Wednesday, August 01, 2007

Tindakan

Dean, ini pandangan peribadi saya semata-mata.
Kebanyakan daripada kita mempunyai lima deria: dengar; sentuh; hidu; rasa; dan lihat. Kemudian, ada satu lagi deria bawah sedar yang jarang diperkata orang, naluri, atau intuisi. Semua deria ini merupakan nikmat dan hikmah Tuhan paling berharga kepada kita. Jalan menuju gedung pengetahuan dibuka melalui penggunaan deria tersebut secara berhukum dan bersusila. Bagaimanapun, sebelum semua deria itu boleh dimanfaatkan, kita dipertanggungjawab untuk mencetuskan tindakan terlebih dahulu. Menunggu dan berharap tanpa berbuat apa-apa tidak akan menggerakkan semua indera tersebut untuk menjadi tindakan. Tanpa tindakan, tidak ada hasil.

Tindakan adalah kunci ke arah pencapaian matlamat. Ia merupakan paduan antara rumusan akal budi dan hati dengan gerakan deria-deria yang khusus. Semua gerakan itu dicetuskan oleh hati kita yang telah tetap dengan keputusan yang telah dipilih oleh kita sendiri. Dengan kata lain, tindakan merupakan gambaran atau menifestasi kita terhadap niat, keinginan, impian dan usaha kita dalam cubaan untuk memperoleh sesuatu.
Ini seumpama kisah Mikimoto, seorang pedagang mutiara berbangsa Jepun yang berjaya. Bertahun-tahun Mikimoto memikir jalan untuk mendapatkan mutiara yang berkualiti secara mudah dan praktikal. Pada suatu hari, beliau mendengar syarahan seorang profesor universiti bernama Mizukuri. Profesor tersebut percaya bahawa mutiara terhasil akibat daripada objek luar yang terperangkap di dalam tiram. Jika objek luar itu tidak membunuh tiram, maka ia akan bertukar menjadi mutiara. Selepas itu, Mikimoto menggunakan daya imaginasinya dan menggunakan kelebihan alam semulajadi ciptaan Tuhan untuk melakukan keajaiban untuknya. Dia menyatukan objek luar ke dalam tiram dan menghasilkan mutiara terbaik. Moral kisah ini adalah: Mempunyai pengetahuan semata-mata tidak mencukupi sekiranya pengetahuan itu tidak dimanfaatkan.
Ketika seseorang melihat halangan sebagai suatu batu penghalang, pastinya seseorang yang lain menggunakannya sebagai ’batu loncatan’. Memanfaatkan itulah yang dilihat sebagai ”tindakan”.