Tuesday, September 25, 2007

Selepas 20 tahun

Bertemu, berkumpul dan berborak-borak sesama rakan-rakan kolej setelah kali terakhir bertemu 20 dulu tentu sahaja pengalaman yang sangat baru dan menarik.

Latar
Tempat: Hotel Sheraton, Subang Jaya
Masa: sabtu, 22 September 2007, berbuka puasa
Siapa: Kamaruddin (Gemuk a.k.a White Horse) Md Nor; Zack; Dan; Man Belang; Meor; Mini; Leha; Syed Tahir; Wood.

Kisah
Kamaruddin: Pengarah sebuah syarikat milik Jepun di Shah Alam. Kamaruddin dikenal juga sebagai Din Gemuk ataupun White Horse kerana sewaktu di First College Universiti Malaya dahulu (1983-86) ibunya sentiasa memastikan bekalan rokok cikai, White Horse, tidak putus-putus untuknya. Dan rakan-rakan sekolej yang rata-rata sengkek, ikut menumpang...walaupun white horse adalah rokok yang sangat tidak nyaman rasanya.
Mini: Aktif sewaktu di kolej - semua aktiviti dia terlibat, semua Jawatankuasa dia ahlinya. sekarang Pengurus Kanan Pemasaran Jenama di sebuah syarikat penerbitan besar. Rakan-rakan mencari dia sekarang ini untuk mendapatkan bekalan majalah-majalah terkini.
Syed Tahir: Aktif sebagai AJK Kolej. Rajin berpersatuan. Ada pengaruh rock dalam dirinya walaupun penampilannya kekal seumpama 'orang surau'. Kini pentadbir kanan di sebuah universiti antarabangsa di Malaysia.
Man Belang: Aktif rugbi. Digelar Man Belang kerana tidak pernah lekang dengan baju rugbi belangnya sewaktu di kolej. Kini berjiran dekat dengan saya di pejabat...
Meor: Namanya pun memang sah dari Perak. 'Orang surau' tulen sewaktu di kolej kerana memang tidak pernah tinggalkan waktu solat di surau kolej. Kini pegawai dalam perkhidmatan kastam di Selangor.
Dan: Aktif takraw. 'Mat Hensem' dari Perlis yang juga 'orang surau' tulen kerana sentiasa ke surau pada waktunya. Sangat pendiam sewaktu di kolej. Yang hairannya sewaktu di kolej tidak pernah nampak ada girlfriend walaupun hensemnya mengalahkan artis. Kini pegawai di MARA.
Wood: Engineer. Sudah terlupa kenapa kami memanggil beliau kayu atau wood. Kini pegawai kanan di perbadanan perumahan yang besar.
Zack: senior yang gila-gila. Kini orang besar di syarikat kereta berpengaruh di dalam negara.

Dalam seminggu

1
Fidofilia menular di negara ini. Ini adalah gejala masyarakat yang sakit. Masyarakat sakit antaranya kerana institusi keluarga yang goyah. Institusi keluarga goyah antaranya disebabkan oleh hedonisme. Negara-negara Barat - khususnya Eropah dan Amerika Syarikat - menghadapi ancaman ini jauh lebih lama dahulu. Di sana, satu daripada kaedah-kaedah yang digunakan untuk menghambat fidofil ini adalah dengan memprogram anak-anak dengan cara tidak mempercayai sesiapa pun melainkan ibubapa sendiri

