Tuesday, September 11, 2007

Saman

Tuntutan saman terhadap Kerajaan Britain oleh seorang peguam dari Malaysia, Ponnusamy Waytha Moorthy, yang difailkan di London baru-baru ini tentu sahaja menarik perhatian pentadbiran negara. Tidak mustahil ia terus menambah fobia September!
Tuntutan tersebut dibuat ketika negara sedang hangat dalam bahang sambutan ulangtahun kemerdekaan yang ke 50. Bukan sahaja ia melibatkan soal dasar dan keputusan bekas pentadbir negara ini – British – yang telah bersetuju menerima butiran perundingan kemerdekaan dahulu, malah ia membangkitkan semula isu yang sentiasa disederhanakan oleh sistem politi negara ini sejak sekian lama.
Rentetan tindakan saman ini beruntai-untaian. Pertama, ia ada kaitan dengan keputusan politik secara konsensus antara etnik berbilang kaum. Kedua, ia berhubungan langsung dengan soal-soal hubungan etnik kerana ia menyatakan dengan khusus bahawa rakyat keturunan India dipinggirkan. Ketiga, ia turut mengaitkan susur galur sejarah negara ini yang panjang dengan bekas pentadbir negara ini, Inggeris, yang kebanyakan orang lebih senang untuk memanggil mereka sebagai penjajah.
Apakah selepas ini seorang peguam lain – berketurunan Cina dan malah Melayu sekalipun - akan muncul untuk memfailkan saman terhadap Kerajaan British atas tuntutan yang sama: bahawa sebagai etnik (majoriti & minoriti), mereka telah ditindas dan dipinggirkan akibat daripada persetujuan British untuk membiarkan negara ini ditadbir sendiri
Semula: Apakah selepas ini, akan ada juga peguam-peguam yang mewakili etnik minoriti yang lain tampil membuat tuntutan yang sama?