapa: Kamaruddin (Gemuk a.k.a White Horse) Md Nor; Zack; Dan; Man Belang; Meor; Mini; Leha; Syed Tahir; Wood.

Kisah
Kamaruddin: Pengarah sebuah syarikat milik Jepun di Shah Alam. Kamaruddin dikenal juga sebagai Din Gemuk ataupun White Horse kerana sewaktu di First College Universiti Malaya dahulu (1983-86) ibunya sentiasa memastikan bekalan rokok cikai, White Horse, tidak putus-putus untuknya. Dan rakan-rakan sekolej yang rata-rata sengkek, ikut menumpang...walaupun white horse adalah rokok yang sangat tidak nyaman rasanya.
Mini: Aktif sewaktu di kolej - semua aktiviti dia terlibat, semua Jawatankuasa dia ahlinya. sekarang Pengurus Kanan Pemasaran Jenama di sebuah syarikat penerbitan besar. Rakan-rakan mencari dia sekarang ini untuk mendapatkan bekalan majalah-majalah terkini.
Syed Tahir: Aktif sebagai AJK Kolej. Rajin berpersatuan. Ada pengaruh rock dalam dirinya walaupun penampilannya kekal seumpama 'orang surau'. Kini pentadbir kanan di sebuah universiti antarabangsa di Malaysia.
Man Belang: Aktif rugbi. Digelar Man Belang kerana tidak pernah lekang dengan baju rugbi belangnya sewaktu di kolej. Kini berjiran dekat dengan saya di pejabat...
Meor: Namanya pun memang sah dari Perak. 'Orang surau' tulen sewaktu di kolej kerana memang tidak pernah tinggalkan waktu solat di surau kolej. Kini pegawai dalam perkhidmatan kastam di Selangor.
Dan: Aktif takraw. 'Mat Hensem' dari Perlis yang juga 'orang surau' tulen kerana sentiasa ke surau pada waktunya. Sangat pendiam sewaktu di kolej. Yang hairannya sewaktu di kolej tidak pernah nampak ada girlfriend walaupun hensemnya mengalahkan artis. Kini pegawai di MARA.
Wood: Engineer. Sudah terlupa kenapa kami memanggil beliau kayu atau wood. Kini pegawai kanan di perbadanan perumahan yang besar.
Zack: senior yang gila-gila. Kini orang besar di syarikat kereta berpengaruh di dalam negara.