2
Video clip pengamal undang2 yg juga pelobi yang dikatakan terlibat dalam soal perlantikan dan kenaikan pangkat hakim disebarluaskan untuk tatapan masyarakat. Hal ini adalah universal. Ingat kes Grobelaar, bekaspenjaga gol Liverpool yang didakwa dengan kaedah yang sama? Dengan kata lain, berhati-hatilah dengan pelbagai cara espionage ini!
3
Tindakan memulau ekoran kenaikan harga barangan memerlukan sokongan tidak berbelah bagi pengguna. sanggupkah manusia membataskan nafsu makan mereka?
4
Tindakan disiplin - buang kerja - ke atas dua orang pegawai kanan polis melibatkan rasuah/memiliki harta secara tidak menasabah dan kegagalan mengisytiharkan perkahwinan kedua menjadikan PDRM cermin yang menayangkan lebih banyak perlakuan yang sama oleh orang-orang yang berlainan dui dalam lingkungan yang berbeza-beza. Besarkan lagi cermin itu supaya lebih banyak dapat ditonton.
5
Kegilaan berbuka puasa semakin menggila! Mungkin patut dibuat penarafan (ranking) supaya dapat diketahui hotel yang manakah yang paling hebat dan berani dalam mengambil kesempatan berbuka! Tahun lepas, sebuah hotel mengenakan RM79, tahun ini menjadi RM106, makanan dan kumpulan muzik tradisional-nya tetap juga sama!
6
Rupa-rupanya sewaktu menakluk Melaka dahulu, Portugis membina kota daripada nesan-nesan yang dicabut daripada kubur-kubur penduduk Islam!

Tuesday, September 18, 2007

Perkhidmatan awam akan menjadi dinamik sekiranya ada penyelarasan. Namun penyelarasan tidaklah semudah itu dipraktikkan dalam pentadbiran awam, terutamanya kerana falsafah dan sistem kerja tidak saling menyesuai.

Akhbar-akhbar melaporkan bagaimana Kementerian Pelajaran menyatakan bahawa sekolah-sekolah 'boleh memohon' untuk bercuti pada 12hb Oktober nanti. Alasannya adalah untuk memudahkan keluarga membuat persiapan perjalanan pulang ke kampung dan sebagainya sempena perayaan Idilfitri yang dijadualkan berlaku pada 13hb Oktober.

Apa maksud 'boleh memohon' itu? Kemudian, Kementerian menyatakan juga bahawa 'hanya sekolah-sekolah yang memohon sahaja dibenarkan bercuti'.

Tidakkah mudah untuk kementerian menyatakan secara de facto sahaja samada: CUTI atau TIDAK CUTI kepada semua rakyat/sekolah.
Ini bukanlah soal 'autokrasi' dan sebagainya. Ini soal autoriti dan kewibawaan kementerian. Jika tidak, dengan cara ianya dilakukan sekarang, ia tidak lebih hanya menampakkan seolah-olah bahawa kementerian cuba berlaku ikhlas, tetapi berkira-kira; cuba berfleksibiliti tetapi sebenarnya rigid'.
Bagaimana guru-guru besar akan mengamalkan profesionalisme secara kreatif dan fleksibel sekiranya badan yang lebih berautoriti - kementerian - tidak dapat menunjukkan wibawanya?

Tuesday, September 11, 2007

Raja Bola versus Raja Gunung

Ketika selesai Forum Kemerdekaan Putrajaya 5 September lepas, perbualan minum kopi bersama-sama Datuk Khalid Yunus (Raja Gunung!), Datuk Ghani Minhat (Raja Bola) dan Encik Nurrahim (BPR) memberikan banyak hiburan sambil memikir kepada kami berempat.

Datuk Ghani Minhat - lagenda bola Malaysia - malu-alah apabila kerap dipanggil 'Raja Bola' oleh kami semasa berbual-bual. Pada masa yang sama, Datuk Khalid terfikir-fikir juga apa pula gelaran yang dia boleh gunakan untuk dirinya sendiri memandangkan Datuk Ghani Minhat digelar Raja Bola.

Agak seketika, Datuk Khalid tiba-tiba bersuara, "Ah! Kita ada Raja Bola. Kenapa tidak boleh ada seorang Raja Gunung?"

Kami setuju. Maka lekatlah gelaran 'Raja Gunung' pada sepanjang perbualan. Datuk Khalid sentiasa kelakar! Datuk Ghani pula terlalu pemalu!

Nurrahim? Tiada komen! Saya bimbang dia akan menyiasat saya lebih-lebih memandangkan dia Ketua Penolong Pengarah Penyelidikan BPR! Nurrahim! Nurrahim! Terpaksa pula saya menghadap Datuk Mad Said - Ketua Pengarah beliau - di padang tenis!

Saman

Tuntutan saman terhadap Kerajaan Britain oleh seorang peguam dari Malaysia, Ponnusamy Waytha Moorthy, yang difailkan di London baru-baru ini tentu sahaja menarik perhatian pentadbiran negara. Tidak mustahil ia terus menambah fobia September!
Tuntutan tersebut dibuat ketika negara sedang hangat dalam bahang sambutan ulangtahun kemerdekaan yang ke 50. Bukan sahaja ia melibatkan soal dasar dan keputusan bekas pentadbir negara ini – British – yang telah bersetuju menerima butiran perundingan kemerdekaan dahulu, malah ia membangkitkan semula isu yang sentiasa disederhanakan oleh sistem politi negara ini sejak sekian lama.
Rentetan tindakan saman ini beruntai-untaian. Pertama, ia ada kaitan dengan keputusan politik secara konsensus antara etnik berbilang kaum. Kedua, ia berhubungan langsung dengan soal-soal hubungan etnik kerana ia menyatakan dengan khusus bahawa rakyat keturunan India dipinggirkan. Ketiga, ia turut mengaitkan susur galur sejarah negara ini yang panjang dengan bekas pentadbir negara ini, Inggeris, yang kebanyakan orang lebih senang untuk memanggil mereka sebagai penjajah.
Apakah selepas ini seorang peguam lain – berketurunan Cina dan malah Melayu sekalipun - akan muncul untuk memfailkan saman terhadap Kerajaan British atas tuntutan yang sama: bahawa sebagai etnik (majoriti & minoriti), mereka telah ditindas dan dipinggirkan akibat daripada persetujuan British untuk membiarkan negara ini ditadbir sendiri
Semula: Apakah selepas ini, akan ada juga peguam-peguam yang mewakili etnik minoriti yang lain tampil membuat tuntutan yang sama?

Monday, September 03, 2007

Tapak Pembangunan Sg Buloh

Hari ini, akhbar tempatan (lihat, misalnya NST, mukahadapan pula!) menyiarkan rencana besar mengenai pembangunan 'tapak bersejarah' hospital sakit kusta Sg Buloh. Pada gambarfoto iringan, ditunjukkan bagaimana papantanda notis hakmilik UiTM dipaparkan dengan begitu berkesan.
Apa yang tidak kena?
1
Isu ini bukan melibatkan UiTM semata-mata (ada beberapa agensi kerajaan lain yang turut berkepentingan)
2
Isu ini bukan melibatkan soal 'tapak bersejarah' semata-mata (jika tapak sebuah bangunan berusia 70 tahun dijadikan 'tapak bersejarah' yang melibatkan pemuliharaan tanpa soal, silalah Prof dan ahli akademik bidang senibina berkenaan tinjau tapak-tapak lain yang dibangunkan sesuka hati atau tidak dihiraukan, yang terdapat di kawasan-kawasan lain terutamanya di Pulau Pinang, Perak, Johor dan Melaka)
3
Isu ini bukan melibatkan rasa sentimental semata-mata (pihak editorial media mungkin melihat isu ini bukan dari sudut pandangan mata burung, sebaliknya hanya pandangan terowong atas objektiviti penyiaran; ketepikan dahulu soal etika dan kewajaran!)

Saturday, September 01, 2007

Yang Sebenar

Randhee, kenyataan saya yang dipetik wartawan dan disiar semalam, mengenai kemerdekaan, hanya sebahagian sahaja daripada transkrip perbualan penuh. Mungkin itu tidak mencukupi untuk kita memahami sepenuhnya realiti politik negara ini dari sudut perpaduan dan kemerdekaan. Begitu juga dengan kenyataan awal saya mengenai isu pemantauan dan penguatkuasaan di pihak kerajaan. Saya percaya ada ruang lain untuk kita membincangkan hal ini dengan lebih terbuka dan langsung. Bagaimana pun, saya berterima kasih atas pandangan lanjut saudara. Saya bersetuju sebahagiannya.